Minggu pertama sekolah bukan sekadar suai kenal

Minggu pertama sekolah bukan sekadar suai kenal

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESI persekolahan 2023/2024 telah pun bermula dan sebagai pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan, kita perlu memahami dengan baik apa yang boleh diharapkan dalam minggu-minggu awal di sekolah melalui pekeliling diperkenalkan oleh kementerian. Melalui pengumuman Kementerian Pendidikan, minggu pertama sesi persekolahan memberi ruang kepada pelajar dan guru bersua muka, berinteraksi dan berkenalan.

Selain itu, tiada kelas akademik diadakan pada minggu pertama. Ini memberi peluang kepada pelajar dan guru memperkenalkan diri dengan lebih baik dan memudahkan proses pembelajaran pada minggu-minggu berikutnya.

Langkah ini perlu disambut baik oleh semua pihak memandangkan ia merupakan pengiktirafan kepada sekolah sebagai pusat pendidikan. Sekolah bukan semata-mata tempat peperiksaan, mendapatkan maklumat ataupun kemahiran. Ini kerana maklumat dan kemahiran boleh diperoleh dengan amat mudah melalui aplikasi komputer, internet dan kecerdasan pintar masa kini.

Kepesatan teknologi tidak dapat menafikan peranan sekolah yang lebih manusiawi. Ini kerana pendidikan adalah aktiviti-aktiviti yang berkait dengan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia.

Dalam ilmu falsafah lama, Plato menyatakan, pendidikan sebagai proses membentuk akhlak mulia. Aristotle menyatakan, proses pendidikan melahirkan warga yang patuh dari segi etika, berkelakuan baik, cekap dan mampu mempertahankan kedaulatan negara.

Pakar pendidikan terdahulu seperti Maria Montessori dan John Dewey menyatakan, pendidikan sebagai satu proses perkembangan individu secara holistik. Begitu juga dengan ahli falsafah Islam dan pakar-pakar pendidikan kontemporari yang senada dalam banyak persamaan.

DOSM

Seperti dimaklumkan, pendekatan didik hibur akan dijalankan pada minggu pertama sesi persekolahan dengan menggunakan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek. Tujuannya untuk memotivasikan dan menarik perhatian murid. Pendekatan ini juga dapat membantu mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid terhadap guru terutama bagi murid tahap satu.

Dalam pendekatan didik hibur, guru akan memberikan fokus pada aktiviti pelbagai dengan kaedah terancang. Ia adalah seni dalam beraktiviti dengan penyerapan unsur kecindan, estetik dan nilai. Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, guru juga akan menggunakan pendekatan ABC, iaitu anak baik dan cerdik untuk memupuk sikap positif dan menggalakkan pembelajaran yang menyeronokkan.

Mengapa tindakan ini sangat penting? Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan 13 peratus kanak-kanak sekolah rendah di negara ini tidak mahir membaca. Lebih 60,000 kanak-kanak orang asal berdepan masalah keciciran.

Di samping itu, pelbagai kes juvana dilaporkan dengan pelbagai tahap kesalahan. Antaranya kes curi motosikal, mencederakan, buang bayi, rogol, rompakan dan pelbagai lagi salah laku yang menakutkan. Ramai juga yang hilang minat untuk meneruskan pengajian selepas persekolahan.

Langkah seminggu ini mungkin dilihat kecil jika dibandingkan dengan tempoh panjangnya persekolahan. Namun, perubahan kecil ini diharap dapat memberikan impak yang besar terhadap sikap, prestasi dan sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.

Minat dipupuk mungkin memberikan bekalan yang cukup bagi mengurangkan segelintir masalah yang ada. Tidak keterlaluan untuk beranggapan bahawa mingggu pertama persekolahan berupaya mengangkat konsep pendidikan yang lebih bersifat manusiawi. Saya percaya kepada kebijaksanaan guru-guru memanfaatkan ruang yang ada. Pada pandangan saya, inilah makna sebenar To Invest in People, Prioritize Education, iaitu tema pendidikan 2023 Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). – UTUSAN

Dr. Muhamad Afzamiman Aripin ialah pensyarah di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN