WALAUPUN pada zahirnya calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini adalah dari Parti Amanah Negara (Amanah), iaitu Suhaizan Kaiat dan Ir. Nazri Abdul Rahman, tetapi yang akan banyak diperhatikan ialah kemampuan UMNO Johor untuk membantu mengekalkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) sekali gus membuktikan UMNO masih kuat dan relevan di negeri itu.
Kemenangan PH di Pulai dan Simpang Jeram penting kepada Barisan Nasional (BN) kerana dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, Amanah mengorbankan kerusi Lenggeng, Negeri Sembilan yang dimenangi calonnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Suhaimi Kassim untuk diberi kepada calon UMNO, Mohd. Asna Amin. Mohd. Asna menang dengan majoriti 685 undi. Oleh itu, UMNO kini perlu membalas budi Amanah di Pulai dan Simpang Jeram.
Johor juga adalah negeri yang diperintah BN setelah menang 40 daripada 56 kerusi dalam PRN, 12 Mac 2022. Dengan Menteri Besar Johor datang dari UMNO, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi UMNO Johor adalah Naib Presiden UMNO kedua terkanan merangkap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, penubuhan UMNO itu sendiri di Istana Johor serta UMNO-BN tidak pernah tidak menguasai DUN Johor sejak merdeka, PRK Pulai dan Simpang Jeram ini penting untuk UMNO.
Selain itu, salah satu daripada dua DUN di Pulai, iaitu Kempas diwakili oleh UMNO, iaitu Datuk Ramlee Bohani yang menang selesa apabila memperoleh 11,919 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Napsiah Khamis (8,405 undi) dan calon Perikatan Nasional (PN), Nur Faizal Abdullah (8,036 undi). Dengan pengundi Melayu membentuk 58.65 peratus berbanding pengundi Cina (31.73%) dan pengundi India (9.61%), peranan UMNO penting di sini.
Satu lagi DUN di Pulai, iaitu Perling tidak akan memberikan masalah kepada calon Amanah kerana pengundi Cina membentuk sebanyak 48.30 peratus berbanding pengundi Melayu (39.76%) dan pengundi India (11.9%). Tambahan pula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liew Chin Tong dari DAP menunjukkan prestasi perkhidmatan yang baik di situ selain turut menjadi Ahli Parlimen Iskandar Puteri merangkap Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
GELOMBANG PN
PN khususnya Pas lebih fokus untuk menjadikan PRK Simpang Jeram sebagai pintu masuk kepada ‘gelombang PN’ di Johor, mengikut Ketua Pengarah Pilihan Raya PN merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Beliau berkata, gelombang yang tercetus dalam PRN lalu akan melanda Johor sampai ke Singapura sebelum PN mengambil alih Johor dalam PRN yang dijangka berlangsung dua tahun setengah lagi.
Pas yakin kerana ia pernah menguasai Simpang Jeram dalam PRU12 dan PRU13 sewaktu DUN ini dikenali dengan nama Sungai Abong. Dalam PRU12, calon Pas, Dr. Sheikh Ibrahim Salleh menang dengan majoriti 1,550 undi ke atas calon BN, Kamarudin Suratman manakala PRU13, Sheikh Ibrahim mengekalkan kemenangan dengan majoriti 3,813 undi ke atas calon BN, Datuk Dr. Haris Salleh.
Walaupun begitu, keyakinan Pas ini sebenarnya tidak bertempat. Kemenangannya dalam PRU12 dan PRU13 bukanlah kerana kekuatan akar umbinya sendiri tetapi kerana bantuan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR) waktu itu, iaitu PKR dan DAP. Kelemahan Pas terbukti bila setelah tidak lagi bersama dengan PKR dan DAP, calonnya, Dr. Mohd. Mazri Yahya hanya mendapat 2,136 undi berbanding 14,640 undi calon PH dan 6,953 undi calon BN dalam PRU14.
Dengan komposisi pengundi Melayu hanya 52.70 peratus berbanding pengundi Cina (44.99%) dan pengundi India (2.31%) di Simpang Jeram dan dengan mentaliti pengundi Melayu di Johor yang jauh berbeza berbanding pengundi Melayu di Pantai Timur dan Utara Semenanjung, hampir mustahil untuk Mohd. Mazri yang mewakili Pas menang. Apa yang menjadi cabaran ialah untuk UMNO memindahkan pengundi asasnya sebanyak 6,062 dalam PRN Johor kepada PH.
Setelah UMNO dijangka berjaya membantu kemenangan calon PH dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram, ia akan berhadapan satu tugas lebih berat bila calonnya sendiri akan berhadapan calon PN dalam PRK Pelangai pada 7 Oktober nanti ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.
PRK Pelangai lebih penting kerana ia ukuran langsung ke atas kekuatan UMNO untuk bertahan di Pahang setelah PN memperoleh 18 kerusi menyamai kerusi BN dalam PRU15. Di atas kertas, UMNO tidak patut menghadapi masalah di kerusi ini kerana dalam PRU15 Johari menang besar apabila memperoleh 7,308 undi mengalahkan calon PN, Kasim Samat (3,260 undi) dan calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi).
Walaupun begitu, dengan majoriti pengundi Melayu di Pelangai dan kesungguhan PN meluaskan gelombang hijau, keadaan mungkin berubah. Satu faktor yang mungkin boleh menjadi penentu dalam PRK Pelangai ialah ke arah mana bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob yang sekian lama menjadi ADUN di situ akan memberikan sokongannya. Jika Adnan mahu melihat UMNO benar-benar ‘bungkus’, maka cabaran UMNO akan menjadi lebih besar di situ.
Kemenangan selesa dalam tiga PRK ini tidak syak lagi akan menjadi penentu kepada kebangkitan UMNO. Tugas besar menanti pemimpin UMNO untuk membuktikan ia adalah aset dan bukannya liabiliti kepada PH. – UTUSAN
DR. Nik Mawardi Mohamed ialah Pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM).










