Menanti wajah baharu UMNO Perlis

Menanti wajah baharu UMNO Perlis

(DARI kiri) Fathul Bari Mat Jahya, Rozabil Abd. Rahman dan Ruzaini Rais.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS Datuk Seri Shahidan Kassim dipecat setelah hampir 30 tahun cukup dominan dengan UMNO negeri khususnya di Arau, pemilihan parti itu kali ini bakal menampilkan barisan kepemimpinan baharu terutama di bahagian berkenaan. Selain Arau, UMNO Bahagian Padang Besar juga bakal berwajah baharu tanpa seorang lagi otai politik, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang dipecat tahun lalu selepas bertanding atas tiket Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

UMNO Bahagian Arau bakal diketuai Datuk Rozabil Abd. Rahman yang dijangka menang tanpa bertanding selepas difahamkan tiada calon mencabar beliau dalam pemilihan itu. Begitu juga sayap-sayap parti bahagian itu, dengan Rozieana Ahmad dijangka menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Wanita dan Abdul Azim Abdullah untuk jawatan Ketua Pemuda.

Bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua Bahagian itu juga bakal menampilkan calon-calon muka baharu. Barisan kepemimpinan baharu UMNO bahagian itu sudah pastinya bakal memikul tanggungjawab besar dalam mengembalikan sokongan rakyat kepada parti berkenaan yang tewas semua 18 kerusi dalam PRU15.

Politik di Arau agak dinamik kerana persaingan antara UMNO dan Pas cukup sengit dalam setiap kali pilihan raya. Kekalahan UMNO atau Barisan Nasional (BN) dalam PRU15 di Perlis sebenarnya bukan penamat sebaliknya parti itu masih berpeluang untuk kembali bangkit merampas Perlis dalam PRU16.

Selain itu, kepemimpinan UMNO Bahagian Padang Besar juga bakal berwajah baharu tanpa Zahidi yang mengetuai bahagian itu sejak 2008. Bagi perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Ruzaini Rais yang juga bekas Exco kerajaan negeri dan Khairul Akhbar Ahmad Zabidi.

Di atas kertas, Ruzaini yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Naib Ketua bahagian dan cukup berpengalaman di dalam parti mempunyai peluang lebih cerah untuk menang sekali gus memimpin UMNO bahagian itu dalam keadaan lebih kuat dalam mendepani PRU16.

Misi parti itu jelas perlu kembali merampas semua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15. Kekalahan semua kerusi itu sangat mengejutkan memandangkan Padang Besar selama ini merupakan kubu kuat UMNO.

EMPAT PENJURU

Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian itu dijangka menampilkan ramai muka baharu bertanding untuk merebut daripada penyandang, Azizan Sulaiman. Azizan bakal menentang saingan empat penjuru membabitkan Nor Halmey Hamdah, Khirul Anuar Ahmad dan Noor Hairi Noor Mohammed.

Begitu juga bagi perebutan jawatan sayap-sayap parti bahagian itu yang menampilkan ramai calon muka baharu.

Di Kangar, bakal menyaksikan pertembungan cukup menarik antara Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya yang akan menentang penyandang, Datuk Seri Azlan Man bagi merebut jawatan Ketua UMNO bahagian.

Persoalannya, adakah Azlan selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang mengetuai bahagian itu sejak 2014 mampu mempertahankan jawatan berkenaan atau bakal kecundang di tangan Fathul Bari yang juga menjadi antara calon pilihan untuk menang?

Di bawah kepemimpinan Azlan sebelum ini, dalam PRU14, UMNO atau BN kehilangan kerusi Parlimen Kangar selain DUN Kuala Perlis, DUN Sena selain gagal merampas DUN Indera Kayangan. Pada PRU15, keadaan lebih buruk apabila parti itu kalah semua enam kerusi iaitu Parlimen dan lima DUN di kawasan berkenaan.

Fathul Bari sebelum ini memberi jaminan jika diberi peluang mengetuai UMNO bahagian, beliau mempunyai perancangan khusus dalam usaha mengembalikan semula kebangkitan parti itu dalam keadaan tewas 18-0 dalam PRU15 yang disifatkan paling buruk dalam sejarah negeri ini.

Secara keseluruhan pasca PRU15, pemilihan UMNO di Perlis kali ini bakal membawa transformasi besar-besaran di kesemua tiga bahagian. Selepas kalah dan kehilangan penguasaan kerajaan negeri buat pertama kali dalam sejarah, UMNO pastinya perlu segera bangkit dan barisan kepemimpinan baharu yang lebih segar di bahagian-bahagian itu perlu berusaha lebih keras kembali mendapat sokongan rakyat.

Kekalahan UMNO dan BN dalam PRU15 di Perlis dilihat kesan daripada gelombang Perikatan Nasional (PN) ketika itu. Dalam PRU16, adakah parti itu mampu kembali merubah keadaan? UMNO parti yang banyak jasanya kepada rakyat di negeri ini.

Kepemimpinan baharu nanti perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi kembali menjadikan Perlis sebagai kubu kuat UMNO. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×