Dilema bawa anak kecil ke masjid

Dilema bawa anak kecil ke masjid

ISU yang sering menjadi polemik di masjid dan surau adalah membawa anak kecil untuk solat berjemaah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA isu sering jadi polemik di masjid dan surau adalah membawa anak-anak kecil untuk solat berjemaah. Di pihak ibu bapa, ia sebagai proses melatih anak-anak supaya lekat hatinya ke rumah-rumah Allah.

Bagaimanapun, dalam aspek lain, adakalanya anak-anak kecil itu mengganggu jemaah lain terutama apabila mereka menjerit atau berlari-lari semasa solat berjemaah. Selain itu, ada juga anak-anak kecil ini yang tidak tahu duduk diam semasa kuliah berlangsung.

Ironinya, apabila anak-anak itu ditegur supaya tidak buat bising atau duduk diam-diam, ada ibu bapa yang terasa hati. Bagi mereka, tindakan itu seolah-olah tidak mesra kanak-kanak.

Akhirnya, akibat marah anak-anak ditegur, ibu bapanya sekali tidak mahu lagi berjemaah di masjid tersebut.

Ini antara dilema dihadapi oleh kebanyakan masjid dan surau lebih-lebih lagi yang majoriti ahli kariahnya golongan muda antara 30 ke 40 tahun. Sehinggakan ada ahli jawatankuasa masjid yang pening juga memikirkan jalan penyelesaiannya.

Memanglah, untuk memupuk dan mendidik anak-anak solat berjemaah dan hatinya tertarik ke masjid perlu dilakukan sejak mereka kecil. Ia juga bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur 10 tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Persoalannya, bilakah masa yang sesuai untuk membawa anak-anak ini ke masjid dan surau? Apa pula persiapan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa sebelum membawa anak-anak kecil ini solat berjemaah di masjid dan surau?

Ulama Syafieyah mengharuskan kanak-kanak mumaiyiz untuk hadir dan dibawa ke masjid. Mumaiyiz bermaksud kanak-kanak yang sudah boleh membezakan baik dan buruk, lazimnya berumur tujuh tahun tetapi belum baligh.

Adapun, bagi kanak-kanak yang belum mumaiyiz tidak digalakkan untuk dibawa masuk ke masjid jika tiada keperluan dan kemudaratan bagi menjaga kesucian masjid.

Pendapat ini bersandarkan kepada perbuatan Nabi SAW yang mendukung Umamah ketika solat menunjukkan keharusan membawa kanak-kanak ke masjid. Ia sebagaimana hadis baginda SAW yang bermaksud: “Nabi SAW mengimami solat sambil mendukung Umamah yang merupakan anak perempuan Abi al-’As dan juga anak kepada Zainab binti Rasulillah SAW. Baginda meletakkannya apabila rukuk dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula.” (Riwayat Muslim)

Sebaiknya, ibu bapa perlu melatih terlebih dahulu anak-anak kecil ini solat di rumah termasuk solat berjemaah. Ini supaya mereka tahu dan faham rukun atau perbuatan dalam solat.

Ringkas kata, sebagai ibu bapa ajar dahulu anak-anak solat di rumah semasa usia mereka 4 dan 5 tahun. Pesan juga supaya tidak bising dan duduk diam-diam di masjid.

Ada juga anak-anak ini yang suka mengikut bacaan imam semasa solat jahar. Kadang-kadang mereka mengikut bacaan al-Fatihah dan surah lazim yang dihafal terlalu kuat. Sehingga mengganggu tumpuan imam dalam solat. Ini juga perlu dipesan oleh ibu bapa kepada anak masing-masing.

Mungkin anak-anak itu mahu melancarkan lagi hafalan tetapi maklumkan mereka supaya tidak melakukannya dengan suara yang terlalu kuat. Sebabnya, selain imam jemaah lain turut terganggu.

LAMPIN

Ini tidaklah sukar bagi ibu bapa yang solat di rumah. Setiap kali mahu solat, ajak anak-anak solat sama. Biarlah mereka main pada awalnya. Lama-kelamaan, insya-Allah mereka akan mula faham dan mereka pula yang ajak ibu bapa solat apabila masuk waktu.

Mahu salahkan anak-anak berlari ke sana-sini dan buat bising memang tak patut. Sebab, nama pun budak-budak. Tetapi ibu bapa kena la ambil tanggungjawab. Kalau kita tahu perangai anak kita suka berlari-lari semasa kuliah berlangsung, janganlah kita duduk di depan penceramah. Seeloknya, kita duduk jauh dari dewan solat utama, jika masjid itu ada beranda, elok kita duduk sambil mengawasi anak berlari-lari di situ.

Sekurang-kurangnya ini tidak mengganggu tumpuan jemaah lain mahu mengikuti kuliah pengajian. Yang silap, sang bapa bukan setakat tidak tegur perbuatan anak malah dia buat tak tahu sahaja.

Anak adalah anugerah Allah dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada ibu bapa. Amanah ini perlu ditunaikan dengan baik melalui tarbiah. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya. Untuk mendidik anak menjadi anak soleh dan solehah pasti banyak dugaan dan cabaran.

Jika mahu juga membawa anak-anak yang belum mumaiyiz, pastikan mereka dipakaikan lampin pakai buang. Ini supaya masjid tidak terkena najis jika anak kita tadi kencing atau buang air besar terutama dalam ruang utama solat.

Pihak masjid juga boleh mewujudkan ruang yang khusus untuk tujuan penukaran lampin dan ruang mesra kanak-kanak di beranda atau luar dari dewan solat utama supaya kanak-kanak juga mendapat manfaat dan persekitaran yang kondusif ketika berada di masjid.

Ruang mesra ini termasuk, tempat bermain kanak-kanak seperti gelongsor, mainan yang tidak membahayakan, buku atau kad-kad bergambar misalnya tentang nama-nama nabi, anggota wuduk dan seumpamanya.

Jika boleh, sediakan ruang tersebut bersama petugas yang terdiri daripada kaum wanita yang uzur bagi mengawasi anak-anak semasa bermain. Ini lebih bermakna terutama semasa Ramadan. Jika hal-hal begini disediakan, insya-Allah semua jemaah dapat beribadat dengan tenang. Begitu juga ibu bapa yang membawa anak-anak ke masjid.

Membawa kanak-kanak yang belum mumayyiz adalah makruh bergantung kepada tahap kebarangkalian kekotoran akan berlaku. Jika tiada keperluan dan mudarat lebih afdal sekiranya tidak membawa kanak-kanak tersebut terutama bagi yang belum mumayyiz ini ke masjid untuk menjaga kebersihan dan ketenteraman masjid.

Apapun, perlu ada tolak ansur antara pentadbir dan pengurusan masjid serta ibu bapa dalam isu ini. Kita mahu isu ini diselesaikan secara harmoni, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berserak.

Ini penting kerana kanak-kanak ini adalah pewaris kita pada masa depan. Jika kita terlalu keras melarang mereka ke masjid dan surau, dibimbangi ia akan memberi kefahaman yang silap.

Seterusnya menyebabkan mereka terus jauh dari rumah-rumah Allah. – UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN