POLITIK adalah permainan mendapat dan mengekalkan kuasa. Dalam mendapat dan mengekalkan kuasa itu, apa sahaja taktik dan strategi dilakukan. Atas perhitungan atau kepentingan itulah lahirnya istilah dalam politik – musuh atau kawan tidak kekal selamanya.
Maka lahirlah pemikiran Niccolo Machiavelli (1469-1527), ahli falsafah sains politik moden bangsa Itali yang menulis buku II Principe/The Prince. Pemikirannya dalam dunia politik dikenali sebagai Machiavellisme, iaitu tujuan menghalalkan cara.
Sebenarnya sebelum Machiavelli sudah terdapat pemain politik yang menggunakan segala cara untuk mendapatkan tempat dan kedudukan dalam politik di Afrika Utara. Beliau ialah Ibn Khaldun (1332-1406). Selepas anak dan isterinya terkorban selepas tenggelamnya kapal yang dinaiki mereka, barulah Ibn Khaldun meninggalkan dunia politik. Pergi ke Mesir menjadi pensyarah di Univesiti Al-Azhar dan lain-lain. Akhirnya menghasilkan Muqaddimah yang dianggap sebuah karya agung.
Mengapa pemain politik berbuat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa? Mengapa negara kuat lagi gagah menakluki serta menjajah negara lemah? Sama ada penaklukan secara fizikal atau sebaliknya.
Jawapan kepada pertanyaan tersebut adalah untuk mendapatkan kuasa ekonomi. Bila menggenggam kuasa, maka secara automatik menguasai kantung ekonomi. Jadi, dapat kuasa, dapatlah pulus, wang ringgit dan emas permata. Memegang tampuk politik turut berkuasa ke atas bungkusan wang negara.
Sejak zaman feudal hingga moden, perebutan, pertarungan, pembunuhan serta penawanan, pertukaran, perampasan kuasa silih berganti. Cara hampir sama, hanya pelaku yang berbeza.
Pemikiran Machiavelli dapat kita lihat dalam pembentukan Pihak Berikat semasa Perang Dunia Kedua. Pemegang taruh dua ideologi yang bertentangan, iaitu Kesatuan Soviet Sosialis Russia (USSR) mewakili sosialis-komunis bersatu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Inggeris mewakili kapitalis. Mereka membentuk kekuatan bersama menentang kekuatan fasis iaitu Jerman, Itali serta Jepun. Mereka bertindak bukan berpandukan kepentingan ideologi, sebaliknya ingin mempertahankan daerah pengaruh dan menjaga sumber kekayaan yang diboloti.
Di China, Parti Komunis China bersama Kuomintang bergabung menghalau Jepun yang menduduki China, bermula dengan penaklukan Manchuria (Jepun) pada 1931. Perang bermula pada 1937 semasa Perang Dunia Kedua sehingga Jepun menyerah kalah pada 1945.
Di Malaya, Parti Komunis Malaya (PKM) bergabung tenaga dengan Force 136, pasukan tentera Inggeris dalam memerangi Jepun. Penggabungan tenaga yang terjadi daripada pertentangan ideologi, namun disatukan oleh Machiavellisme iaitu tujuan menghalalkan cara. Misi mahu menewaskan Jepun bagi mencapai tujuan berbeza. Inggeris mahu kembali menjajah Malaya, manakala PKM mahu membentuk kerajaan selepas Jepun dikalahkan.
Selepas Perang Dunia Kedua, pertentangan antara kapitalis dan sosialis-komunis kembali semarak melalui Perang Dingin. Dunia terbelah oleh pertembungan dua ideologi ini serta perebutan pengaruh melalui pelbagai cara. Kerajaan boneka serta perang proksi berlaku di mana-mana. Mutakhir ini, konflik Ukraine-Russia antara kapitalis dan sosialis-komunis.
