TIDAK boleh lagi mengharap pilihan raya semata-mata untuk pastikan parti politik yang menang berkhidmat kepada rakyat.
Lepas menang, kelibat sebahagian wakil rakyat ini hilang. Tidak kelihatan terlalu lama. Bila masuk tahun keempat baru dia bekerja keras. All out bagai nak rak.
Lagi pula dia menang kerusi pilihan raya pun bukan solid sehingga undi atau majoriti diraihnya terlalu besar. Biasanya menang dengan kelebihan antara 1,000 hingga 5,000. Kalau bernasib baik macam di satu dua negeri atau sekumpulan kerusi itu boleh mencapai majoriti antara 10,000 hingga 25,000 undi.
Namun realitinya ada sebahagian kumpulan pengundi lagi tidak mengundinya. Maksudnya, kalau bukan menang terlampau sempurna, ertinya ada kelompok pengundi di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang turut menuntut khidmatnya.
Dalam erti kata lain – tidak boleh dipulaukan khidmat bakti daripada penyandang kawasan yang harus saksama. Tetapi kembali berpijak di bumi nyata.
Ada ahli Parlimen dan ADUN tertentu yang bila menang di satu-satu kawasan, jasa baktinya ibarat biskut – sekejap ada, sekejap tidak ada.
Sekali-sekala sahaja muncul di kawasan. Lebih gemar selesa merajai TikTok dan grup WhatsApp yang muncul sebagai ‘kawasan khidmat baktinya’.
Bab khidmat bakti kepada rakyat jatuh perkara kedua. Yang kita rakyat bimbangi adalah wakil rakyat atau golongan berkuasa ini mempunyai hubungan bertali arus dengan pengusaha dan peniaga gergasi yang ‘bernilai lebih dari itu’.
Mari fikirkan hal ini sejenak. Cuba kumpulkan sahabat handai dan orang keliling pemimpin politik tertentu yang menggunakan kuasa politik membina timbunan harta. Rakyat dapat menganggar jumlah terkumpul masing-masing.
Ramai anak, adik, kakak yang makan dari tangan menteri. Terutama menteri yang berkuasa besar – yang dengan satu tandatangan boleh menjadikan seseorang itu kaya raya.
Semua maklum pernah ada sistem nominee dalam kalangan pembesar politik berleluasa. Di sebalik telunjuk seseorang pemimpin itu tidak boleh berlindung.
Jadi, apa kanun etika yang harus dikenakan kepada mereka? Si kucing boleh mengenakan tali loceng pada tikus, tetapi siapa yang harus melocengkan di kucing? Tukang gunting mudah menggunting rambut orang, tetapi siapa yang akan gunting rambutnya? Tentu si gunting lainnya.
BONGKAK
Dalam hal ini rakyatlah yang harus mengenakan kanun etika kepada pemimpin politik yang bongkak dengan kekuasaan yang dipinjamkan oleh rakyat.
Cuma suatu ketika ada kalangan kelompok rakyat yang agak lena dibuai oleh berita satu hala dari media elektronik dan media cetak parti politik yang memerintah.
Apa menteri ini kata, apa menteri itu fikir. Apa rakyat fikir dan apa orang lain deritai tidak masuk skop liputan.
Yang di bawah mengampu yang di atas. Yang di atas mengampu yang di atas lagi hingga sampailah kepada orang yang paling di atas.
Inilah dia piramid ampu yang diwarisi dari sistem politik. Mana-mana yang tidak suka mengambil hati ketuanya tersisihlah dia ketepi, walaupun dia seorang yang berkebolehan, berkelulusan dan bersahsiah mulia.
Jika semangat dan intisari politik cara lama yang sekarang ini masih berkekalan, perkara dan angkara yang dinukilkan di atas itu akan berlaku dan berterusan.
Seterusnya, dibimbangi membuka ruang luas kepada kecenderungan sosialisme baharu dan tidak bertindak demi kepentingan rakyat mengikut piawaian aras tinggi.
Bak melihat hutan belantara dari jarak jauh, tidak kenal lagi apa pokoknya, apa kayunya. Dari jauh nampak macam pejuang rakyat, tapi dari dekat sebaliknya.
Perlukah kanun etika yang tidak sekadar memantau, bahkan memastikan ahli Parlimen dan ADUN benar-benar bekerja dan berkhidmat mengikut peraturan bebas penyelewengan, untuk kebaikan rakyat?
Jika itu kaedah penyelesaian terbaik kepada politik cacamarba yang berlaku hari ini, maka kajilah, perhalusi dan cencang isi kandungan kanun etika itu.
Kerana apa? Kerana dokumen itu adalah tanda tanya survival bangsa kita. – UTUSAN













