KEBELAKANGAN ini timbul beberapa isu apabila individu yang dilihat enggan memberi kerjasama dalam siasatan, malah menggambarkan agensi penguat kuasa mempunyai tujuan negatif terhadap penama berkaitan.
Harus ditekankan, agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan penting dalam memberi khidmat kepada masyarakat bagi memelihara keamanan serta keselamatan awam dengan mengesan, mencegah dan menyelesaikan jenayah rasuah.
Selaras kewujudannya sebagai entiti tunggal pencegahan rasuah di negara ini, bidang kuasa perundangan SPRM di bawah Akta SPRM 2009 adalah khusus untuk menyiasat dan mencegah sebarang bentuk perlakuan rasuah serta salah guna kuasa.
Punca kuasa SPRM daripada akta ini menggariskan dua matlamat utama. Pertama, menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan satu badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab.
Kedua, mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran sektor awam dan swasta serta komuniti.
Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, bertemu saksi, sesi temu bual dan menyoal siasat ialah teras kepada proses siasatan dan pengumpulan risikan yang perlu dijalankan dengan sempurna. Objektifnya untuk mendapatkan maklumat yang tepat serta bukti-bukti kukuh dan boleh dipercayai untuk melengkapkan siasatan.
Oleh sebab itu, setiap tindakan yang dilaksanakan termasuk memanggil individu untuk mendapatkan maklumat perlu mengikut proses tatacara yang berlandaskan undang-undang dan bertujuan memberi keadilan kepada semua pihak.
Malah menjadi tanggungjawab penyiasat bagi memastikan setiap orang disiasat dilayan dengan bermaruah dan menghormati norma hak asasi manusia kerana ia akan menghasilkan sesuatu yang sah mengikut undang-undang.
Namun, malangnya kebelakangan ini timbul pula isu apabila hal penyerahan notis rasmi untuk memanggil individu tampil membantu siasatan dijadikan sebagai isu yang sangat rumit bagi mereka. Bahkan notis kesan saksi untuk membantu siasatan SPRM dilihat sebagai mempunyai agenda lain.
Dalam hal berkenaan, masyarakat perlu memahami secara asas hak dan kuasa SPRM dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Berdasarkan akta, SPRM sememangnya mempunyai hak dan kuasa untuk memerintah mana-mana orang bagi tujuan siasatan sebagaimana yang dinyatakan pada Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009.
Seksyen tersebut berbunyi:
30(1) – Seseorang pegawai suruhanjaya yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah akta ini boleh:
(a) Memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa secara lisan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu. Malah mana-mana individu tidak boleh menganggap perkara membantu siasatan ini sebagai sesuatu yang remeh dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.
Faktanya, kegagalan mematuhi perintah ini boleh dikategorikan sebagai menghalang penyiasatan mengikut Seksyen 48(c) dan (d) Akta SPRM 2009 yang menjelaskan seperti berikut:
Mana-mana orang yang –
(c) tidak mematuhi apa-apa permintaan, notis, perintah atau kehendak yang sah seseorang pegawai suruhanjaya dalam pelaksanaan kewajipannya di bawah akta ini;
(d) enggan atau abai untuk memberi seorang pegawai suruhanjaya apa-apa maklumat yang semunasabahnya dikehendaki daripadanya dan yang dia berkuasa untuk memberikannya.
Sebagai pelaku, mereka boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Di samping itu, situasi memberi pelbagai alasan ini boleh menimbulkan persepsi, adakah mereka ini sebenarnya memang terlibat dengan kegiatan menyalahi undang-undang sehingga sanggup berdolak-dalik dengan merumitkan perkara-perkara tertentu?
Pokoknya, jika tidak melakukan sebarang kesalahan maka tidak seharusnya kita begitu mudah untuk memberi alasan bagi melambatkan proses siasatan dengan melakukan hal sedemikian. Bak kata pepatah lama, berani kerana benar, takut kerana salah. Ia memang tepat bagi menggambarkan sesetengah kes yang berlaku. – UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Kanan Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).










