MENJELANG dan selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini, pelbagai perkara dipaparkan di media sosial. Para politikus juga membuat pelbagai kenyataan yang menarik perhatian wartawan dan masyarakat umum.
Bagaimanapun, tumpuan saya lebih kepada penggunaan peribahasa, khususnya dalam komunikasi saya bersama beberapa rakan yang sama-sama meneliti perkembangan politik dengan penuh minat.
Saya mendapati secara tidak sedar, kami sering menggunakan peribahasa Melayu untuk meluahkan pandangan dan kritikan terhadap calon dan parti politik yang bertanding serta keseluruhan perjalanan proses pilihan raya secara umum.
Pada masa sama, kami juga berbual tentang beberapa peribahasa tradisional yang dipelajari semasa zaman sekolah dan kini masih segar dalam ingatan. Malah, rakan-rakan pelbagai kaum agak teruja kerana tidak menyangka segala peribahasa yang dahulu mungkin hanya dihafal bagi tujuan karangan dan peperiksaan masih segar dalam ingatan.
Keruh di hulu, keruh di hilir merupakan peribahasa yang benar-benar memberi kesan dalam urusan harian Rizol Md. Ariff, seorang pesara di Balik Pulau, Pulau Pinang.
“Bagaimana kita menganggap kelestarian pembangunan itu sebagai lestari kalau ia sendiri berasal daripada teori? Teori tertakluk kepada perubahan kerana ia sesuatu yang tidak lestari,” kata beliau dalam perbualan kami yang tiada kaitan dengan politik.
Rizol turut memberi contoh isu perbankan tanpa faedah. Beliau bertanya, bagaimanakah sesuatu sistem dalam perbankan dikatakan bebas daripada unsur faedah kalau pihak mengeluarkan lesen itu sendiri mengamalkan urusan perbankan yang ada faedah?
“Macam peribahasa itulah juga. Bagaimana boleh dikatakan air di hilir sungai bersih kalau hulu sungainya telah tercemar dengan unsur-unsur yang kotor?” beliau mengaitkan dengan bijak.
Seorang guru tuisyen dari Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abdul Hamid Moiden pula menganggap peribahasa, di mana ada kemahuan di situ ada jalan, sebagai kata-kata bijaksana yang sekian lama menjadi sumber inspirasi kepadanya.
“Saya mengenali peribahasa ini ketika di darjah enam. Cikgu Ahmad memperkenalkan peribahasa ini di hadapan kelas. Beliau juga menyebut peribahasa, di mana ada gula di situ ada semut. Kami sekelas ketawa terbahak-bahak mendengarnya pada usia kanak-kanak,” beliau menceritakan.
Abdul Hamid juga masih ingat bagaimana beliau pulang ke rumah dan memberitahu peribahasa itu kepada ibunya. Si ibu pula membalas, “Di mana ada ibu, di situ ada Hamid.”
“Peribahasa ini menjadi azimat yang banyak mendorong saya menongkah arus kehidupan. Peribahasa yang jujur tidak pernah menipu. Akhirnya saya menamatkan pengajian sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Setiap kali tersungkur di persada akademik, saya bangkit semula dengan peribahasa tradisional sebagai motivasi,” kata Abdul Hamid.
HANGAT
Kini, beliau mengajarkan pula peribahasa itu kepada anak-anaknya. Di bilik mereka tertera peribahasa, di mana ada kemahuan di situ jalan. Abdul Hamid berharap mereka sedar akan kuasa peribahasa yang berjaya merombak dimensi kehidupannya.
Berbalik kepada peribahasa semasa kempen pilihan raya sedang hangat, saya masih ingat beberapa yang digunakan rakan-rakan tetapi mereka meminta nama mereka tidak dipaparkan dalam rencana ini.
Peribahasa kacang lupakan kulit ditujukan kepada politikus yang merajuk dan keluar parti apabila tidak dicalonkan. Apabila mereka kemudian melakukan pelbagai serangan terhadap parti politik di mana mereka ‘membesar’ dahulu, perbuatan itu disifatkan seperti anjing menyalak bukit.
Apabila pelbagai isu berkaitan calon tertentu mula tular dan calon terbabit berkeras menafikan kesemuanya, rakan-rakan berkata, “Kalau tak ada angin, takkan pokok bergoyang.” dan “Kalau tak ada api, masakan ada asap.”
Apabila membaca mesej dan komen seperti ini daripada rakan-rakan pelbagai kaum, saya rasa gembira kerana peribahasa tradisional yang dipelajari di sekolah dahulu sudah sebati dalam jiwa dan muncul secara spontan apabila diperlukan. Sebenarnya, peribahasa Melayu terdiri daripada pelbagai jenis yang mungkin kurang diketahui secara mendalam. Misalnya, ada peribahasa berbentuk ungkapan, kiasan dan simpulan bahasa yang biasanya amat ringkas dan padat.
Kemudian ada pula peribahasa berbentuk pepatah, bidalan dan perbilangan. Pepatah biasanya digunakan untuk menegur atau menunjuk ajar seseorang. Contonya, bapa borek anak rintik yang amat sinis dan pedas dalam menegur sikap seorang ketua atau pemimpin.
Sementara itu, bidalan lebih bersifat positif dalam menyampaikan pengajaran. Misalnya, biar lambat asalkan selamat dan sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.
Perbilangan pula merujuk kepada peribahasa yang ada gaya bahasa khusus, seperti berat sama dipikul ringan sama dijinjing, cakap siang pandang-pandang cakap malam dengar-dengar dan hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah. Walaupun kesemuanya termasuk kategori peribahasa, elok juga kita cuba mengenali nama-nama khusus.
Peribahasa berbentuk perumpamaan agak unik kerana mengandungi makna tersurat dan tersirat. Misalnya, ayam terlepas tangan berbau tahi, cubit paha kiri paha kanan terasa juga dan siapa termakan cili dialah terasa pedasnya, boleh difahami pada dua lapis makna.
Hal demikian ini kerana apa yang digambarkan memang betul secara literal atau harfiah. Apabila dilihat pada makna tersirat, maka ada pula maksud lebih mendalam.
Bidalan pula ringkas dan padat seperti pepatah. Namun begitu, sekiranya diteliti secara mendalam, bidalan adalah peribahasa yang memberi motivasi secara positif manakala pepatah selalunya cuba mengingatkan seseorang supaya tidak mengulangi kesalahan. Contoh bidalan yang boleh juga dikaitkan dengan politikus ialah biar lambat asalkan selamat dan alah membeli menang memakai.
Pepatah pula seperti belum duduk sudah berlunjur dan sudah terhantuk baru tengadah yang amat kena dengan beberapa calon dalam PRN baru-baru ini. Ringkasnya, biarlah peribahasa menjadi amalan dan pengajaran berguna kepada semua dalam kehidupan harian. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










