SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15. Lalu, semboyan dibunyikan bagi parti-parti politik turun gelanggang untuk menunjukkan kejaguhan. Pengundian akan diadakan secara serentak bagi keenam-enam negeri terbabit.
PRN kali ini melibatkan Kelantan, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Meskipun PRN ini untuk memilih wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak berkaitan dengan kuasa menentukan Kerajaan Persekutuan, ada pihak mengandaikan malah membuat spekulasi konon keputusannya adalah satu bentuk referendum bagi mengabsahkan kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang masih menjadi polemik dalam kalangan sesetengah pihak.
Dari segi demografi, jumlah pengundi adalah lebih 9.77 juta, majoritinya Melayu. Dalam pada itu, lebih lima puluh peratus (51.1 peratus) pengundi berumur antara 18 hingga 39 tahun.
Memandangkan politik adalah dinamik dan permainan politik pula bermacam-macam ragam serta tidak tetap, maka tidak mudah bagi sesiapa pun untuk meramalkan keputusan PRN kali ini. Lebih-lebih lagi gabungan PH-BN menyertai dalam satu pasukan pertama kali menentang Perikatan Nasional (PN). Namun, sentimen rakyat di akar umbi menunjukkan bayangan pertembungan antara PH-BN dan PN adalah hebat dan saingannya sengit kali ini.
Meskipun PH dan BN mempunyai kekuatan tersendiri, perlu mengambil kira pendirian MIC dan MCA yang umumnya menjadi teras kekuatan kemenangan calon UMNO di beberapa kerusi. MIC dan MCA mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRN pada pertama kalinya dalam sejarah politik Malaysia.
Meskipun tidak bertanding, kepimpinan MIC dan MCA berjanji akan tetap turun padang memberi sokongan moral kepada pasukan PH-BN. Persoalannya, apakah semangat dan komitmen itu dapat diterjemahkan di peringkat akar umbi dalam memastikan calon PH-BN menang? Lebih-lebih lagi dalam suasana politik di mana PN dilaporkan membuka pintu bagi kemasukan pemimpin dan ahli MIC yang keluar parti kerana kecewa dengan kepimpinan parti. Malah, terdengar bisikan kononnya beberapa pemimpin dan penyokong hebat MIC di peringkat akar umbi yang keluar parti berhasrat menyokong PN di kawasan masing-masing.
Kehilangan sokongan pengundi MIC pasti akan menjejaskan peluang kemenangan calon PH-BN. Malah, timbul desas-desus kononnya MIC dan MCA akan keluar daripada gabungan BN untuk menyertai PN tidak lama lagi juga dilihat akan melemahkan kekuatan PH-BN.
Meskipun PH-BN selaku parti pemerintah atau kerajaan semasa mempunyai kelebihan dalam menghadapi PN, realiti menunjukkan sebaliknya. Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Padang Serai di Kedah pada Disember lalu menunjukkan PN mampu mengatasi PH, parti memerintah dengan majoriti 16,260 undi.
JIWA POLITIK
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang yang berlangsung pada hari sama menunjukkan BN hanya dapat tewaskan calon PN dengan undi tipis, iaitu 573. Keputusan kedua-dua PRK ini jelas menggambarkan psyche (jiwa) politik pengundi terutama orang Melayu selepas kerajaan PH-BN ditubuhkan susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Momentum pola pengundian ini didapati dieksploitasikan oleh PN dengan strategi politiknya, terutama Pas yang menjadi komponen utama malah teras kekuatan PN. Pas didapati lebih memfokuskan kepada pengundi Melayu sebagai sasaran utama kerana mereka merupakan pengundi majoriti sebahagian besar DUN di keenam-enam negeri terlibat.
Dalam pada itu, sebahagian besar pengundi muda terutama orang Melayu yang suatu ketika tertarik dengan parti menganjurkan reformasi, slogan Bersih dan hak asasi didapati kini tidak lagi terikat dengan parti-parti tersebut. Tetapi mereka lebih terpengaruh kepada suara hati berkaitan hal-hal kos sara hidup. Mereka ingin bersama dengan kumpulan yang memperjuangkan mengembalikan hak dan kuasa politik kaum yang kononnya didakwa terlepas dari tangan.
Meskipun kerajaan perpaduan melaksanakan pelbagai pembaharuan atau transformasi pentadbiran dalam masa singkat, iaitu tujuh bulan sejak PH-BN mengambil alih tampuk pemerintahan negara, rakyat yang dahagakan dan mengharapkan kerajaan membantu dalam mengurangkan beban kos hidup mereka tidak tercapai.
Secara umumnya, rakyat rata-rata tanpa mengira kaum didapati bosan dengan isu rasuah yang dihebohkan saban hari oleh kerajaan PH-BN. Rasuah adalah isu\utama pada PRU15. Kini, isu rasuah sudah lapuk atau kurang diutamakan oleh pengundi terutama golongan marhaen. Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan yang banyak menekankan dalam ucapan-ucapannya bahawa kerajaan kepimpinan beliau akan berusaha menoktakkan masalah kemiskinan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum juga kurang memikat dan menawan hati pengundi.
Pendek kata, agenda utama diheboh-hebohkan oleh kepimpinan kerajaan PH-BN kurang seiring dengan aspirasi dan harapan rakyat malah ada pihak yang mencela dengan kata-kata kononnya kerajaan PH-BN cakap tak serupa bikin.
Dalam konteks ini, sebahagian besar pengundi Melayu merentasi peringkat umur dikesan sudah pun membuat ketetapan untuk menggunakan undi sebagai instrumen bagi menunjukkan lebih sedia bersama parti yang dianggap akan melindungi hak dan kuasa dominan politik mereka.
Sebahagian pengundi India yang masih menyokong MIC dan pengundi Cina yang masih menyokong MCA pula kelihatan bingung dalam memutuskan pilihan mereka pwada PRN ini. Malaysia dikatakan melihat tsunami India pada PRU12, tsunami Cina pada PRU14, dan apakah tsunami Melayu alan melanda PRN kali ini? – UTUSAN
Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosial dan politik.










