Internet: Masih ramai terpinggir, tercicir

Internet: Masih ramai terpinggir, tercicir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBOLEHCAPAIAN merupakan satu elemen penting yang harus diberi keutamaan dalam membentuk sistem masyarakat madani. Setiap lapisan masyarakat harus berpeluang serta berupaya mengakses segala kemudahan disediakan oleh kerajaan untuk rakyat. Dan semua rakyat mempunyai hak sama untuk menikmati apa yang disediakan oleh kerajaan kerana itu ialah hak asasi mereka sebagai rakyat sesebuah negara. Persoalannya, adakah pada realiti keadaan sebegini mampu direalisasikan?

Hakikatnya, amat malang sekali kerana impian ini hanya umpama suatu utopia kehidupan. Malah, impian ini juga gagal menjadi kenyataan di negara-negara maju yang saban hari melaungkan hak asasi manusia. Ada menganggap hal berbangkit ialah perkara remeh kerana apa yang dituntut bukanlah perkara penting. Justeru, ia tidak perlu diperbesarkan dan tidak perlu diberi perhatian sewajarnya. Walhal, tanggapan tersebut timbul hanyalah kerana kita sendiri bernasib baik dapat menerima akses kepada kemudahan-kemudahan sebegitu tanpa memikirkan adanya golongan yang kurang bernasib baik.

Umumnya, istilah kebolehcapaian sering dikaitkan dalam konteks kemudahan bagi golongan kelainan upaya sama ada fizikal mahupun mental. Namun, kebolehcapaian harus dilihat dalam skop lebih luas. Ia harus melingkungi semua lapisan masyarakat, semua aspek keupayaan dan latar belakang hidup serta faktor kewangan dan tempat tinggal mereka.

Sememangnya adalah sukar untuk memastikan setiap rakyat mendapat hak mereka secara seadil-adilnya. Tetapi usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan agar tiada rakyat yang terpinggir dan ketinggalan.

Realitinya, faktor kewangan serta lokasi tempat tinggal yang terpencil lazimnya menyebabkan rakyat sukar untuk menikmati segala kemudahan disediakan. Di kawasan-kawasan terpencil, masalah seperti kekurangan pejabat kerajaan, rangkaian jalan raya yang baik, pengangkutan awam, kemudahan kesihatan, pendidikan dan sebagainya sering berlaku. Hal ini tidak mudah untuk diselesaikan secara total kerana melibatkan pelbagai kekangan seperti faktor muka bumi, kelestarian alam sekitar serta hak asasi rakyat untuk kekal tinggal serta hidup secara tradisi di tanah asal mereka.

Dalam hal ini, para pemimpin terlibat harus mencari jalan terbaik bagi memudahkan urusan rakyat yang telah mengundi mereka dan bukan hanya mengambil jalan mudah dengan menyalahkan pihak lain. Malah, ini merupakan satu elemen penting dalam sifat kemanusiaan, dan bukannya hanya kerana tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.

Sebagai manusia, kita harus mempunyai perasaan belas kasihan sebagai dorongan untuk membantu orang lain dalam apa jua perkara dan keadaan. Perkara ini mempunyai hubung kait yang rapat dengan kebolehcapaian agar dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Di banyak negara, capaian internet tidak begitu meluas di kawasan-kawasan luar bandar, khususnya di lokasi terpencil. Dahulunya hal ini dilihat tidak mendatangkan masalah yang besar memandangkan internet disifatkan sebagai satu keperluan tambahan bagi mereka yang lebih berkemampuan. Bagaimanapun, keadaannya kini amat berbeza kerana hari ini, internet sudah menjadi satu keperluan asas khususnya termasuk kepada para pelajar.

COVID-19

Wabak Covid-19 sebagai contoh, telah membuka minda orang ramai mengenai kepentingan internet dalam kehidupan kita. Apabila urusan bersemuka tidak dapat dijalankan ketika wabak sedang mengganas, internet memainkan peranan besar dalam membenarkan urusan dunia untuk terus berjalan walaupun dalam keadaan kita terkurung di rumah.

Namun, bukan semua lapisan masyarakat berupaya menggunakan internet atau mampu menerima akses kepadanya. Walaupun akses diperolehi, namun ada yang masih tidak dapat mencapai kemudahan tersebut kerana tidak mempunyai kemahiran atau keupayaan.

Tatkala internet menjadi satu pemain utama bagi segala urusan ketika itu, ada golongan terpinggir yang ketinggalan dan tidak didengari. Akhirnya, ramai juga yang menghadapi pelbagai masalah lain akibat kekangan tersebut sehinggakan ada yang dibuang kerja atau terpaksa berhenti belajar akibat kekurangan capaian kepada kemudahan awam. Walhal, kerana kepentingannya dalam urusan rakyat, bukan hanya internet berkualiti seharusnya menjadi hak setiap rakyat tetapi rakyat juga memerlukan persekitaran dalam talian yang sesuai untuk kegunaan orang ramai.

Banyak faktor membataskan kepenggunaan seseorang individu ketika melayari kandungan laman sesawang sama ada akibat batas bahasa mahupun keupayaan diri seperti buta warna dan masalah pembacaan. Hal tersebut hanya dapat diselesaikan sekiranya kita sebagai pengguna mengambil endah akan keperluan mereka yang memerlukan dan mengambil langkah membantu mereka.

Benar, pihak berkuasa dan penguat kuasa mempunyai tanggungjawab untuk menyebarluaskan capaian internet di seluruh negara serta membantu golongan yang memerlukan, namun kita juga selaku ahli masyarakat mesti memainkan peranan yang penting untuk memudah cara bagi mencapai matlamat ini.

Dalam menghadapi dan bersedia untuk mendepani cabaran krisis tidak terjangka, kita haruslah mengambil langkah-langkah awal untuk dijadikan sebagai pengalas sekiranya kita berdepan masalah tidak terduga. Kebolehcapaian terutama bagi kemudahan penting seperti internet adalah amat penting dalam menjadi penyelesaian terhadap masalah-masalah ketika krisis. Namun, usaha kita tidak boleh terhenti setakat itu sahaja kerana kita harus memikirkan langkah baharu sebagai sandaran jika dunia menghadapi masalah capaian internet secara tiba-tiba.

Persediaan rapi perlu dilakukan untuk membolehkan kita maju ke hadapan serta mampu menangani keadaan-keadaan merumitkan terutama krisis besar seperti bencana dan wabak. Kita mesti memastikan langkah yang dirangka itu mampu dicapai dan diakses oleh seluruh rakyat dan tiada yang terpinggir. Kebolehcapaian adalah integral dalam segala rancangan negara. Tiada gunanya slogan dan kempen sekiranya apa yang dibawa tidak dapat dicapai atau diakses oleh seluruh rakyat jelata. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×