Panglima perang Pas terajui Serambi Mekah

Panglima perang Pas terajui Serambi Mekah

MOHD. Nassuruddin Daud dilihat cukup petah dan bersemangat setiap kali berceramah di atas pentas Pas. – FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM, bumi Serambi Mekah merakamkan lagi satu sejarah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang ke-19 bagi penggal ke-15 di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dalam satu majlis di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Mohd. Nassuruddin yang merupakan Ketua Penerangan Pas negeri dipilih oleh pucuk pimpinan parti menggantikan posisi itu selepas Datuk Ahmad Yakob membuat keputusan untuk tidak lagi menggalas tanggungjawab tersebut akibat faktor kesihatan. Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas negeri mendedahkan, beliau menghadapi masalah kesihatan, iaitu slipped disc selepas terjatuh sebanyak dua kali sebelum ini, selain jantung membuatkannya mengambil keputusan untuk berundur.

KENAPA BUKAN MOHD. AMAR?

Walaupun Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berada dalam kedudukan ketiga tertinggi dalam hierarki Pas di peringkat Pusat dan menang Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu lalu, namun Pas Pusat memaklumkan, Tanah Serendah Sekebun Bunga bakal mendapat Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu sekiranya parti itu dan Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir Kelantan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini turut memberi bayangan gabungan baharu untuk jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar pada penggal kali ini terdiri daripada agamawan, teknokrat berusia lingkungan 50-an serta bukan dalam kalangan sedia ada yang menerajui pentadbiran sebelum ini.

Berpandukan kepada bayangan itu, Mohd. Nassuruddin dilihat calon paling cocok selepas Mohd. Amar yang merupakan Timbalan Menteri Besar, sudah berusia 68 tahun sekali gus melepasi ciri-ciri yang dimaksudkan oleh Takiyuddin walaupun ADUN Panchor itu mempunyai latar belakang agama.

AGAMAWAN, ULAMA

Pemilihan Mohd. Nassuruddin dilihat cukup tepat apabila Pas Kelantan mendahulukan golongan agamawan dan ulama untuk diangkat sebagai Menteri Besar sebagaimana penggal lalu, iaitu Ahmad. Pada masa sama, Mohd. Nassuruddin merupakan lulusan dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Hal ini kerana masyarakat Kelantan dilihat lebih selesa berada di bawah kepimpinan agamawan atau ulama yang sudah 33 tahun mentadbir negeri ini sejak Pas mengambil teraju pada 1990. Ketika itu Pas di bawah pimpinan Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar.

Perkara tersebut diterjemahkan secara total apabila Pas dan PN menang 43 daripada 45 kerusi DUN pada PRN lalu.

TEGAS, BEKENG

Karakter tegas dan bekeng (garang) dimilikinya menjadikan Mohd. Nassuruddin dilabel sebagai Panglima Perang Pas. Perkara itu dapat dilihat semasa mempertahankan Kelantan daripada serangan pihak lawan.

Karakter itu turut dilihat ketika ‘menyerang’ gabungan lawan menerusi pentas-pentas ceramah.

Pelantikan Mohd. Nassuruddin menyaksikan kerajaan Pas Kelantan bakal memiliki seorang ketua kerajaan yang mempunyai karakter persis Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, iaitu Menteri Besar Kedah yang turut dilabelkan sebagai Panglima.

Jika Muhammad Sanusi lantang mempertahankan Kedah daripada serangan lawan menerusi ucapan-ucapan di atas pentas-pentas ceramah setiap kali berucap. Mohd. Nassuruddin tidak kurang hebatnya apabila dilihat cukup petah dan bersemangat setiap kali berceramah di atas pentas-pentas Pas.

Yang membezakan Muhammad Sanusi dengan Mohd. Nassurddin ialah dari segi latar belakang. Mohd. Nassuruddin merupakan golongan agamawan atau ulama manakala Muhammad Sanusi teknokrat.

Pemilihan Mohd. Nassuruddin dilihat cukup tepat apabila Pas Kelantan mendahulukan golongan agamawan untuk diangkat sebagai Menteri Besar sebagaimana penggal lalu iaitu Ahmad.

Pada PRN baru-baru ini, Mohd. Nassuruddin yang merupakan penyandang kerusi DUN Meranti berjaya mempertahankan kawasan itu apabila menang dengan majoriti 9,154 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Zahri Omar. Mohd. Nassuruddin memperoleh undian sebanyak 13,260 sementara Zahri 4,106 undi. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN