Berfikir realistik untuk diri, keluarga - Utusan Malaysia

Berfikir realistik untuk diri, keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIKTOK memang ‘kejam’. Eh! bukan TikTok, itu cuma alatnya, tetapi mesej yang terkandung dalamnya. Ringkas, padat, berpengaruh sampai melekat di kepala.

Hendak dimarahi mereka yang mudah sangat terpedaya isinya, dengan sebahagian besar maklumat yang dangkal, lagi auta ini, tidak boleh juga. Sudah mereka ini menerima sahaja. Tidak mahu guna akal yang dianugerahkan oleh-Nya untuk berfikir.

Dengan suntingan klip video yang cantik, sesiapa pun boleh terpengaruh dengan info TikTok antara 15 ke 20 saat itu. Tidak perlu kempen pilihan raya besar-besaran dihadiri 20,000 atau 30,000 orang. Dengan TikTok sahaja, boleh kaut khalayak 300,000 hingga 500,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

Akan tiba suatu hari parti-parti politik tidak lagi perlu keahlian sehingga sejuta orang. Cukup dalam 100,000 ke 300,000 tetapi berkualiti, efektif berbaur ‘merepek meraban’.

Lihat sahaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Usia parti baru setahun jagung, tidak berdekad-dekad macam UMNO, MCA dan MIC. Tetapi dek upaya menjana keterampilan dalam media sosial dan ‘cerdik’ main TikTok, parti itu boleh pergi jauh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Sepanduk dan benderanya merata waktu itu, menenggelamkan parti-parti lain. Cuma dalam kempen enam pilihan raya negeri yang sudah masuk hari ke-10 ini, perang poster, sepanduk dan bendera dari Perikatan Nasional amat hambar, terutama di Selangor.

LICIK, KOMITED

Pendek kata, dalam politik Malaysia hari ini diperlukan sekumpulan orang yang cerdik, licik dan komited.

Tidak komited, tidak boleh juga. Lihat sahaja Pakatan Harapan (PH). Sebelum 2018, mereka dikatakan memiliki tentera siber hebat pergerakannya dikenali Red Bean Army (RBA). Kumpulan ini dari kalangan mereka yang pelbagai lapangan kerjaya dan status sosial. Ada jurutera, arkitek, doktor dan pengamal media. Profesional dan ‘bergaji’.

Santai dan amat informatif, sehingga selepas itu kepakaran RBA ini ditiru oleh bossku. Sama ada auta atau fakta laporan yang ditujahnya, waktu itu ‘segala dibentang dianggap benar’ oleh sebahagian besar rakyat negara ini. Apalagi individu disasarkan memang sah ada kes-kes mahkamah.

Diperkuatkan pula lagi dengan penerajunya terdiri beberapa ‘panglima perang’ satu dua parti pembangkang tika itu. Hingga angkat bendera putihlah parti-parti kerajaan waktu itu. Ibarat serah tengkuk saja kalau ada pemimpin-pemimpin kerajaan yang cuba bertindak balas.

Angkat muka menjawab, siaplah pukulan sepak terajang tentera siber ini. Itu cerita kehebatan, kelicikan tentera siber era PRU12, PRU13 dan di ambang PRU14. Dan penangannya terbukti dengan kejutan bersejarah menumbangkan kerajaan BN, 9 Mei 2018.

Komitmen tinggi RBA ini sehinggakan tidak kisah tohmahan dan fitnah yang dilontarkan itu bakal menjerat diri ke mahkamah. Sayangnya setelah menjadi kerajaan hari ini, strategi dan kaedah yang digunakan semasa menjadi askar siber tempoh hari tidak lagi dipraktikkan.

Padahal, banyak input, statistik dan perangkaan, sambil dibantu oleh penjawat awam boleh dijadikan formula mujarab mematikan kritikan musuh. Mengapa dibiarkan bos terkapai-kapai sendiri untuk berdepan dengan pembangkang? Agaknya suram dan hilang punca selepas sudah bentuk kerajaan.

Realitinya, Malaysia berada dalam bahaya jika pemikiran pengundi, terutama anak muda belasan tahunnya yang layak mengundi, dihambat oleh maklumat-maklumat separuh benar, separuh masak ini.

Dengan gemar mendengar maki hamun, lawak jenaka dan ucapan karut-marut, dan kemudian membuat keputusan yang salah, kita akan meletakkan bangsa ini statik – tidak ke mana. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa yang maju, tidak akan berlaku.

BERMAHARAJALELA

Untuk memperbetulkan yang biasa, biasakan yang betul, alah bisa tegal biasa – juga mustahil dicapai. Lantas pemimpin politik kerana takut buat perubahan demi mengekal kuasa dan jawatan serta menjaga hati ‘sekumpulan kategori pengundi’, bangsa ini akhirnya tidak mencapai piawaian sebenar.

Berfikir sejenak, hal-hal seperti parti Melayu bekerjasama dengan DAP sudah cukup menjadi modal menang besar kepada pesaing-pesaing politik. Sedangkan ahli-ahli dan pemimpin parti itu bukan warga asing.

Bukan makhluk asing datang dari piring terbang. Kendalikanlah dengan bijaksana. Bukankah DAP itu mewakili majoriti masyarakat Cina di Malaysia, bukan MCA mahupun Gerakan?

Yang hairannya, parti-parti Melayu ini bila kuasa berada di tangan, akhirnya akan ‘dihalalkan’ sekali lagi hubungan dan kerjasama dengan DAP. Cuma bagaimana dari segi bentuk dan taktikalnya, bergantung pada ‘dalil’ atau ‘fatwa’ yang akan dikeluarkan. Yang ‘gigit jari’ dan tertipu adalah pengundi Melayu.

Masalahnya kepada UMNO hari ini adalah seluruh parti mahu mengalahkannya. Lebih-lebih lagi daripada bekas-bekas pemimpin tertinggi dan kanan UMNO yang mahu parti itu lenyap terus.

TikTok akan terus ‘bermaharajalela’ dalam lima hari lagi berbaki kempen.Tempoh hari kerajaan hilang pendapatan RM45 bilion selepas pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Diperkenalkan 1 April 2015 tetapi hanya mampu bertahan setakat 1 Jun 2018, ketika 146 negara berjaya melaksanakannya. Kesan akibat ini menular dan terasa sehingga hari ini.

Dalam banyak keadaan, diri seorang pemimpin itu terpaksa membuat keputusan tidak popular demi untuk memberi nafas dalam bentuk makro kepada rakyat, negara, bahkan kepada partinya sendiri.

Dan kita tidak pasti apa yang ada dalam pemikiran seorang pemimpin kerajaan. Hanya kecekalan, keberanian hati kering daripada kepemimpinannya sahaja yang boleh melawan tekanan-tekanan dihadapi diri dan parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×