HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri.
Sama seperti menyaksikan warga asing dari banyak negara berpusu-pusu berkelana ke negara ini demi mencari kebahagian (hujan emas) dengan tidak lagi terperap di negara asal (terima hujan batu) sudah tidak boleh lagi diterima peribahasa ini, demikian juga halnya dengan pengundi pilihan raya.
Bukankah lebih elok anda mengundi sahaja di kawasan pilihan raya anda bermastautin. Tidak lagi berduyun-duyun balik ke kampung halaman di musim pilihan raya untuk memilih wakil rakyat?
Mengapa anda yang duduk di Shah Alam tidak memilih wakil rakyat bertanding di Shah Alam sahaja? Bukankah mereka yang memberi khidmat kepada anda? Segala aduan masyarakat di penempatan anda, pasti diajukan kepada Yang Berhormat (YB) dalam kerusi Parlimen Shah Alam. Dan anda akan semak dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik atau ADUN Batu Tiga jika ada masalah setempat – banjir atau jenayah.
Andai mereka bertiga ini (Shah Alam, Kota Anggerik dan Batu Tiga) gagal menjalankan tanggungjawab YB masing-masing, pasti sekali anda memberi hukuman tidak lagi mengundi mereka.
Tetapi ini tidak berlaku pula. Yang hairan bin ajaibnya, anda yang tinggal berpuluh tahun di Shah Alam, boleh pula bergerak beratus kilometer ke Kuantan, Ipoh atau George Town, juga Kuala Terengganu atau Kota Bharu, untuk memilih wakil rakyat anda di sana. Mengapa? YB di lima kawasan itukah yang selama ini memberi khidmat kepada anda?
DUIT MINYAK
Lebih merosakkan lagi, anda sanggup terima duit minyak atau lebih terang lagi bersuluh duit rasuah untuk belanja balik ke kampung. Sudah tentu kebenarannya dalam 70 peratus selepas terima duit minyak itu anda akan mengundi calon parti yang menyumbangnya.
Banyak kekurangan dan kelemahan akibat sikap kurang prihatin pengundi luar. Ibarat melontarkan onar kepada kampung halaman sendiri. Anda berkemungkinan besar telah menikmati kemudahan prasarana moden di bandar-bandar besar. Tapi sayangnya dengan kuasa undi yang dimiliki, anda menghukum pula kampung halaman yang antaranya belum menikmati arus kemajuan. Terputus bekalan air dan acap kali dicatu; bergantung pada generator disebabkan tiada bekalan elektrik atau sejak 15 tahun hanya jalan tanah merah terpaksa dilalui, tidak anda ambil peduli. Sedangkan orang kampung berkehendak penambaikan, naiktaraf itu ini. Bahkan mahu mengajar YB di situ yang culas memperjuang membawakan kemudahan infrastruktur semua itu.
Malang sekali, alih-alih anda balik sebagai pengundi luar, mengundi parti atau calon yang gagal itu. Bercampur baur pula dengan amarah atau ketaasuban. Atau segala kesalahan diletakkan kepada bahu pemerintah. Bukan pada YB yang gagal beraksi sebagai Yang Berkhidmat.
Atas kelemahan anda jugalah tidak hairan mengapa kawasan bandar dan luar bandar terus didominasi kaum tertentu sejak kita merdeka. Padahal dari segi populasi, jumlah orang Melayu di bandar realitinya lebih ramai daripada kaum lain.
Tetapi mereka bukannya pengundi di situ. Kebanyakan orang Melayu adalah penghijrah dari kawasan luar bandar dan mereka mengundi di kawasan asal. Apabila tiba masa pilihan raya, mereka akan balik mengundi di sana.
Ini cukup berbeza dengan sikap pengundi Cina, apabila mereka bermastautin di satu-satu tempat, mereka akan menjadi pengundi di situ. Sekali gus menyebabkan kuasa undi mereka lebih besar walaupun jumlah penduduk daripada kaum itu lebih kecil berbanding Melayu.
TRANSFORMASI
Di sini perlu ada satu transformasi. Sudah tiba masanya pengundi Melayu lakukan perubahan dengan mengundi di tempat mereka bermastautin. Ini bagi memecah tembok penguasaan politik berasas kaum tertentu. Dan agar dapat membela nasib mereka di penempatan mereka bermastautin.
Ambil contoh sahaja Kuala Lumpur. Di kawasan Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, Cheras dan Seputeh, ramai populasi Melayu yang berhijrah dari luar dan menetap kerana bekerja. Namun apabila pilihan raya, mereka mengundi di kawasan asal.
Banyak perkara di depan mata hari ini perlu melalui “perbetulkan yang biasa, biasakan yang betul”.
Anda mungkin sudah puluhan tahun tidak menjenguk kampung halaman. Emak ayah sudah lama pulang menghadap Ilahi. Sesekali sahaja balik menziarahi pusara mereka atau adik beradik yang menginap di sana.
Biarlah penduduk setempat yang menentukan hala tuju hidup mereka. Beri peluang kepada mereka memilih calon yang bakal membawa kesejahteraan untuk ramai berbanding gelagat fikirkan tembolok sendiri sahaja. Penduduk kampung mahu lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya. Bilang jasanya, ketahui budinya. Adakah dia hanya pemimpin semasa cuaca cerah. Tetapi ketika tengkujuh dia menghilang?
Ingatan yang berguna kepada pengundi luar – jangan kerana fakta tidak diperiksa, hanya separuh didengar separuh lagi diselindungkan, kelambu pun dibakar.
Undi18 dan akta lompat parti sudah diperbetulkan kompasnya. Tinggal satu perkara lagi yang mustahak ini – mengundilah di tempat anda bermastautin.
Jangan bikin onar kampung sendiri.