MAGERAN
Tun Abdul Razak Hussein mendapat kuasa melalui Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan memulihkan demokrasi selepas darurat, kesan tragedi 13 Mei 1969. Apabila menjadi Perdana Menteri, beliau memikirkan untuk menyatukan para pemain dan parti politik. Jelas, di Malaya terdapat tri-ideologi berpengaruh iaitu nasionalisme, Islamisme dan sosialisme. Beliau berusaha menyatukannya, malah hampir keseluruhan parti bergabung di dalam Barisan Nasional (BN). Dua parti yang berpengaruh di Malaya, iaitu Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan DAP tidak menyertai gabungan tersebut.
Mengikut Kassim Ahmad (pemimpin PSRM), beliau menerima gambaran tidak tepat daripada Abdullah Majid, iaitu Setiausaha Akhbar Abdul Razak tentang pelawaan menyertai BN. Bagi Kassim, beliau bersedia membawa PSRM menyertai BN, apatah lagi ramai golongan kiri yang rapat dengan Abdul Razak.
Abdul Razak berjaya membentuk BN daripada parti-parti yang mewakili tri-ideologi, iaitu Pas, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), manakala UMNO, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Progresif Penduduk (PPP) dianggap parti progresif yang mirip ke kiri pada masa itu.
UMNO membentuk gabungan baharu, iaitu BN yang pada mulanya terdapat sembilan parti di bawah kepimpinan Abdul Razak. Semasa pembentukan BN, Perikatan (UMNO, MCA, MIC) masih kuat, iaitu memiliki 66 kerusi Parlimen manakala oposisi 37 kerusi di Semenanjung, keseluruhannya 103. Ini tidak termasuk Sabah dan Sarawak.
Hasil pemikiran Abdul Razak ini bukan sahaja memperkuatkan malah mengukuhkan penguasaan BN terhadap politik nasional bila gabungan BN membesar kepada 13 parti politik di era Tun Dr. Mahathir Mohamad.
BN terus memenangi siri pilihan raya umum (PRU) selepas itu sehingga BN kalah dan hilang kuasa pada PRU 2018 semasa dipimpin anak Abdul Razak, Datuk Seri Najib.
Begitupun, UMNO-BN kembali mendapat peluang membentuk kerajaan melalui pakatan baharu bersama Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri kesembilan pada Ogos 2021. Tetapi kerana pergolakan dalam UMNO, memaksa beliau membubarkan Dewan Rakyat lebih awal atas desakan kepimpinan parti.
Kepimpinan UMNO-BN telah menolak pandangan umum bahawa UMNO perlu mencari gabungan untuk menghadapi PRU15. Mengikut kajian, terlalu sukar untuk UMNO menang dan membentuk kerajaan bersendirian. Begitupun, pengarah pilihan raya UMNO yakin UMNO-BN akan menang sekurang-kurangnya 120 kerusi. Secara solo UMNO-BN memasuki PRU15 dengan mantera, No DAP, No PKR, No Anwar. Keputusannya, UMNO-BN hanya menang 30 kerusi Parlimen yang menjadi mimpi ngeri kepada para ahlinya, mungkin tidak kepada kepemimpinannya. UMNO-BN menerima keputusan paling buruk dalam sejarah PRU.
Presiden UMNO membawa BN menyertai kerajaan pakatan baharu dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan kerajaan perpaduan yang dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH). UMNO menjadi parti ‘pencukup’ kepada angka untuk menubuhkan sebuah kerajaan. Maka itu, jumlah wakilnya di dalam Kabinet hanyalah lima orang, selain mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri 1.
Nampaknya, Presiden UMNO cuba bereksperimen sepertimana dilakukan Abdul Razak. Bila UMNO menghadapi krisis kekalahan, maka perlu membentuk pakatan baharu. Dengan pembentukan baharu, maka UMNO akan menjadi lebih kukuh serta kuat. Atau dapat meminjam kaedah Machiavelli, iaitu tujuan menghalalkan cara. Atau meminjam kaedah pakatan kapitalis-sosialis dalam menghadapi fasis.
Di mana UMNO yang mengajar ahli dan umat Melayu menolak DAP? Demi memperkuatkan parti, lalu UMNO bersama DAP menyertai kerajaan perpaduan. Lantas mengajak ahli-ahli UMNO melupakan sorak-sorai di dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), iaitu No DAP! No PKR! No Anwar! – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis politik.











