PADA awal tahun ini, saya berpeluang menghadiri satu sesi libat urus berkenaan cadangan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak diterajui Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri. Pengalaman itu pernah saya coretkan dalam ruangan ini sebelum ini.
Di ambang kelulusan pindaan RUU tersebut, kita digemparkan dengan berita seorang ibu kepada lima anak didakwa melakukan kesalahan terhadap dua anak lelakinya. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum sebat bagi kesalahan amang seksual. Selain itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 5 Akta 792 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga dihukum sebat bagi kesalahan mengarahkan satu video pornografi.
Melihatkan fakta kes dalam konteks cadangan pindaan kepada RUU tersebut, cadangan amatlah relevan kerana salah satu pindaan dibuat ialah dengan menggantikan terminologi ‘pornografi kanak-kanak’ sepertimana disebut dalam Seksyen 5 kepada ‘bahan penganiayaan kanak-kanak.’ Ini bermaksud pindaan ini bakal memberi kesan kepada pembuktian yang diperlukan pada pendakwaan kes tersebut.
Kes-kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak melibatkan ibu sebagai pelaku bukanlah sesuatu yang unik kepada mana-mana negara atau budaya tertentu termasuk Malaysia. Penting untuk ditegaskan, penderaan seksual terhadap kanak-kanak ialah jenayah serius tanpa mengira jantina pelaku dan mangsa. Namun, atas keterbatasan agama dan norma kebudayaan lapuk yang sudah bersarang lama dalam masyarakat kita, kes seumpama ini jarang sekali dikupaskan atas alasan menjaga aib mereka terlibat.
Ahli psikiatri terkenal, Sigmeund Freud dan Carl Jung dalam merenungkan dinamika hubungan patologi antara ibu dan anaknya memperkenalkan konsep The Devouring Mother Archetype ataupun pola dasar Ibu yang Melahap. Pola dasar ini merangkumi manifestasi aspek negatif sifat-sifat keibuan.
Dr. Jordan Peterson, seorang ahli psikiatri dari Kanada menggambarkan Ibu yang Melahap sebagai seorang wanita mementingkan diri sendiri dalam menyayangi anak-anaknya, ‘melindungi’ mereka dari dunia nyata sehingga mereka kekal menjadi ‘bayi’, tidak cekap dan kekal di bawah jagaan ibunya seumur hidup. Si ibu hanya penyayang apabila anak-anaknya melakukan apa yang dia mahu. Dan dia membenci, kejam dan juga membunuh apabila mereka tidak melakukannya.
Pola dasar ini turut wujud dalam budaya kita seperti mana legenda Batu Belah Batu Bertangkup, di mana watak ibu Si Tanjung merajuk dan terkilan dengan tindakan anaknya membuat keputusan terburu-buru agar di ditelan batu belah dan meninggalkan anaknya sebatang kara dan yatim piatu.
Juga tidak boleh dilupakan kes seorang aktivis masyarakat baru-baru ini telah didapati bersalah mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak kurang upaya.
DADAH
Seorang pakar psikiatri, Judith Herman membuat kajian menyeluruh tentang kesan penderaan seksual kanak-kanak dalam bukunya Father-Daughter Incest. Dia membincangkan pengalaman kanak-kanak yang didera secara seksual oleh ibu mereka.
Herman mendapati ibu yang melakukan penderaan seksual terhadap anak-anak mereka sering juga merupakan mangsa sejarah penderaan seksual. Mereka mungkin mengalami masalah kesihatan mental yang lain seperti kemurungan, kebimbangan atau gangguan personaliti. Faktor lain yang turut menyumbang kepada tragedi ini ialah masalah penyalahgunaan bahan-bahan larangan seperti dadah dan kekurangan sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan.
Di Malaysia, selain Akta 792, ibu yang didakwa melakukan hubungan dengan anaknya juga boleh dituduh di bawah Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang menghuraikan, “Seseorang itu dikatakan melakukan sumbang mahram jika seorang lelaki atau seorang perempuan melakukan persetubuhan dengan orang lain di mana hubungan lelaki dan perempuan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan yang berkaitan bagi lelaki dan perempuan tersebut untuk berkahwin dengan orang itu.”
Kesalahan ini membawa hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun, dan hendaklah juga dikenakan sebatan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.
Walaupun usaha kerajaan bagi meminda Akta 792 merupakan satu langkah harus dipuji, masih lagi terdapat pelbagai isu perlu ditangani seperti kelompangan takrifan ‘keizinan’ terutama sekali bagi kanak-kanak berumur 14 hingga 18 tahun. Kekurangan sokongan dan nasihat perundangan kepada mangsa kanak-kanak turut menjurus kepada kesalahan seksual tidak dilaporkan.
Jenayah seksual terutama yang dilakukan oleh penjaga sering didorong oleh niat pemangsa bagi menguasai, mengasingkan dan merendahkan diri mangsa di mata orang lain. Jenayah itu bertujuan mencemarkan mangsa supaya dia akan mendapat stigma dan cemuhan daripada masyarakat umum sekiranya jenayah itu didedahkan. Selain itu, sifat jenayah seksual yang sering dilakukan secara sembunyi menyukarkan pembuktian dan pendakwaan di mahkamah kelak.
Jung pernah berkata, “Pembunuhan jiwa adalah yang paling dahsyat daripada semua jenayah.” Petikan ini bertujuan menyampaikan idea bahawa keganasan seksual ialah pencabulan perasaan terdalam diri mangsa. Ia boleh memusnahkan rasa percaya, keselamatan dan identiti mangsa. Ia juga boleh membawa kepada masalah psikologi jangka panjang.
Dalam bukunya, Psychology and Alchemy, Jung berpendapat, jiwa penting untuk pembangunan dan kesejahteraan manusia. Apabila jiwa dilanggar, ia boleh membawa kepada kematian roh.
Sudah masanya kelompangan undang-undang dan amalan budaya kita diperhalusi untuk menghentikan jenayah ini keseluruhannya. – UTUSAN
PENULIS ialah seorang pengamal undang-undang sivil yang beramal di Kuala Lumpur.










