SEBANYAK 60 peratus daripada populasi belia dunia ketika ini berada di rantau Asia Pasifik. Dalam erti kata lain, kira-kira 750 juta orang muda berumur 15 hingga 24 tahun berada di rantau ini. Dengan potensi sebesar ini, pelbagai usaha boleh direncanakan buat golongan tersebut ke arah manfaat sejagat, antaranya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
SDG terdiri daripada 17 matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agungnya pada September 2015 di New York, Amerika Syarikat untuk dicapai pada 2030 sebagai agenda demi pembangunan dan kemaslahatan manusia dan bumi.
Matlamat ini merupakan kesinambungan Matlamat Pembangunan Milenium yang berakhir pada 2015 dan sebahagian daripada Resolusi 70/1 Perhimpunan Agung PBB, Agenda 2030.
Untuk makluman, 17 matlamat berkenaan merangkumi tiada kemiskinan, kelaparan sifar, kesihatan baik dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti, kesaksamaan gender, air bersih dan sanitasi, tenaga berpatutan dan bersih serta pekerjaan yang sesuai dan pembangunan ekonomi. Selain itu, matlamat terbabit meliputi industri, inovasi dan infrastruktur; mengurangkan ketidaksamaan, bandar dan masyarakat mampan; penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab; tindakan iklim, kehidupan dalam air, kehidupan di darat; keamanan, keadilan dan pertubuhan kukuh selain kerjasama demi matlamat tersebut.
Pengakap sebagai sebuah gerakan global terbesar dan berpengaruh sejak bertahun-tahun memberikan sumbangan luar biasa dalam meningkatkan kelestarian planet kita ini, selain mempromosikan keamanan dan mengatasi ketidakadilan. Ahli-ahli pengakap dilaporkan telah menyumbangkan lebih dari dua bilion jam untuk pembangunan lestari melalui inisiatif utama Pengakap Sedunia.
Kini, kepengakapan membawa komitmen itu ke tahap lebih tinggi melalui Scouts for SDGs – sebuah usaha mobilisasi sulung melibatkan 54 juta pengakap untuk membuat sumbangan pemuda terkoordinasi terbesar di dunia terhadap SDG menjelang 2030. Dalam usaha ini, Organisasi Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) merancang gerakan kepengakapan menyumbangkan sebanyak empat bilion jam khidmat masyarakat untuk SDG.
Scouts for SDGs merupakan usaha sistematik untuk memanfaatkan Program Belia Pengakap dan inisiatif di bawah Better World Framework termasuk Messengers of Peace untuk meningkatkan kesedaran dan mengambil tindakan terhadap SDG. Scouts for SDGs menampilkan hab SDG dalam talian dan pelbagai alat pembelajaran, latihan dan sumber yang dibangunkan untuk menyokong organisasi pengakap kebangsaan (NSO) dalam menyelaraskan program belia dan aktiviti lain masing-masing berkaitan SDG.
KOMITMEN PEMANGKU KETUA PENGAKAP NEGARA
Komitmen terhadap matlamat-matlamat SDG ini ditegaskan oleh Pemangku Ketua Pengakap Negara, Profesor Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin.
Jelas beliau, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menjadikan 17 matlamat SDG sebagai panduan dalam mengembangkan aktiviti kepengakapan di negara ini.
“WOSM bersama PBB melaksanakan kempen SDG sebagai satu misi bersepadu yang akan dilaksanakan di seluruh dunia. PPM akan melibatkan 17 matlamat SDG ini dalam mengembangkan aktiviti kepengakapan di negara ini,” katanya.
Komitmen Mohd. Zin dilihat selaras dengan hala tuju PPM yang digariskan beliau, iaitu pemerkasaan pembangunan lestari dan mampan – salah satu daripada 11 fokus utama hala tuju berkenaan.
SIDANG KEMUNCAK MOBILISASI BELIA
Justeru, PPM dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan belia terkemuka lain sedang menganjurkan Sidang Kemuncak Mobilisasi Belia Asia Pasifik 2023 di Petaling, Jaya, Selangor hingga 18 Jun ini. Organisasi-organisasi belia peringkat antarabangsa yang menyertai sidang kemuncak ini termasuk WOSM, World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS), The International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC), Young Men’s Christian Association (YMCA) dan The Duke of Edinburgh.
Sidang kemuncak buat pertama kali dalam sejarah itu dijangka menghimpunkan lebih 150 peserta dari 22 negara untuk berbincang dan mengkaji cara mereka boleh menjalinkan kerjasama yang efektif dan bermakna. Kebiasaannya, organisasi-organisasi terbabit bergerak berasingan tetapi sidang kemuncak tersebut menyatukan mereka bersama.
Sepanjang empat hari, lima organisasi belia terlibat akan berkongsi amalan terbaik yang dilaksanakan mereka berkaitan mobilisasi belia dan kerjasama untuk pembangunan mampan.
Selain itu, pelbagai sesi makmal diadakan untuk peserta berbincang dan mewujudkan idea-idea projek kolaborasi yang boleh diimplementasikan bersama. Bengkel SDG juga akan dikendalikan oleh rakan kerjasama sidang kemuncak, iaitu mySDG Academy.
Lawatan sambil belajar akan diadakan di Taman Tugu yang mana para peserta berpeluang mendapat inspirasi daripada usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Taman Tugu juga dengan kerjasama mySDG Academy akan mengadakan pameran SDG bagi mempamerkan usaha-usaha tempatan terhadap matlamat-matlamat berkenaan. Selain itu, aktiviti ‘pokok angkat’ diadakan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia dan sidang kemuncak tersebut.
Melalui sidang kemuncak itu, satu deklarasi akan dihasilkan dan dibentangkan kepada organisasi-organisasi belia rantau Asia Pasifik.
Menurut Pengarahnya, Theodorus Clarence Tessensohn, selaras dengan Pelan Rantau Asia Pasifik 2022-2025, diharapkan sidang kemuncak itu menjadi permulaan kepada usaha memperkasakan pendidikan bukan formal serta membangunkan orang muda dengan kompetensi diperlukan untuk menyelesaikan isu komuniti tempatan dan global serta menjadi warganegara aktif.
“Sidang ini juga mempunyai objektif untuk mengkaji, membentuk dan menguji satu projek rintis dalam kalangan orang muda organisasi belia berkaitan SDG. Melalui sidang kemuncak ini, sekurang-kurangnya satu projek kolaborasi peringkat rantau Asia Pasifik dan satu di peringkat kebangsaan akan diimplementasikan dalam masa tiga tahun.
“Kesannya, projek ini akan menjadi sumber inspirasi untuk pelbagai projek kolaborasi dilaksanakan di negara-negara lain, negeri-negeri di Malaysia dan seterusnya ke peringkat akar umbi,” katanya. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Setiausaha Eksekutif Komunikasi Korporat & Media, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).










