TUN Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei 2018 dan kekal dalam jawatan ini hingga beliau meletak jawatan pada 24 Februari 2020.
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020 hingga meletak jawatan pada 16 Ogos 2021.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021 dan kekal dalam jawatan ini hingga beliau membubarkan Parlimen pada 10 Oktober 2022. Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022 dan baharu akan mencecah 10 bulan memegang jawatan ini.
Dalam tempoh 22 bulan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), dua kali beliau sempat mengadakan lawatan rasmi ke Republik Rakyat China (RRC). Lawatan rasmi kali pertama Dr. Mahathir ke RRC berlangsung pada 17 hingga 21 Ogos 2018 manakala lawatan rasmi kali kedua dari 24 hingga 29 April 2019.
Bagaimanapun, tidak ada impak besar daripada lawatan rasmi Dr. Mahathir ke RRC ini. Paling mendapat liputan mengenai lawatan rasmi pertama Dr. Mahathir ialah mengenai memaklumkan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang penangguhan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP).
Dr. Mahathir merayu Jinping dan Keqiang memahami dan membantu Malaysia menyelesaikan masalah fiskalnya. Pada masa sama, Dr. Mahathir mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menyatakan Malaysia tidak pernah menyaksikan kebodohan sebegini dalam merundingkan hal kontrak projek mega dengan syarikat RRC.
Lawatan rasmi kedua Dr. Mahathir pula menyaksikan beliau bersama 36 pemimpin dunia lain dijemput untuk berkongsi pandangan pada Mesyuarat Peringkat Tinggi dan Meja Bulat Pemimpin di Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa Kedua (2ndBRF) bertemakan Kerjasama Jalur dan Laluan: Membentuk Masa Depan Bersama Yang Lebih Cerah.
Dr. Mahathir juga melawat Huawei Technologies dan SenseTime Private Ltd. serta menyaksikan majlis menandatangani dua perjanjian persefahaman (MoU) membabitkan usaha meningkatkan kerjasama minyak sawit serta meningkatkan kerjasama dalam pembangunan kawasan perindustrian, infrastruktur, industri hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit berkaitan ECRL.
Dalam lawatan kali ini sekali lagi Dr. Mahathir mengecam Najib kerana membuat rundingan secara tidak telus ke atas ECRL sambil memaklumkan kerajaan meneruskan ECRL selepas ia berjaya mengurangkan kosnya daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion sambil menyatakan tidak akan mendedahkan sepenuhnya perjanjian kerana perlu mengambil kira sensitiviti rakyat RRC.
COVID-19
Di zaman Muhyiddin menjadi Perdana Menteri yang sebahagian besarnya dipenuhi era Covid-19, tidak ada yang terserlah dalam hubungan antarabangsa khususnya hubungan dengan RRC. Apa yang ada hanyalah kunjungan Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe menemui beliau pada 7 September 2020 bagi membincangkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
Begitu juga di zaman Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri. Yang mampu beliau buat hanyalah menerima kunjungan hormat Menteri Luar China, Wang Yi dalam mana beliau menyatakan rasa puas hati terhadap kemajuan hubungan antara Malaysia dan RRC. Pada 12 Julai 2022, beliau menyuarakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke RRC tetapi ia tidak berlaku.
Bandingkan semua pencapaian Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Ismail Sabri dengan apa yang telah dilakukan oleh Anwar. Hanya empat bulan setelah menjadi Perdana Menteri terus beliau membuat lawatan rasmi berimpak tinggi ke RRC bagi menemui Jinping dan Qiang dari 29 Mac hingga 2 April lalu yang menghasilkan kejayaan luar biasa.
Ekoran lawatan ini, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur RRC, RM100 bilion daripada pertemuan Anwar bersama 50 pelabur berprofil tinggi dan tokoh korporat China pada sesi meja bulat, manakala RM70 bilion lagi daripada pemeteraian 19 MoU pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023.
Tidak cukup itu, kelmarin Anwar sekali lagi mengadakan lawatan kerja ke RRC untuk menghadiri majlis perasmian pembukaan China-ASEAN Expo (CAEXPO) Ke-20 dengan menyampaikan ucaptama serta merasmikan pembukaan astaka pameran Malaysian Pavillion dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) di Nanning.
Lebih mantap lagi, Anwar juga menyaksikan pemeteraian tiga MoU bernilai RM19.84 bilion, iaitu RM15 bilion antara Citaglobal Berhad dan Shanghai Sus Environment, RM2.34 bilion antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group serta RM2.5 bilion antara Sime Darby Oils International Ltd. dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group.
Sesungguhnya inilah kehebatan Anwar dan konsep Malaysia Madani. Beliau sedar RRC adalah sebuah ekonomi yang kukuh. RRC adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun dahulu dengan jumlah perdagangan sebanyak RM488 bilion pada 2022. RRC juga adalah pelabur langsung asing terbesar di Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM55.16 bilion pada 2022.
Malaysia memerlukan China, dan rakyat Malaysia setuju dengannya kerana kaji selidik Merdeka Center pada 17 hingga 26 Mac 2022 menunjukkan 71 peratus responden mempunyai persepsi positif ke atas pelaburan RRC di Malaysia. Pada masa sama, Anwar tegas, Malaysia kekal bebas dan mengekalkan hubungan dengan negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah, India dan Australia. – UTUSAN
DR. Mashitah Mohd. Udin ialawh Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).










