PERKARA 153 Perlembagaan Persekutuan mempunyai hubungan rapat dengan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Ia menyatakan dengan jelas tentang perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan serta permit atau lesen bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.
Kedudukan Perkara 153 ini amat istimewa kerana ia tidak boleh dipinda dengan mudah sebagaimana peruntukan lain walaupun mendapat persetujuan atau sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Peruntukan Perkara 153 ini tidak boleh dipinda sekiranya tidak mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 38(5). Perkara 38(5) menyatakan, “Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.”
Istimewanya Perkara 153 tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa kerana ia telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 4.
Secara filosofi dan makna tersiratnya, Perkara 153 adalah lanjutan daripada perjuangan silam bangsa Melayu yang panjang. Ia mempunyai hubungan rapat dengan perjuangan sosiopolitik dan ekonomi orang Melayu. Ia mempunyai hubungan dengan tolak ansur pemberian kewarganegaraan kepada pendatang bukan Melayu di saat-saat menjelangnya kemerdekaan. Secara jelas, ia mempunyai hubungan rapat dengan kontrak sosial yang dipersetujui antara orang Melayu dan bukan Melayu.
Secara rumusan umum lebih meluas, maknanya Perkara 153 salah satu asas penting pembinaan dan pengukuhan jangka panjang negara bangsa Malaysia. Orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sebagai penduduk asal dan majoriti mempunyai kedudukan dan peranan penting bagi kestabilan negara. Tanpa wujudnya kestabilan sosiopolitik dan kestabilan ekonomi penduduk utama, pasti akan memberi kesan negatif kepada negara secara keseluruhannya. Inilah falsafah besar tersirat betapa pentingnya peruntukan perkara ini dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perdebatan berlaku antara pimpinan Melayu dan bukan Melayu khususnya dalam tahun-tahun awal selepas merdeka – berapa lama peruntukan ini akan berlangsung? Adakah had masa tertentu atau selama-lamanya? Ada yang mencadangkan hanya untuk tempoh 15 atau 20 tahun selepas merdeka atau satu tempoh yang membolehkan orang Melayu mencapai tahap pencapaian tertentu. Keputusan yang diterima adalah tidak ada had masa tertentu ditetapkan.
Kedudukan ini akan lebih kukuh apabila sebarang pindaan tentang Perkara 153 ini mesti dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 38 (5). Ini bermakna Perkara 153 tidak ada had masanya dan secara tidak langsungnya dilindungi oleh Majlis Raja-Raja. Sudah pastinya sultan dan Yang di-Pertuan Agong adalah pelindung orang Melayu dan seluruh rakyat yang taat setia sepanjang masa.
DEB
Perjuangan parti-parti politik Melayu dari dulu sejak zaman penjajahan British hingga dekad awal kemerdekaan melaungkan dengan jelas tentang kepentingan bangsa Melayu dalam perjuangan mereka. Persoalan berkaitan Perkara 153 dinyatakan dengan jelas, terbuka dan berani. Ini sepatutnya berlaku kerana ia adalah pernyataan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Contoh paling jelas berlaku dalam masa pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Melihat betapa penting kestabilan dan kekuatan orang Melayu sebagai kumpulan utama penduduk, Abdul Razak meletak dasar kepentingan Melayu sebagai asas utama kestabilan dan kemakmuran negara. Semua dasar utama negara mempunyai hubungan langsung dengan Perkara 153 dan peruntukan-peruntukan berkaitan. Semua dasar utama negara mestilah dinilai dan dikaitkan dengan Perkara 153 sama ada selari atau bertentangan. Andainya sesuatu dasar baharu itu bertentangan dengan peruntukan Perkara 153, maka dasar itu harus disesuaikan semula. Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Universiti Kebangsaan dan seumpamanya adalah selaras dengan Perkara 153.
Abdul Razak dilihat sebagai jurutera sosioekonomi dan politik negara yang berjaya. Barisan Nasional (BN) yang dicetuskannya berjaya membina kestabilan tanpa dipersoalkan oleh sesiapa. Perpaduan parti-parti politik Melayu adalah asas perpaduan dan kestabilan politik negara. Apabila parti-parti politik Melayu berjaya disatukan, maka kestabilan politik negara stabil dan terjamin.
Perpecahan antara parti-parti politik Melayu akan menyukarkan berlakunya kestabilan politik negara. Perpaduan Melayu adalah asas perpaduan negara. Perpecahan parti-parti politik Melayu akan menyukarkan berlakunya perpaduan parti-parti politik keseluruhan negara.
Kumpulan minoriti penduduk hanya akan bersatu dan menyokong sepenuhnya kepimpinan Melayu apabila telah jelas berlakunya penyatuan kukuh parti-parti politik orang Melayu. Dalam keadaan parti-parti politik Melayu berada dalam keadaan berpecah-belah sekarang, kumpulan penduduk minoriti menjadi serba-salah dalam membuat keputusan pihak mana harus dipilih. Salah tafsir berlaku dan keputusan yang benar-benar tepat sukar dibuat.
Perkara 153 juga menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak mengurangkan peruntukan Perkara 136, iaitu tentang layanan saksama bagi perkhidmatan Persekutuan. Tafsiran apa itu ‘orang-orang Melayu’ berasaskan Perkara 160 perlu dijelaskan kepada semua penduduk. ‘Melayu’ mengikut tafsiran Perlembagaan Persekutuan bukan semata-mata tafsiran berasaskan ‘biologi’ tetapi tiga syarat seperti dinyatakan khususnya Perkara 160. Tafsiran ini selaras dengan falsafah besar kestabilan sesebuah negara bangsa – one state, one nation.
Parti-parti politik Melayu wajar meletakkan Perkara 153 sebagai asas perjuangan mereka. Persoalan ini adalah kesinambungan perjuangan silam dan menjamin sokongan orang Melayu serta kekuatan parti-parti politik Melayu. Dengan wujudnya sebuah parti politik Melayu dominan yang kuat, pasti akan berjaya menarik sokongan bukan Melayu kepadanya. Parti politik bukan Melayu tidak akan berjaya membentuk sebuah kerajaan yang kuat hanya dengan sokongan dan gabungan kecil orang Melayu. Semoga akan terbentuk sebuah parti politik dominan Melayu berasaskan Perkara 153 dan terukirnya keadilan untuk semua warganegara. – UTUSAN
Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo, Universiti Malaysia Sabah.










