HUKUMAN dan pemulihan merupakan dua perkara terkandung di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah negeri-negeri. Hukuman dikenakan kepada pesalah syariah yang telah melakukan sesuatu perbuatan kesalahan dan kemudiannya disabitkan oleh mahkamah syariah.
Kesalahan ditakrifkan sebagai ‘apa-apa perbuatan atau peninggalan dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun Islam dan di atasnya mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa.’ Pesalah syariah berdepan hukuman denda, penjara atau sebat, bergantung kepada keputusan dibuat oleh hakim syarie.
Dari segi amalan, didapati hukuman denda adalah paling kerap dikenakan kepada pesalah syariah baik sebagai hukuman asal atau hukuman ganti kepada pemenjaraan. Denda digantikan dengan penjara apabila hukuman penjara itu dirayu dan dibenarkan oleh mahkamah yang lebih tinggi.
Namun, tidak semua mereka yang melanggar undang-undang syariah adalah pesalah syariah. Pesalah syariah boleh didefinisikan sebagai seseorang yang melakukan suatu kesalahan, disabitkan dan dihukum oleh mahkamah syariah. Tanpa sabitan dan hukuman, seseorang itu bukan pesalah syariah. Misalnya, dalam kes tertentu, seseorang didapati melakukan sesuatu perbuatan dan diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalani pemulihan akidah dan akhlak.
Pemulihan bukan satu hukuman. Pemulihan akidah dikhususkan kepada perbuatan tertentu seperti percubaan murtad. Dalam kes sebegini, mereka bukan pesalah syariah kerana tidak disabitkan oleh mahkamah, sebaliknya diperintahkan agar menjalani pemulihan. Sebagai contoh, perbuatan percubaan murtad di Sabah di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Mahkamah tidak mensabitkannya sebagai suatu kesalahan, sebaliknya memerintahkan agar ditahan di pusat bimbingan Islam untuk tujuan pendidikan dan diminta bertaubat.
Perbuatan percubaan keluar agama boleh berlaku apabila seseorang Islam sama ada dengan perbuatan atau perkataan atau dengan apa cara sekalipun mengaku hendak keluar dari agama Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai bukan Islam. Jika ada mana-mana orang Islam yang didapati terjebak dalam perbuatan sedemikian, maka ia hendaklah segera diadukan kepada penguat kuasa agama.
RAPUH
Terdapat laporan tentang insiden saudara baharu cuba kembali ke agama asal dan mengunjungi tempat ibadat yang asal. Pemulihan dan pemantapan akidah diperlukan agar hati mereka kembali bertaut kepada Islam pada saat iman mereka masih rapuh. Insiden sebegini harus dikekang sejak awal dengan cakna kepada pendidikan dan kebajikan mereka, bukannya ketika mereka sudah ke mahkamah syariah untuk membuat permohonan penentuan status agama. Ketika ini, pelbagai usaha diperlukan untuk memujuk mereka agar kekal dalam agama Islam.
Selain daripada apa dibincangkan di atas, pemulihan akidah, pemantapan iman dan akhlak juga merupakan suatu pendekatan boleh diambil dalam menangani mereka yang melanggar perintah agama. Hasrat pembuat undang-undang ini boleh dikesan daripada peruntukan pemulihan bagi kesalahan-kesalahan berkaitan akidah dan akhlak. Sebagai contoh, Seksyen 54 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan mahkamah yang telah mensabitkan mana-mana orang atas suatu kesalahan di bawah Bahagian II dan beberapa kesalahan lain berkaitan agama serta mana-mana perempuan disabitkan di bawah Bahagian IV, boleh sebagai ganti hukuman diberikan, memerintahkan supaya ditahan di pusat pemulihan yang diluluskan untuk menjalani pemulihan tidak melebihi enam bulan.
Kesalahan Bahagian II dimaksudkan adalah berkaitan akidah seperti pemujaan salah, mengajar doktrin palsu, mengembang doktrin agama, membuat dakwaan palsu dan sebagainya. Bahagian IV pula adalah kesalahan berkaitan tatasusila. Kes Abdul Kahar Ahmad ‘Rasul Melayu’ di Selangor merupakan bukti pemulihan akidah dikenakan kepada mereka yang terpesong akidahnya dan pemulihan dapat direalisasikan kerana Selangor mempunyai pusat pemurnian akidah dikenali sebagai Baitul Iman.
Sudah tiba masanya negeri-negeri lain juga mempunyai pusat sebegini bagi merealisasikan agenda pemulihan akidah yang amat diperlukan pada masa kini. Ketiadaan pusat pemulihan yang diluluskan dan digazet merupakan halangan utama perintah pemulihan tidak dapat dibuat oleh mahkamah syariah. Perintah pemulihan secara tahanan bertempoh juga agak sukar untuk dilaksanakan selagi tempat tersebut tidak digazet sebagai tempat tahanan.
Justeru, kaedah alternatif terpaksa dibuat tanpa melibatkan tahanan. Di samping itu, modul khusus pendidikan dan pemulihan akidah juga diperlukan dan jika boleh, selaras antara negeri-negeri seluruh negara.
Dalam semangat untuk menyokong pemerkasaan hukuman di mahkamah syariah menerusi peningkatan takat hukuman di bawah Akta 355 yang dinanti-nantikan, wujud harapan agar mahkamah syariah pada masa sama menggunakan secara optimum hukuman sedia ada yang diperuntukkan.
Sebagaimana dijelaskan di atas, undang-undang membenarkan hakim membuat tambahan kepada hukuman termasuk perintah ke pusat pemulihan. Tanpa adanya pusat berkenaan, mana mungkin ia dapat dipraktikkan. Penjara dan penahanan di pusat pemulihan wajar dikenakan setelah mengambil kira keberkesanan sesuatu hukuman terhadap pesalah. – UTUSAN
Profesor Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah & Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










