Manfaatkan pelaburan besar China tapi harus hati-hati

Manfaatkan pelaburan besar China tapi harus hati-hati

PELABURAN dari China berpotensi untuk mewujudkan pekerjaan baharu, meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan menaik taraf infrastruktur negara. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOMITMEN China untuk melabur RM170 bilion di Malaysia sedia merangsang ekonomi kita pada masa depan. Pelaburan ini melibatkan 19 memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara perniagaan kedua-dua negara termasuk dalam infrastruktur, tenaga boleh diperbaharui, telekomunikasi dan pelancongan.

Menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), China menjadi salah satu pelabur asing terbesar di Malaysia selama beberapa tahun dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, hartanah, pembinaan dan tenaga. Pada 2018, China merupakan pelabur asing teratas di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM9.8 bilion.

Pelaburan dari China berpotensi untuk mewujudkan pekerjaan baharu, meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan menaik taraf infrastruktur negara. Wang itu akan dilaburkan dalam tempoh lima tahun akan datang dan akan memberi tumpuan pada sektor infrastruktur, ekonomi digital dan pelancongan dengan RM30 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf rangkaian rel. Faedah pelaburan ini ialah menambah baik infrastruktur pengangkutan termasuk kereta api dan pelabuhan yang akan memudahkan pergerakan barangan, penduduk dan perkhidmatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekiranya perjanjian RM170 bilion itu menjadi kenyataan, kesan positif terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita adalah besar dengan kira-kira 11.2 peratus daripada KDNK 2022. Pada masa sama, korelasi yang tinggi antara FDI dan kadar pertumbuhan KDNK pada 0.95 menunjukkan potensi FDI boleh memacu pertumbuhan KDNK kita.

Walaupun pertumbuhan KDNK untuk 2023 diramalkan menurun kepada 4.0 peratus berdasarkan konsensus, ini masih mengatasi kemungkinan kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kerana pasaran menjangkakan arah kenaikan kadar faedah AS akan ditetapkan semula pada akhir 2023 atau awal 2024.

Di samping pengukuhan hubungan dua hala, pelaburan China di Malaysia sejajar dengan usaha berterusan negara kita untuk mempelbagaikan ekonomi dan mengurangkan pergantungan kepada sektor tradisional seperti pembuatan dan pertanian. Dengan melabur dalam tenaga dan teknologi boleh diperbaharui, Malaysia bergerak lebih dekat ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan yang bergantung pada pembangunan modal insan, inovasi dan industri berteknologi tinggi.

Walaupun terdapat beberapa butiran MoU yang didedahkan oleh kerajaan, Perdana Menteri membayangkan di Parlimen bahawa beberapa pengeluar dan pemain eksport berpotensi mendapat manfaat daripada FDI akan datang, iaitu sektor automobil dan petrokimia. Syarikat petrokimia terbesar dunia, Rongsheng Petrochemical Co. Ltd. dan pembuat kereta terkenal, Geely Auto adalah perintis dengan nilai projek pelaburan masing-masing kira-kira RM80 bilion dan RM32 bilion.

INFLASI

Pelaburan itu juga membawa peluang besar kepada perniagaan Malaysia untuk mengembangkan eksport mereka dan mencapai pasaran baharu di China dan Asia Tenggara. Perjanjian itu boleh mengukuhkan hubungan perdagangan Malaysia-China dan merangsang perusahaan kecil dan sederhana.

Selain itu, pelaburan China dijangka menarik lebih banyak FDI ke Malaysia. Projek infrastruktur baharu termasuk pembesaran pelabuhan, lapangan terbang dan lebuh raya dijangka menarik perniagaan dari seluruh Asia. Dengan menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong perniagaan ini, Malaysia boleh menjadi hab pelaburan antarabangsa di rantau ini.

Walaupun pelaburan China memberi banyak peluang kepada Malaysia, terdapat juga beberapa cabaran dan risiko yang perlu dipertimbangkan. Salah satunya ialah Malaysia mungkin menjadi terlalu bergantung pada China yang boleh membawa kesan terhadap politik dan ekonomi.

Selain itu, beberapa pengkritik membangkitkan kebimbangan mengenai penglibatan syarikat China dalam infrastruktur negara, kemungkinan berlaku rasuah, kebimbangan alam sekitar dan proses tender tidak betul.
Malaysia juga mesti memastikan pelaburan itu tidak membawa kepada kenaikan inflasi.

Selain itu, perniagaan Malaysia harus memanfaatkan peluang dengan memberi tumpuan kepada mengeksport produk bernilai tinggi yang memenuhi keperluan kelas pertengahan China yang semakin berkembang. Syarikat tempatan boleh membangunkan perkongsian baharu dan meningkatkan kehadiran mereka dalam pasaran China.

Pelaburan RM170 bilion yang dicagarkan dalam tempoh lima tahun akan datang berpotensi membantu negara menjadi pemain serantau dalam inovasi, infrastruktur dan pelancongan. Pelaburan China juga akan memberi peluang kepada Malaysia untuk mengurangkan pergantungan kepada sektor tradisional sambil menggalakkan pembangunan bidang baharu ekonomi. – UTUSAN

DR. Uma Murthy ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Perakaunan & Kewangan, Taylor’s Business School dan Fakulti Perniagaan & Undang-Undang, Taylor’s University.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×