Bukan senang ‘membersihkan’ Mitra dalam sekelip mata - Utusan Malaysia

Bukan senang ‘membersihkan’ Mitra dalam sekelip mata

R. RAMANAN (tengah) yang bertugas sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Mitra tidak menerima sebarang gaji ataupun imbuhan lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS terhimpit dengan pelbagai kontroversi sebelum ini berhubung penyalahgunaan dana dan dakwaan salah pengurusan, imej Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) kini semakin menyerlah melalui proses reformasi dan transformasi yang dikendalikan oleh Pasukan Petugas Khasnya di bawah kepimpinan Datuk R. Ramanan.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh memikul tanggungjawab cukup mencabar umpama ‘berjalan dalam api’. Pelantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, April lepas tidak boleh dianggap sebagai ‘pengiktirafan politik’ untuk dirinya.

Beliau memikul tugas dan amanah yang paling ‘merumitkan’ dan perlu berdepan dengan pelbagai ancaman dan serangan ‘politik’ termasuk kecaman dari masyarakat umum setelah imej dan kredibiliti Mitra telah rosak, tercalar sekian lama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan senang untuk ‘membersihkan’ Mitra dalam sekelip mata. Beliau dan pasukannya perlu mengharungi pelbagai halangan dan rintangan membina ‘kehidupan baharu’ untuk unit itu demi menjamin nambekei (harapan) masyarakat India di negara ini terus hidup.

Ramanan yang menjadi tumpuan negara sebagai giant killer Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas menyingkirkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah diberikan kepercayaan untuk menyusun, mereformasikan dan mentransformasikan semula Mitra.

Beliau sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas tidak menerima sebarang gaji ataupun imbuhan lain. Beliau bersama empat ahli Parlimen lain yang dilantik oleh Perdana Menteri menjalankan tugas itu demi negara dan masyarakat India khasnya.

Mitra diperuntukkan RM100 juta dalam belanjawan negara sejak 2017 untuk program pembangunan sosioekonomi masyarakat India. Mitra sering berdepan dengan dakwaan gagal menguruskan RM100 juta setiap tahun di mana wujud situasi sejumlah dana ‘dipulangkan’ semula kepada Kementerian Kewangan.

Untuk tahun ini, unit itu telah memanfaatkan sepenuhnya dana yang diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif dan program. Ini adalah satu pencapaian yang terbaik untuk Mitra pada 2023 berbanding 2016 – 35 %, 2017 – 57 %, 2018 – 1 % , 2019 – 58 %, 2020 – 63 % , 2021 – 73 % dan 63 % tahun lepas.

Ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke 12, baru-baru ini, Anwar mengumumkan kerajaan akan memperkasa dan memperkukuh lagi Mitra. Ini adalah bukti keprihatinan dan komitmen Perdana Menteri untuk memantapkan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

Dalam pada itu, Mitra akan melaksanakan Program Pembasmian Miskin Tegar secara berfasa untuk ahli isi rumah masyarakat India miskin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Seramai 1,800 ahli isi rumah telah dikenal pasti melalui sistem e-kasih Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di mana pendapatan per kapita mereka adalah kurang dari RM339.

RASIONAL
Pendapatan per kapita tersebut perlu ditingkatkan untuk membantu ahli isi rumah tersebut keluar dari kategori miskin tegar. Bagi program tersebut sebanyak RM8.24 juta diperuntukkan. Program tersebut adalah selaras dengan arahan Perdana Menteri untuk menoktahkan miskin tegar pada tahun ini.

Program Bantuan Subsidi Dialisis Mitra pula memberikan bantuan kewangan yang besar kepada pesakit buah pinggang kaum India, dengan menyediakan sumbangan sebanyak RM9,600 setiap tahun untuk kos rawatan. Sehingga kini, program ini telah berjaya membantu 164 pusat dialisis dan 896 pesakit dengan jumlah bayaran sebanyak RM6.91 juta.

Selain itu, sebagai sebahagian daripada usaha lebih komprehensif untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) kaum India, program permohonan geran kewangan kepada organisasi yang memenuhi syarat dengan peruntukan sebanyak RM30 juta. Sebanyak 183 organisasi berasaskan pendidikan, sukan, kebajikan, ekonomi dan latihan kerjaya menerima geran berjumlah RM27.19 juta sehingga kini.

Ini adalah langkah proaktif dalam memastikan bahawa sokongan dan bantuan yang diberikan benar-benar menyentuh individu dan kumpulan yang memerlukan.

“Matlamat saya adalah agar masyarakat India, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan terkesan dengan kemiskinan bandar, dapat ditingkatkan kepada taraf yang seiring dengan kemajuan negara kita.

“Harapan saya supaya tidak ada sesiapa dikesampingkan daripada manfaat pembangunan negara,” kata Ramanan ketika membahaskan ucapan Belanjawan 2024 mengenai peranan dan komitmen Mitra di Dewan Rakyat, minggu lepas.

Sudah pasti, segala usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjayakan segala program yang dirancangkan. Sudah-sudahlah menuding jari antara satu sama lain. Sekiranya ada sebarang kritikan, teguran ataupun amaran, berilah secara rasional dan konstruktif.

Guna peranan media sosial untuk menyebarkan fakta yang sahih. Jangan kerana ‘nila setitik rosak susu sebelangga’. Ingatlah, serangan di media sosial, putar belit fakta tidak akan memberikan sebarang manfaat kepada komuniti India. Hentikan fitnah!

Pasukan Petugas Khas juga telah menempatkan wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Integriti serta agensi berkaitan yang lain untuk memantau segala proses dalaman dan luaran Mitra.

Ramanan juga telah mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan beliau sendiri akan terlibat secara aktif dalam proses pemantauan. Sudah pasti proses pelaksanaan akan menjadi tumpuan selepas ini.

Sudah tiba masanya Mitra mara ke depan dengan lebih yakin lagi demi kesejahteraan, kemakmuran dan kegemilangan masa depan masyarakat India di negara ini. Jangan jadikannya untuk mencapai agenda politik. – UTUSAN

DATUK Anbumani Balan ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×