SEJAK hujung 2021 sehingga hari ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tidak berhenti berusaha membantu untuk mengeluarkan hampir 1,000 rakyat Malaysia dari ‘neraka’ pemerdagangan manusia di Myanmar.
Pun begitu, usaha yang dilakukan seakan bertemu jalan buntu memandangkan agak sukar untuk kerajaan menembusi wilayah Myawaddy yang kini ditadbir junta tentera walaupun beberapa rundingan dilakukan termasuk melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri untuk menekan junta Myanmar bagi membebaskan warga Malaysia yang menjadi mangsa kes penipuan pekerjaan.
Sebelum ini, pelbagai usaha dilakukan termasuk meminta bantuan Wisma Putra, polis ASEAN (Aseanapol) dan meja rundingan ASEAN.
Bahkan konflik politik yang berterusan di negara itu lebih menyukarkan usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa pemerdagangan manusia. Dan disebabkan isu pentadbiran dan politik di sana masih belum selesai sehingga hari ini, Malaysia antara negara yang tidak mengiktiraf pentadbiran junta atau dalam kata lain, tiada hubungan baik dengan kerajaan negara tersebut.
Menurut kajian lapangan, masalah lebih sukar apabila situasi ‘pelik’ di peringkat pusat negara itu gagal menguasai peringkat daerah.
Oleh kerana itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini menzahirkan rasa kecewa selepas bertemu jalan buntu ekoran tidak nampak lagi cara untuk menyelesaikan isu jenayah yang begitu kompleks melibatkan pemerdagangan manusia seperti buruh paksa, jenayah kekerasan seperti ugutan, kekerasan (cedera) dan mengurung mangsa.
“Di Myanmar agak lain, tidak sama seperti Kemboja, Laos atau Filipina. Untuk tiga negara itu, kita nampak kesan pada usaha-usaha yang dilakukan kerajaan.
“Menghantar pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kunjungan hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding di Kemboja berjaya membawa balik ramai mangsa pemerdagangan. Untuk tiga negara itu, mereka respons apabila kita minta bantuan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia di sana tetapi tidak di Myanmar.
“Kita tidak nampak jalan (ikhtiar). Kita sudah lakukan pelbagai cara, namun masih belum ada sinar walaupun mengetahui lokasi mereka bekerja atau disembunyikan,” katanya.
Bahkan sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang juga meluahkan rasa penat dari segi mental, emosi dan kewangan selepas hampir setahun terlibat dalam usaha menyelamatkan mangsa penipuan pekerjaan di luar negara.
Tambah Hishamuddin, rakyat Malaysia di sana turut dijual dari satu ejen ke ejen yang lain selain hidup dalam tekanan dan terancam di negara asing selepas diugut untuk dijual organ mereka.
Beliau juga mendedahkan, mangsa terpaksa bekerja sebagai kuli selama 15 hingga 20 jam sehari menjadi scammer dan perlu mencapai sasaran ditetapkan. Jika tidak, mereka tidak dibenarkan tidur, malah kedudukan tangan tidak boleh diangkat daripada papan kekunci sepanjang masa bekerja.
Sekiranya tidak mencapai sasaran, akan dipukul dan dikurung dan jika mereka meminta untuk dilepaskan (give up), maka perlu membayar pampasan antara RM50,000 hingga RM100,000. Kalau gagal juga, akan dijual ke agensi lain selain terpaksa menjadi pelacur.
“Kami juga ada berhubung dengan beberapa mangsa, namun selepas bantuan pembayaran pampasan sebelum tarikh yang ditentukan tidak berjaya, mereka sudah tidak dapat dikesan lagi. Kita juga tidak pasti keadaan mereka,” jelasnya.
KAWALAN
Berdasarkan situasi semasa, semakin ramai rakyat Malaysia terutama dalam golongan belia di bawah umur 30 tahun masih ditipu tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan mencecah RM4,000 walaupun tiada pengalaman sedangkan kerajaan melalui pelbagai agensi dan kementerian tertentu sudah menguar-uarkan mengenai pembohongan ini sama ada melalui media cetak, media elektronik mahupun media sosial tetapi masih ada pihak terlepas pandang dan akhirnya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
Jadi, Hishamuddin melihat perlu ada perubahan holistik dalam usaha memerangi aktiviti jenayah hamba moden ini melalui kawalan ketat di pintu sempadan negara. Pihak berwajib perlu peka dengan modus operandi aktiviti jenayah ini. Mereka perlu menyoal dan menahan sekiranya terdapat kesangsian terhadap golongan muda terutama berusia 30 tahun dan ke bawah yang memberi alasan untuk bercuti atau bekerja.
Ini termasuk sekiranya mereka baharu kali pertama menggunakan pasport, berseorangan, bersama rakan atau tidak bersama keluarga, tiada dokumen pekerjaan yang sah dan duit dalam poket sekitar RM100 hingga RM200.
“Ya, ia memang agak susah untuk buat tetapi kita sudah tiada pilihan lain. Selama ini kita uar-uarkan melalui pelbagai medium tetapi masih tidak dapat membendung jenayah ini.
“Kita perlu ingat, tidak semua orang bijak dan prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling. Ada juga dalam kalangan mereka begitu naif sehingga mudah diperdaya oleh scammer yang merupakan musuh utama negara sehingga dipercayai diseludup masuk menerusi Thailand ke KK Garden yang juga dikenali sebagai Garden of Hell di Myanmar.
“Jadi, saya nampak kalau kerajaan nak buat kawalan pintu sempadan adalah terbaik tetapi dalam masa sama kena tekan peringkat ASEAN termasuk cuba meminta bantuan China yang merupakan kuasa besar melalui sekatan ekonomi terhadap Myanmar,” katanya lagi.
Pun begitu beliau juga menegaskan, bantuan hanya diberi kepada golongan yang menjadi mangsa penipuan, bukannya mereka yang sukarela memilih jalan singkat untuk berjaya dan kaya.
Justeru, rakyat Malaysia perlu lebih berwaspada dengan iklan kerja dengan tawaran gaji lumayan terutama dalam mata wang asing. Satu kaki melangkah ke jalan yang salah, belum tentu anda dapat pulang dengan selamat. Rajin-rajinlah buat kajian terhadap syarikat yang menawarkan pekerjaan supaya tidak tertipu dan akhirnya terjerat dalam neraka pemerdagangan manusia. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










