Tidak matang bawa suara mahasiswa ke jalanan

Tidak matang bawa suara mahasiswa ke jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA berlaku rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli kesatuan mahasiswa, masih ada yang memilih untuk turun ke jalanan bagi mengadakan bantahan secara berdemonstrasi. Soalnya, sampai bilakah mahasiswa mahu terikat kepada kaedah ini setiap kali mereka mahukan suara didengari? Adakah perbuatan turun ke jalanan menggambarkan pemikiran yang matang dan intelektual? Inikah cara terbaik bagi menyelesaikan masalah mahasiswa?

Ketika kerajaan melakukan inisiatif menukar majlis-majlis perwakilan pelajar (MPP) universiti kepada kesatuan mahasiswa pada 2018, salah satu sebab utamanya adalah untuk membuka peluang mahasiswa berkongsi tadbir urus. MPP sekadar menjadi wadah suara para mahasiswa, namun kesatuan mahasiswa pula merupakan badan yang terlibat secara langsung dalam merangka tadbir urus, serta bebas daripada kawalan universiti.

Langkah ini dimulakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kesatuan mahasiswa UIAM bukan sekadar diberi hak sebagai pencadang dasar, tetapi turut diberi kerusi di dalam senat universiti supaya mempunyai suara dalam merancang, menguruskan serta menentukan dasar pendidikan UIAM.

Perubahan ini bertujuan memberi kuasa lebih besar kepada mahasiswa dalam menentukan dasar universiti, serta memperkukuhkan hubungan antara pentadbiran dan para mahasiswa.

Dengan ini, kesatuan dapat memperlancarkan komunikasi yang sihat di antara pelajar dan universiti demi kebaikan pelajar di universiti masing-masing.

Justeru, amat merugikan jika kesatuan mahasiswa tidak menggunakan kuasa yang diperuntukkan dan masih memilih untuk berdemonstrasi bagi menyuarakan tuntutan mereka. Apalagi bila diangkat poster-poster yang tidak patut, seolah-olah menyifatkan pengurusan universiti sebagai penjenayah. Kita tertanya-tanya, kenapa masalah ini tidak dibentangkan dalam mesyuarat senat universiti? Seolah-olah mereka masih berada dalam era MPP.

Langkah begini bukan hanya tidak mencerminkan ketokohan dan kematangan, tetapi lebih parah, ia memburukkan keadaan. Tugas sebagai perantara bagi merapatkan hubungan antara pelajar dan pengurusan universiti tidak terlaksana. Bermakna, tanggungjawab diamanahkan terabai begitu sahaja. Sebaliknya, tercetus pula konflik yang menjarakkan lagi jurang sepatutnya mereka rapatkan.

Mana mungkin kekerasan semata-mata mampu memperjuangkan nasib mahasiswa B40? Walhal, selaku kesatuan pelajar, mereka mempunyai hak dan kuasa untuk bersuara dalam perbincangan dalaman. Gunakan peluang ini sebagai latihan praktikal untuk menguruskan masalah rakyat di masa hadapan. Ini masanya untuk membuktikan kita mampu menggunakan kebijaksanaan serta menerapkan teori yang dipelajari dari dewan kuliah di alam nyata. Memang cara ini tidak mudah, tetapi begitu jugalah realiti kehidupan.

Turun ke jalanan bukan sahaja menyentuh perihal undang-undang, akhlak dan adab, tetapi ia turut melibatkan aspek kebertanggungjawaban kesatuan pelajar terhadap pelajar yang mereka wakili. Mereka dipilih oleh para pelajar untuk membantu memudahkan urusan mereka, dan bukannya untuk menyukarkan keadaan dengan menentang pengurusan universiti. Tuntutlah apa yang diyakini hak kita melalui saluran yang betul tanpa menggadai adab dan maruah.

BERDRAMA

Seperti juga pemimpin politik, kita mesti tangkas dan bijak bekerja tanpa perlu berdrama. Dilantik penyelaras bagi RCE Greater Gombak Youth yang turut menaungi persatuan-persatuan pelajar UIAM mengajar saya banyak perkara baharu. Gerak kerja salah sebuah persatuan kami, The Good Society dalam membantah pengecualian bahan nikotin bagi rokok elektronik daripada Akta Racun 1952 dilakukan dengan kemas dan tertib tanpa demonstrasi atau turun ke jalanan.

Sebaliknya, kami bekerjasama dengan pihak pengurusan universiti, bukan sahaja UIAM tetapi juga Universiti Malaya (UM), bersama-sama Profesor Madya Dr. Amani Natasha selaku Penyelaras Pusat Keterlibatan Masyarakat UM (UMCares). Hal ini membuktikan kerjasama strategik bersama pihak universiti adalah penting dan tiada masalah bagi pelajar dan universiti bekerjasama untuk memastikan kerja berjalan lebih efisien.

Malah, hal ini amat membantu kerana hubungan yang baik di antara pelajar dan universiti akan memudahkan kerja semua pihak terbabit. Sekiranya bersikap memberontak dan melakukan demonstrasi besar-besaran berkenaan isu panas ini, kami akan memperoleh publisiti yang gah, tetapi apakah yang dapat kami sumbangkan kepada masyarakat?

Begitu juga dalam usaha menyelesaikan masalah di universiti, saya memilih untuk berunding dengan pihak berkenaan bagi mencari penyelesaian. Sesukar mana pun masalah itu, bukan cara saya untuk turun ke jalanan atau bertengking dengan pihak pengurusan. Sebagai pelajar, uruslah masalah dengan teratur, menggunakan cara serta saluran yang betul. Jagalah nama baik universiti sendiri.

Kalau dahulu MPP membawa naratif bahawa universiti ialah pemberi khidmat manakala mahasiswa ialah pelanggan. Akibat stigma pemberi-pelanggan ini, mahasiswa merasakan setiap kehendak mereka mesti dilayani kerana pelanggan sentiasa benar. Namun, secara realiti ia tidak begitu. Kini, tidak patut ada lagi stigma itu kerana pemimpin kesatuan mahasiswa sudah sama-sama berada di pihak yang berkhidmat.

Namun, sia-sialah segala kerja keras kerajaan termasuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi melakar kerangka kesatuan mahasiswa sekiranya mahasiswa gagal memanfaatkan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka melalui kesatuan mahasiswa. Ramai mahasiswa melihat demonstrasi jalanan hanyalah aksi untuk menarik perhatian dan bukannya dapat menyelesaikan masalah. Sedangkan tanggungjawab perwakilan pelajar bukan sekadar untuk memanaskan kerusi, tetapi mereka patut berhujah dan mendesak semasa mesyuarat dalaman.

Saya bersyukur kesatuan pelajar di UIAM bagi penggal ini masih tenang. Semoga pengaruh jalanan tidak menyelinap masuk ke tempat kami. Jadilah insan yang bertanggungjawab. Jangan kita mengamalkan sikap anarkisme dan cuma menyalahkan ‘kezaliman’ orang lain bagi menutup kegagalan kita melaksanakan tanggungjawab. Muhasabah diri kita dahulu sebelum menjerit menghentam kepimpinan yang disifatkan gagal menunaikan tanggungjawab. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×