ZIONIS Israel terus mengganyang umat Islam Palestin di wilayah Gaza tanpa perikemanusian. Pemimpin-pemimpin Islam hanya mampu mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengutuk dan membidas perlakuan kebinatangan itu.
Mereka tidak mampu berpakat dan bersatu hati sesama sendiri untuk bertindak secara konkrit terhadap rejim Zionis Israel.
Mereka hanya mengharapkan perjanjian damai atau gencatan senjata sedangkan wilayah Gaza dan penduduk Palestin telah lunyai diganasi tentera rejim Yahudi.
Hati pemimpin-pemimpin umat Islam berpecah belah sedangkan ketika berdepan dengan musuh, Allah SWT memerintahkan umat Islam agar berteguh hati.
Setakat ini tidak ada tentera dari negara-negara Islam terutamanya yang berdekatan dengan rantau Asia Barat bersatu dan dikerah untuk mempertahankan bumi Palestin.
Malah ada yang bersifat hipokrit sanggup menyalahkan pejuang-pejuang Islam di bumi Palestin seperti Hamas sedangkan mereka telah berjuang begitu lama untuk mempertahankan tanah air dari penguasaan dan kezaliman Zionis.
Malah kedengaran di negara kita sendiri ada pihak yang melarang melaungkan ucapan takbir dalam perhimpunan solidariti untuk Palestin sedang Allah SWT menyuruh kita menyebut nama-Nya banyak-banyak ketika menghadapi ancaman musuh.
Pemimpin-pemimpin negara Islam tidak mampu melakukan sesuatu tindakan yang dapat mencabar kekejaman rejim Zionis yang telah lebih 70 tahun merampas bumi Palestin.
Apa gunanya wujud Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) jika tidak mampu bertindak lebih keras terhadap rejim terbabit yang telah berlaku zalim terhadap orang Palestin sejak tertubuhnya negara haram Israel pada 1948.
Mereka membunuh kanak-kanak, wanita, orang-orang tua dan orang-orang awam tanpa belas kasihan.
Dalam serangan ganas Zionis Israel kali ini, Gaza menyaksikan lebih 13,000 rakyat Palestin telah terkorban termasuk lebih 4,000 kanak-kanak dan lebih 2,000 wanita.
Paling keji tindakan Israel menyerang dan menawan Hospital Gaza dan pesakitnya serta pegawai perubatannya dijadikan tebusan, malah ada yang dibunuh.
Mereka mengebom hospital, sekolah, masjid dan pelbagai kemudahan awam. Mereka juga menggunakan senjata dan bom beracun yang dilarang penggunaannya oleh undang-undang antarabangsa.
Kejahatan dan kezaliman rejim Zionis Israel ini telah menyebabkan berlakunya krisis kemanusiaan di wilayah Gaza.
Maknanya krisis kemanusiaan itu adalah berpunca dari keganasan Zionis dan punca inilah yang mesti dihapuskan. Namun, punca ini sengaja tidak dipedulikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Walaupun perlakuan jenayah perang telah jelas dilakukan oleh Zionis Israel dan telah banyak didedahkan oleh pelbagai pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, namun badan atau Majlis Keselamatan PBB tetap membiarkannya begitu sahaja.
ARMAGEDDON
Pemimpin-pemimpin Zionis Israel yang bertanggungjawab tidak diheret untuk dibicarakan di Tribunal Jenayah Perang Antarabangsa di The Hague, Belanda.
Mereka kebal kerana dilindungi Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya yang merupakan pendukung kuat tertegaknya negara haram Israel di bumi Palestin.
Hakikatnya Zionis Israel ialah penjenayah perang yang tidak berperikemanusian. Sejarah kaum Yahudi menunjukkan bahawa mereka adalah bangsa yang banyak membunuh para nabi dan rasul seperti nabi Zakaria, Nabi Yahya dan menghasut kuasa Rom membunuh Nabi Isa.
Mereka juga membelakangkan perintah-perintah agama yang dibawa oleh para nabi, termasuk Nabi Musa yang telah menyelamatkan mereka dari penindasan Firaun dan tenteranya.
Mereka telah meminda dan menokok tambah kandungan kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa serta melakukan syirik dan pelbagai kemungkaran.
Mungkin disebabkan kejahatan-kejahatan mereka itulah maka mereka sering ditimpa musibah atau azab dengan serangan-serangan ganas dari pelbagai kaum dan kerajaan lampau.
Mereka dibunuh dan diusir dari bumi Palestin sehingga menjadi kaum yang tidak bernegara dan berkelana di seluruh pelosok dunia, termasuk ramai yang bertebaran di negara-negara Eropah.
Apabila mereka dibantu oleh British, Perancis dan AS untuk mendirikan negara haram Israel di Palestin, Zionis telah bertindak kejam membunuh orang-orang Islam Palestin bermula dari 1948 sehinggalah kini melalui siri-siri serangan dan pencerobohan yang dilakukannya untuk merampas keseluruhan bumi Palestin.
Doktrin Zionis menghalalkan pembunuhan orang bukan Yahudi untuk menguasai dunia. Bagi mereka orang-orang Islam dan Kristian bertanggungjawab terhadap nasib malang mereka selama ini.
Palestin menjadi sasaran pertama mereka dengan tujuan untuk mendirikan sebuah negara Yahudi dan pusat Zionis Dunia.
Bekas Panglima Tentera Pertahanan Israel (IDF), Jeneral Moshe Dayan pada Ogos 1967 pernah menyebut kepada bangsa Yahudi, “Kalau kita memiliki Taurat dan menganggap diri kita sebagai bangsa Taurat (Yahudi) maka wajib bagi kita untuk memiliki sebuah tanah (negara) yang tertulis dalam Taurat”.
Di pintu gerbang Parlimen Israel (Knesset) diukirkan kononnya janji Allah SWT dalam Taurat: “Setiap tempat yang dipijak oleh kaki kamu, kamulah yang akan memilikinya mulai dari padang gurun sehingga Gunung Lebanon, dan dari sungai itu (Sungai Furat) sampai laut sebelah barat, akan menjadi daerahmu”.
Bagaimanapun, mimpi Zionis Israel untuk membina Israel Raya yang luas bukannya mudah.
Jika pun mereka berupaya merampas sepenuh bumi Palestin, namun mereka tetap akan berdepan dengan tentangan dari penduduk tanah Arab yang luas dan umat Islam secara terus-menerus sehingga akan terjadi satu perang besar yang sering disebut sebagai perang Armageddon.
Armageddon yang asal bahasa Ibraninya Her Megiddon atau Bukit Megiddo terletak 15 kilometer sebelah barat Jenin di Tebing Barat, Palestin. Sumber-sumber Kristian menyebutnya sebagai ‘jalan umat manusia menuju ke akhir zaman’.
Nabi Muhammad SAW sendiri menjelaskan bahawa menjelang hari kiamat akan terjadi perang antara Yahudi dan orang-orang Islam.
Kitab Perjanjian Baru menyebut bahawa perang yang bakal berlaku itu akan terjadi di Lembah Jeho Syaffat, juga dikenal sebagai Wadi Hasam (Lembah Permusuhan) yang terletak antara Kota Baitulmuqaddis Lama dan Bukit Zaitun. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










