Politikus, jangan racuni udara merdeka kami - Utusan Malaysia

Politikus, jangan racuni udara merdeka kami

Pelajar sekolah pelbagai kaum mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan Hari Kebangsaan 2023. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI kenangan yang saya tak akan pernah lupa walaupun sudah puluhan tahun berlalu – Pada satu ketika, semasa berada dalam kelas Tingkatan Enam di Sekolah Perempuan Methodist di Kuala Lumpur, sedang khusyuk mendengar cikgu mengajar di depan, saya terdengar tangisan yang teresak-esak di belakang saya.
Ketika itu, subjek Sejarah Islam. Cikgu saya sedang menceritakan kewafatan Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Saya menoleh ke belakang. Saya lihat kawan saya berbangsa Cina sedang tersedu-sedan. Bergegar bahunya.
Rupa-rupanya, bukan dia seorang menangis. Seorang lagi kawan berbangsa India yang saya ingat namanya sehingga sekarang Helen, turut menyeka air matanya. Agak emosi kami sekelas ketika itu, bila masuk bab kewafatan Nabi, termasuk guru yang mengajar.
Cikgu saya itu entah berapa kali dia berhenti bercakap kerana menahan sebak. Ya, sampai sekarang saya masih mengingati detik itu kerana ia antara momen yang amat mengesankan pada diri saya ketika di alam persekolahan dulu. Memang, zaman persekolahan adalah fasa yang paling membahagiakan pada kebanyakan kita lah, tetapi bukan pada yang malas. Yang suka ponteng dan menganggap bersekolah itu melecehkan.
Yang ingin saya katakan di sini, dulu dan saya yakin sehingga kini, belajar sejarah agama mana pun ia tidak pula menjadikan kita penganut agama itu. Seperti kawan sekelas saya dulu, mereka belajar subjek itu, menghayati perjuangan nabi dan tersentuh dengan kewafatannya.
Mereka juga amat petah bila bercakap pasal sahabat nabi, zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin, bercerita pasal ketegasan Saidina Umar Al-Khattab dan kebijaksanaan Saidina Uthman Affan. Selalunya yang mendapat markah tinggi dalam subjek sejarah ini, mereka jugalah.
Saya juga masih ingat sebelum itu dalam Tingkatan 4, saya berkawan dan duduk bersebelahan di dalam kelas dengan anak seorang paderi gereja di Brickfields. Selalu dia bercerita tentang kerja bapanya kepada saya. Tidak pula terlintas langsung untuk saya menjauhinya kerana bimbang terpengaruh.
Dan saya masih ingat juga, seorang kawan Parameswari namanya, selalu menunggu saya, duduk di pintu surau sekolah kerana saya takut seorang saja untuk solat Asar sebelum pulang ke rumah. Selepas itu, kami akan berjalan ke Perhentian Bas Klang berhampiran Pasar Seni untuk menaiki bas balik ke rumah dan kami akan berhenti di Bangsar, dia menuju ke flat Sri Pahang manakala saya melintas laluan keretapi untuk ke Brickfields.
Begitulah keakraban rakyat berbilang kaum di negara ini sejak dulu lagi. Uniknya di negara ini, kita hidup dengan menghormati kaum dan agama lain. Zaman persekolahan saya ketika itu, kami tidak kenal perkataan rasis atau perkauman.
Kami semua kaum di sekolah yang bersebelahan dengan Masjid Negara itu belajar, bermain, ketawa dan menangis bersama.
Bila sudah dewasa baru jumpa perkataan rasis. Itu pun diratib oleh pemimpin-pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu.
Ada pemimpin-pemimpin parti politik tertentu terutamanya cukup gemar bermain dengan sentimen bangsa dan agama, menakut-nakutkan itu dan ini.
Contohnya ketika ini, pasal Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenalkan di sekolah awam untuk pelajar Islam sahaja pun hendak dipolitikkan. Ada puak-puak yang cepat menggelupur dan menakut-nakutkan rakyat.
Carilah modal lain untuk berpolitik. Jangan rosakkan pemikiran rakyat terutamanya anak muda untuk mencetuskan keraguan sesama kita.
Tahun ini kita sudah masuk 66 tahun merdeka, kalau manusia umur ini adalah warga emas dan sepatutnya sudah matang untuk berfikir dan bertindak. Tak payahlah hendak jolok mana-mana sarang tebuan dan bermain dengan api. Rakyat ini biasa-biasa saja, ramai kawan baiknya berlainan agama dan tidak bercakaran. Politikus saja yang lebih-lebih, suka mengadu domba dan mahu berkonflik.
Selama 66 tahun kita semua menghirup udara segar merdeka yang sama, jangan biarkan sentimen perkauman dan agama meracuni udara merdeka ini. Kuncinya, hormat. Perkara senang tetapi jadi amat susah dilakukan bila ada ‘kaki menyucuk’.

Penulis ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya