SEGALA ‘politik yang gawat waktu ini’ diyakini akan kembali sedia kala menjelang pilihan raya umum ke-16 (PRU16) kira-kira empat tahun nanti.
Sentimen Melayu dan perkauman yang agak rumit ini akan mereda.
Mengapa dikatakan demikian? Kerana orang Melayu tidak ekstrem. Budi pekerti orang Melayu terserlah jika ada pihak tampak berbuat kebaikan dan membantu.
Dalam dua pilihan raya kecil (PRK) di Pulai dan Simpang Jeram, Johor 9 September lalu, ribuan pengundinya kurang terdedah dengan ‘sentimen seorang pemimpin negeri di utara’. Media sosial dan arus perdana tidak melayan siri kenyataannya. Ungkapan melankolik – keperibadian kreatif dan unik – daripada menteri besar itu tersekat di pintu masuk negeri Johor.
Ini berbeza dengan impak penangannya tempoh hari dalam enam pilihan raya negeri. Makin dilayan makin menjadi. Akhirnya memakan diri gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional.
Bahkan, keputusan ‘besar’ mahkamah melepaskan seorang presiden parti tanpa dibebaskan seminggu sebelum pengundian 9 September langsung tidak menggugat status quo kerusi penyandang Parti Amanah Negara (Amanah) di Pulai dan Simpang Jeram. Dijangkakan dalam PRK DUN Pelangai 7 Oktober nanti, kerusinya masih kekal di tangan BN.
PATEN
Paten politik di Malaysia dibaca oleh sebilangan parti politik yang menggelar diri ‘parti Melayu’ lebih kurang begini: Orang bukan Melayu penting semasa pentadbiran, tetapi masuk bab pilihan raya, tiba-tiba sahaja mereka tidak dihirau. Mereka ‘ditibai seolah-olah melukut di tepi gantang’. Meskipun diambil parti bukan Melayu sebagai rakan gabungan, itu cuma sekadar penuhi syarat. Penyokong dan ahli sekutu terkuat membantah, pendam hati, dendam yang akhirnya calon bukan Melayu tersungkur di hari pengundian.
Bacaan sebegini rupa oleh sebilangan ‘parti Melayu’ ini meletakkan Malaysia memanjang dalam kekalutan. Matlamat menghalalkan cara sebegini perlukan kerja keras daripada kerajaan – tanpa mengira parti mana pun berkuasa – untuk memadamkan waima ada setitik pun dakwat sentimen perkauman ini.
Namun apa yang berlaku sejak sekian lama dalam politik kita ialah paten pembangkang memang sebegitu rupa. Bila menjadi pembangkang, mereka hebat membangkang. Pacu dan laju. Akal tiba-tiba menjadi kreatif tidak tentu arah tanpa mengira baik buruk ‘modal politik’ yang hendak dilanyak.
Manusia depan mata pun dikatakan ‘hantu’ bila mana dia bukan orang partinya.
Tetapi lagi anehnya parti yang hebat membangkang sebelum itu, apabila sudah menjadi kerajaan, mereka ‘masuk gua’ pula. Padahal suatu ketika dia yang kini anggota kerajaan itulah dulunya yang hebat. Bercybertrooper siang malam sehingga tumbang parti yang berkuasa lebih enam dekad. Hari ini, tiba-tiba tidak melawan bila dihentam. Tidak menyanggah bila difitnah. Pendek cerita, tidak berbuat apa-apa keluarkan jurus pencak silatnya. Sebabnya – sudah pegang jawatan dan kuasa dalam kerajaan. Jadi menteri, ketua pengarah sana sini.
Tetapi – bila sahaja tumbang kerajaan, mereka beraksi semula sebagai pembangkang ibarat singa yang terluka. Itulah paten politik Melayu kita.
Bagaimana untuk merubah ‘politik jumud’ ini yang kesannya bukan sedikit menjejaskan kestabilan ekonomi negara? Empat, lima tahun kebelakangan ini pengalamannya cukup berharga untuk dijadikan iktibar. Bertukar kerajaan selang 22 bulan, 17 bulan dan 14 bulan. Pelabur pening kepala. Tiba-tiba kontrak disemak semula oleh kerajaan baharu. Akhirnya dibatalkan. Akibatnya, pelabur bungkus pakaian, lari menghala ke negara tetangga di sebelah selatan dan utara. Hanya kerana kerakusan ‘seorang dua kepala politik’, hala tuju negara jadi tak keruan.
SYAK WASANGKA
Untuk menempuh hari-hari mendatang ke arah Malaysia yang makmur, kurangkanlah prejudis, syak wasangka dan kerenah birokrasi. Kita amat perlukan politik yang matang. Bercakap memang mudah, menulis bisa belaka kerana diri sendiri bukan pengamal politik, hanya peramal politik. Namun semua ini tiada halangan jika semua parti politik memiliki tekad sama untuk melihat Malaysia yang bersatu dan sejahtera. Cuma senarionya hari ini masih agak jauh untuk menggapai matlamat itu.
Sementara kerajaan hari ini sedang berusaha ke arah itu, seeloknya jangan ada lagi kelibat ‘napoleon kecil’ yang boleh merencatkan kebangkitan semula Malaysia. Kelibat kumpulan ini diakui wujud di mana-mana, hatta dalam kerajaan terdahulupun. Kerjanya membodek pemimpin, cium tangan pemimpin di tengah jalan. Mereka ini akan mempengaruhi pemimpin. Apabila masuk mesyuarat-mesyuarat besar, melaga-lagakan orang.
Kerana itu, pejabat komunikasi kerajaan harus laporkan kepada ketua apa yang benar dan apa yang tidak benar. Biar laporan itu dinilai subjektifnya, difikir secara objektif. Jadilah penasihat, bukan punahsihat.
Kerajaan adalah pemegang amanah rakyat. Tidak usah takut dengan kritikan laporan akhbar. Akhbar dan portal berita laporkanlah yang benar. Jika bagus kerajaan, Insya-Allah akan bagus seterusnyalah ia.
Hindarkan laporan berupa puji-pujian. Harus diberi teguran kepada kerajaan untuk segera memperbaiki keadaan.
Empat tahun mendatang ini akan terus kestabilan negara diganggu-gugat dengan siri pilihan raya kecil dan negeri – sebelum memasuki ambang PRU16.
Orang Melayu sebenarnya tidak ekstrem. Asal sahaja ada manfaat dan kebaikan, dipercayai mereka akan kembali menyokong parti yang memperjuang nasib masa depan orang Melayu.
Asal bijak merencana dan menyesuaikan diri dengan fikiran orang Melayu, gelombang apa sahaja istilahnya yang membadai, akan mampu diatasi. – Mingguan Malaysia










