BELANJAWAN 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini merupakan sebahagian daripada lima dasar utama kerajaan perpaduan sejak beliau mengumumkan dasar pertama, Rangka Kerja Ekonomi Madani. Tiga lagi dokumen dasar adalah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Seorang pemerhati ekonomi memberitahu saya, tidak pernah ada kerajaan sejak dua dekad lalu yang begitu bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan masalah negara melalui penentuan arah, misi dan keutamaan dasar-dasar baharu.
Memang benar, sepanjang 20 tahun lalu, tiada dasar-dasar ekonomi yang khusus.
Buat seketika, Model Ekonomi Baru (MEB) dilancarkan pada Mac 2010 bagi menangani isu struktur ekonomi negara. Namun, MEB mati tak berkubur apabila ia bercambah menjadi pelbagai projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sebenarnya tidak memberi sebarang kesan struktural.
Sedekad selepas itu, Malaysia kekal dalam perangkap pendapatan sederhana dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu – gaji rendah, produktiviti rendah dan pelaburan rendah. Pada masa sama, subsidi yang besar serta hutang menimbun.
Sasaran diumumkan Anwar adalah jelas – akan menyelesaikan isu subsidi minyak khususnya diesel dan tidak akan mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
SUBSIDI DIESEL/PETROL
Pada 2022, kerajaan membelanjakan RM50.8 bilion untuk subsidi minyak. Daripada jumlah ini, RM20.9 bilion untuk diesel. Sedangkan sebahagian besar diesel yang diberi subsidi telah diseludup. Walaupun jualan diesel subsidi meningkat 40 peratus, ia tidak sejajar dengan jualan kenderaan diesel yang tidak bertambah.
Dengan menangani subsidi diesel terlebih dahulu akan mengurangkan kesan terhadap pengguna awam. Perdana Menteri mengumumkan subsidi diesel akan ditarik balik secara berperingkat dan tidak menjejaskan segmen-segmen utama industri logistik. Walaupun pemilik kenderaan persendirian menggunakan diesel akhirnya perlu membayar harga pasaran pada suatu masa nanti, nelayan yang bergantung kepada tenaga diesel pula akan mendapat manfaat elaun kehidupan serta insentif-insentif lain.
Pada masa sama, penguatkuasaan perlu dilaksanakan bagi memastikan nelayan dan syarikat pengangkutan barang benar-benar memanfaatkan subsidi diesel serta mengurangkan perbuatan menyeludup dan menjual diesel subsidi. Oleh kerana diesel biasanya digunakan oleh pengguna komersial, kenaikan harganya mungkin akan ditolak kepada pengguna tetapi syarikat juga perlu bertanggungjawab untuk menerima bebannya demi mengurangkan kesan terhadap orang awam.
KENDERAAN ELEKTRIK
Saya telah menjelaskan sebelum ini, penarikan balik subsidi akan benar-benar berjaya apabila dilakukan serentak dengan pelaksanaan subsidi hijau untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan pengangkutan awam. Sudah tentu tanpa galakan, sukar untuk memulakan sesuatu yang baharu.
Atas sebab ini, saya gembira kerana Belanjawan 2024 memastikan subsidi EV dilaksanakan. Rebat RM2,400 di bawah Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik tepat pada masanya kerana banyak pengguna akan mampu membeli motosikal elektrik.
Usaha memastikan kemampuan memiliki EV bukan sekadar mengurangkan harga jualannya. Kos memasang infrastruktur EV seperti alat pengecas juga perlu dijadikan mampu milik. Untuk menangani hal ini, Belanjawan 2024 mencadangkan membenarkan tempoh lanjutan pengecualian cukai sehingga RM2,500 bagi perbelanjaan mengecas EV selama empat tahun. Jadi, sebarang usaha mengurangkan kosnya sangat dialu-alukan.
Belanjawan 2024 juga menyediakan peruntukan untuk bas elektrik. Namun, lebih banyak usaha perlu dibuat bagi memperbaiki sistem pengangkutan awam termasuk menaikkan tahap rangkaian bas bandar bagi menangani isu kesalinghubungan first and last mile connectivity dan memudahkan infrastruktur tren, selain menimbang untuk subsidi sekali-sahaja kepada kereta elektrik.
Keputusan Perdana Menteri untuk tidak memperkenalkan semula GST perlu disambut baik. Melaksanakan GST terhadap rakyat yang belum mampu membayar cukai pendapatan dan pada masa sama menyangka GST akan meluaskan ruang kutipan cukai boleh menyebabkan kejatuhan permintaan agregat dan bakal menyusahkan golongan majoriti yang sememangnya tidak mampu membayar cukai pendapatan.
Sesetengah tukang sorak GST seperti Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berhujah, GST diperlukan bagi membolehkan golongan maha kaya dan pelabur asing diberi potongan cukai untuk menggalakkan mereka melabur di negara ini.
Trend dunia hari ini sebenarnya sudah tidak lagi mengutamakan potongan cukai untuk golongan maha kaya. Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang menarik bukan kerana potongan cukai untuk orang kaya tetapi disebabkan negara kita mempunyai tenaga kerja mahir, logistik, kerangka common law, kluster industri kukuh dan kita bukan negara yang terlalu kemaruk. Lagipun Malaysia kini berpeluang mendapat manfaat daripada pelaburan yang sedang keluar dari China untuk datang ke Asia Tenggara melalui strategi geoekonomi China+1. Dengan ini, cara lama yang meletakkan negara kita sebagai pengemis pelaburan asing di mana kita terpaksa menerima apa sahaja pelaburan tanpa mempedulikan kesannya terhadap ekonomi Malaysia, hubungan domestik dan nilai tambahan, tenaga kerja dan alam sekitar negara kita tidak boleh dipakai lagi.
Sepertimana digariskan oleh NIMP 2030 dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), kini kita menuju kepada sasaran berasaskan hasil, menumpukan kepada pelaburan bermutu tinggi untuk menghasilkan peluang pekerjaan berkualiti. Kini kita mahu lebih berhati-hati, strategik dan berjaya dalam usaha menarik pelaburan. Ini bermakna cara lama yang tidak banyak memberi faedah kepada rakyat dan negara seperti potongan cukai pada golongan maha kaya dan pelabur asing serta insentif-insentif untuk mereka tidak lagi menjadi amalan kerajaan. Ini juga merupakan peluang untuk lonjakan kedua ekonomi Malaysia. – UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.











