Syabas Yang Berhormat Menteri Pendidikan - Utusan Malaysia

Syabas Yang Berhormat Menteri Pendidikan

FADHLINA Sidek (kanan) mempunyai ketegasannya sendiri dalam menghormati kerangka Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang diilhamkan semasa Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERDAPAT laporan berita baru-baru ini yang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan berbincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) bagi membolehkan beliau mendapatkan penjelasan apakah alasan di sebalik keputusan tidak mengiktiraf sijil berkenaan.

Menteri tersebut telah pun memaklumkan di Parlimen bahawa Kementerian Pendidikan tiada rancangan untuk mengiktiraf sijil tersebut sebagai sebahagian daripada silibus kebangsaan.

Namun, isu berkenaan bukan sesuatu yang baharu walaupun masih samar-samar kedudukannya. Dirasakan ia semakin lama semakin lebih berbaur politik desakannya berbanding dari sudut pendidikan mengikut dua penganalisis swasta.

Juga menjadi lebih celaru keberadaannya kerana ramai yang tidak sedar akan implikasi tersurat apalagi tersirat ke atas ekosistem pendidikan negara.

Akibat janji-janji manis manifesto politik tertentu untuk memenangi undi setiap kali pilihan raya umum (PRU) diadakan. Maka, sering kedengaran tuntutan agar dikota segera janji yang ditabur. Kesan kepada kepentingan mutlak pendidikan ataupun negara tidak diperjelaskan dengan baik sehinggalah dinihari.

Barang diingatkan bahawa tidak ada satu-satu negara merdeka lain yang menghadapi cabaran seumpama ini, sebaliknya ada yang tidak langsung melayaninya sebagai suatu pegangan dasar yang agak tegas.

Tambahan masing-masing negara mempunyai prinsip tersendiri sebagai landasan kepada falsafah pendidikan yang berpaksikan kerangka dipersetujui oleh semua pihak. Misalnya, petikan Penyata Razak (perenggan 12):

“Kami percaya juga yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.”

Bagi negara Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menjadi nadi utama dalam merencanakan sektor pendidikan negara keseluruhannya. Ini penting kerana pendidikanlah bakal menentukan hidup mati sesebuah masyarakat tersebut mengikut acuannya tersendiri.

Malah, setiap negara mengutamakan acuan tersebut sebagai sebuah negara yang berdaulat. Walaupun pada satu ketika dalam pergolakan mencari hala tuju pendidikan, para penjajah mencampuradukkan sewenang-wenang hal pendidikan ke arah cita rasa mereka. Kadangkala dengan bantuan tali barut tempatan.

Maka tidak dapat dinafikan yang dasar pecah dan perintah oleh penjajah pada masa itu telah banyak memesong dan mempengaruhi sistem pendidikan yang dilaksanakan secara sedar dan sengaja.

Sasaran pendidikan menjadi kabur apabila Inggeris membina buat pertama kali beberapa sekolah berasaskan perkauman yang menggunakan bahasa pengantar, kurikulum, buku dan guru masing-masing khasnya di Negeri-Negeri Selat di bawah kuasa penjajahan.

Hakikat ini sering dialpakan sementang-mentang berhasrat menjadi global dan menzahirkan jaringan antarabangsa yang tidak berpijak di bumi sendiri.

LIMA MUTIARA

Tidak pula berminat menyuburkan ibunda serta keberadaannya melainkan berpura-pura. Lupa daratan dan senantiasa resah bak cacing kepanasan. Hal seperti ini kini amat ketara menyelubungi pendidikan negara, malah dunia, apabila teori modal insan yang bertunjangkan pemikiran neoliberalisme menjadi tonggak utama, disedari atau tidak.

Perkara ini ada disentuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penulisan berkaitan Malaysia Madani tahun lalu. Mengingatkan kemudaratan yang menyusul apabila mengubah corak pendidikan menyerupai sebuah tugasan ekonomi untuk kepentingan pihak tertentu.

Baik dari segi politik, maklumat dan apa jua yang boleh membawa keuntungan lumayan. Ini sekali gus mengecewakan kerana ia amat bertentangan dengan matlamat FPK yang menitikberatkan keseimbangan serta keharmonian dan mengeratkan kesejahteraan diri, hatta masyarakat dan pertiwi serentak serta saksama.

Untuk itu, FPK menghidangkan sekurang-kurangnya lima mutiara ilmu yang wajar digali dan digilap dalam menimba ilmu seiring amal sebagai kemenjadian yang disasarkan dengan tuntas dan tepat.

Malangnya, ini tidak akan berlaku sekira FPK tidak diberi penekanan sepatutnya apatah lagi tidak diambil peduli sama sekali. Oleh sebab itu, perkembangan sektor pendidikan dianggap penting dan diberi keutamaan kerana kaitan rapat dengan sektor-sektor lain memandangkan ia mampu memupuk bukan sahaja pembangunan insan sejahtera tetapi kepada pembangunan negara.

Ini termasuklah pendidikan bercorak warisan yang diwarisi dan memperkayakan dari satu generasi ke satu generasi, agar rakyat berpegang kuat pada tali adat resam bersifat ketimuran ditambah pula dengan ajaran agama. Pendidikan yang pintar bingkas mencorakkan generasi baharu yang mengambil berat warisan turun-temurun disulami beberapa generasi.

Kesimpulannya, sesuatu sistem pendidikan yang bertaraf antarabangsa perlu berteraskan falsafah pendidikan yang unggul selain daripada kurikulum yang sentiasa terkemas kini dengan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

FPK adalah contoh terbaik selaras dengan pewartaan Akta Pendidikan 1996. Mengimbau semula Penyata Razak (perenggan 12) hasratnya jelas. Malah, mengikut Akta Pendidikan 1961: 21(2), sebelum pewartaan Akta 1996, ada memberi menteri kuasa memulih kembali sekolah jenis kebangsaan kepada sekolah rendah kebangsaan, bila-bila masa sahaja.

Walaupun ini tiada lagi mungkin, pada hakikatnya sentimen tersebut masih diakui wajar. Ringkasnya, pengumuman menteri tentang isu berkenaan mempunyai ketegasannya sendiri dalam menghormati kerangka FPK dan mendaulatkan pewartaan Akta Pendidikan 1996. Syabas Yang Berhormat!

Apa yang diharapkan agar FPK yang diilhamkan semasa Anwar menjadi Menteri Pendidikan dewasa itu dapat difahami sedalam-dalamnya terlebih dahulu! – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN