HASRAT untuk menggunakan nama baharu China Town untuk menggantikan nama lama, Kampung Cina di Kuala Terengganu atas keperluan semasa khususnya untuk tujuan komersial bagi memperhebat kegiatan pelancongan antarabangsa di negeri itu dipertahan sebagai ada pewajaran kukuh. Ini sudah tentu dilihat semata-mata dari segi ekonomi.
Akan tetapi, apabila melihat kepada Terengganu selaku antara benteng terakhir ke-Melayuan di negara ini dan juga di dunia, ia sesuatu yang amat malang sekali. Ini kerana oleh sebab keuntungan kebendaan semata-mata, kita sanggup menggadaikan jati diri Melayu yang kukuh terbina semenjak sekian lama di negeri itu.
Sehubungan ini, Terengganu bersama-sama dengan hanya segelintir lain, bukan sahaja dibanggai sebagai masih kuat identiti Melayu, juga diyakini selaku tempat peri hal Melayu dapat terus dipertahan di muka bumi ini. Oleh itu, jangan sesekali keyakinan kuat terhadap Terengganu sebagai kubu terus boleh mengekalkan ingatan Melayu bertukar menjadi kubur yang akan menyimpan kenangannya.
Dalam hal ini, Terengganu adalah antara tempat terakhir yang masih mengekalkan budaya dan warisan Melayu tulen, khususnya subbudaya Melayu Terengganu. Dengan ini, banyak, kalau tidak pun kesemua prinsip asas Melayu bukan sahaja masih tegap didukung di sini, juga terus kental dipertahan di bumi Melayu ini.
Ini antaranya dapat dilihat apabila nama negeri itu dalam bahasa Melayu ditukar ejaan Ruminya untuk mendukung citra Melayu. Ia dilakukan dengan menggunakan huruf ‘e’ untuk memecahkan gugusan konsonan ‘tr’ yang bukan pun merupakan cara kita, untuk menjadi ‘ter’ yang sebetulnya adalah amalan kita dalam mengeja.
Mungkin keinginan menggunakan nama China Town ini dipengaruhi penyebutan ungkapan draw bridge dalam kalangan rakyat Terengganu untuk merujuk kepada jambatan tarik di negeri itu. Sehubungan ini, ia disebut sebegitu dalam bahasa Inggeris kerana diperkenal sedemikian oleh kepimpinan Terengganu pada masa pembinaan dan pelancarannya.
Dalam hal ini, tidak dinafikan sebutan dalam bahasa Melayu panjang, namun ia merupakan jati diri kita yang tidak boleh sesekali dikompromi. Sebenarnya jati diri Melayu pada rakyat Terengganu amat terserlah dalam banyak hal.
Ini bukan sahaja memperlihat akal budi mereka yang tajam lagi tinggi, juga amat kreatif selain sangat tepat pengamatannya. Ini antaranya dapat dilihat pada penamaan supik gelenya untuk beg plastik. Ia bukan sahaja menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, juga menggambarkan bekas untuk mengisi barang itu amat ringan sehingga boleh berterbangan ke sana sini sebelum diisikan.
Ia antaranya dilihat semacam kelakuan tergedik-gedik pada gadis, yakni banyak bergerak-gerak untuk mendapat perhatian orang lain khususnya lelaki. Kiasan ini digunakan oleh etnik Melayu Terengganu, justeru ia tidak dinamakan beg plastik seperti terdapat di banyak tempat lain di negara ini.
PENGHINAAN
Berbalik kepada nama rasmi China Town itu, ia bukan sahaja tidak sesuai kerana dalam bahasa Inggeris, juga tidak memberi gambaran tepat tentang penempatan etnik Cina di tempat itu yang sudah lama selain amat istimewa pembentukannya. Sehubungan ini, etnik Cina di situ tidak dinafikan berketurunan dari China, namun itu dimensi sejarah lampaunya sahaja.
Ini kerana etnik Cina di seluruh Terengganu rata-ratanya didapati sudah sebati cara kehidupan mereka dengan etnik Melayu. Ini dapat dilihat pada kecekapan mereka berbahasa Melayu tempatan, di samping banyak mengambil amalan budaya dan warisan Melayu dalam kehidupan komuniti mereka sebagai identiti etnik Cina Terengganu.
Dengan kata lain, etnik Cina Terengganu sudah lama wujud sebagai sebahagian daripada masyarakat tempatan. Jadi, untuk menggantikan nama tempat mereka bermastautin untuk sekian lama sebagai China Town, ia bukan sahaja satu penghinaan, juga satu pengkhianatan.
Ini kerana etnik Cina yang sudah beberapa generasi di situ adalah anak watan Terengganu yang kini penempatan lama mereka mahu digelar secara rasmi sebagai China Town yang rata-ratanya merujuk kepada China dan penduduknya juga dikaitkan dengan negara asing itu.
Sehubungan ini, China Town secara umumnya difahami sebagai tempat di luar China didiami etnik Cina dari negara itu untuk menjalankan pelbagai kegiatan perniagaan dan kebudayaan yang sifatnya amat ke-Cinaan. Dengan ini, pemberian nama China Town boleh dilihat sebagai sikap mahu meneruskan legasi China di Terengganu dan bukan warisan etnik Cina Terengganu yang sudah sebati cara hidup mereka dengan amalan etnik Melayu.
Sebenarnya nama China Town adalah tempat di luar China yang merupakan versi kecil kepadanya. Dengan kata lain, walaupun dalam kadar kecil sahaja, tempat itu bertujuan meneruskan legasi China di luar wilayah kedaulatan negara itu.
Dengan ini, China Town membawa konotasi China dalam bentuknya yang kecil di merata tempat di seluruh dunia. Bukan sahaja nama China Town itu tidak tepat dari segi sosiopolitik kerana mahu mengagung-agungkan kedaulatan negara lain, juga ia tidak kena dari segi sosiobudaya.
Ini kerana etnik Cina di Kampung Cina itu sudah lama menjadi sebahagian daripada ekosistem budaya Terengganu. Sebaliknya, oleh sebab semata-mata faktor sosioekonomi antaranya bagi menarik lebih ramai pelancong asing untuk memperoleh lebih banyak keuntungan, kita sanggup melakukan sesuatu yang akan memudaratkan bukan sahaja citra
Melayu, juga maruah Melayu. Dalam hal ini, Terengganu yang dikenali sebagai masih kaya dengan segala tradisi Melayu wajib berusaha untuk mengekalkannya. Dengan ini, Terengganu tidak boleh sesekali mengabaikan amanah yang ada padanya untuk melestarikan tradisi Melayu agar terus mampan pada sepanjang zaman untuk negeri itu sendiri, Malaysia dan dunia. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).











