Jom ziarah sekolah lain dahulu

Jom ziarah sekolah lain dahulu

PADA 2019, sebuah pancaragam dianggotai kaum Sikh dari Malaysia menjadi juara pertandingan begpaip dunia untuk kali ketiga. – FACEBOOK SRI DASMESH PIPE BAND
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK siapa akan mempertikaikan bahawa masyarakat Malaysia amnya mengalami pemisahan kaum, budaya atau agama yang ketara dan membingungkan. Keadaan ini bertambah tenat kebelakangan ini khusus akibat bahang politik tidak bertanggungjawab melibatkan pelbagai golongan serta kedudukan.

Terbaharu, program Jom Ziarah (JZ) yang dilaksanakan tetapi mendapat reaksi tidak menentu daripada sesetengah pihak. Sesetengah yang lain menganggapnya tidak sesuai dengan keadaan semasa. Malah JZ telah dihentikan tanpa kesampaian, apatah lagi ia menyakut kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai payungnya tanpa didahului rundingan meluas.

Apa yang agak mengejutkan, mengapa ‘sukan’ tidak dijadikan permulaan kerana pada dasarnya ia melibatkan lebih ramai remaja di seluruh negara? Lagipun, ia mudah diurus dengan meluas dan terangkum di mana sahaja di seluruh negara serentak berbanding JZ ke tempat-tempat agama yang terhad. Bahkan menteri di KBS pernah terlibat turun padang dalam pakaian dan sepatu bola sepak. Reaksi ramai netizen agak ceria berbanding reaksi terhadapnya berkaitan JZ.

Ringkasnya, aspek-aspek agama boleh menyusul kemudian selepas tahap kefahaman serta kemadanian menunjukkan lebih kematangan. Yakni lebih saling mempercayai, lebih berkefahaman serta beradab dan sopan santun.

Ini menjadikan ia lebih mantap sebagai penghubung silaturrahim yang kekal lagi seimbang.

Jadi, sangat elok dimulakan dengan yang asasi sebagai satu aliran gaya hidup bermakna kepada semua pihak. Tambahan pula sukan boleh berkait rapat dengan budaya tradisional khususnya permainan tempatan seperti galah panjang, batu seremban, congkak, konda kondi serta pelbagai lagi.

Mengikut pengalaman Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), permainan tradisional merentas sempadan dan pelbagai budaya mempunyai serba sedikit persamaan antara satu sama lain. Ini membayangkan permainan tradisional lebih berbentuk perkongsian berbanding persaingan sepertimana sering ditekankan dalam dunia sukan antarabangsa.

Sehinggakan ada beberapa permainan dan sukan dibolot oleh golongan tertentu dan tidak terbuka kepada semua. Ia lebih merupakan agen pemisah daripada penggabung antara kaum dan golongan tertentu.

Lebih daripada itu, ancaman perkauman sudah lama dikesan berlaku dalam kalangan permainan serta pengamal sukan antarabangsa. Dan dengan cara tidak langsung menyelinap dalam emosi mereka yang terlibat.

KECERDASAN BUDAYA

Antara contoh terkini adalah pertandingan Piala Dunia FIFA 2022 yang turut dilaporkan terbabit. Maksudnya, sukan tanpa fahaman nilai budaya yang anjal juga boleh bersifat pemisah. Begitulah pentingnya kecerdasan budaya (CQ) dalam merapatkan lagi pelbagai jurang perbezaan kaum dan sepertinya.

Ini ditekankan lagi oleh pertandingan bercorak ujian, peperiksaan dan umpamanya di mana aspek budaya dan juga sukan khususnya bernilai tradisional diabaikan dengan sengaja kerana dianggap tidak bernilai dari sudut ilmiah seperti darjah kecerdasan otak (IQ) berasaskan meritokrasi.

Namun, banyak penyelidikan dalam bidang psikologi dan sains saraf menunjukkan taksub kepada aspek ini akan membuat seseorang itu lebih mementingkan diri, sekali gus menunjukkan ciri-ciri mendiskriminasi pihak lain. Yakni meningkatkan lagi tabiat pemisahan, bukan budaya sebaliknya.

Pendek kata, kesan hasil anjalan budaya sebenarnya berupaya membuka pelbagai ruang serta jendela budaya lain agar mudah didampingi baik melibatkan muzik, drama, sastera serta seni khat yang acap kali disalahfahamkan lantas menyusahkan memupuk masyarakat yang benar-benar bersatu padu. Contoh terbaik di peringkat global baru-baru ini adalah pada 2019, sebuah pasukan muzik dari Malaysia yang dianggotai oleh kaum Sikh menjadi juara World Pipe Band Championship untuk kali ketiganya. Mereka mengalahkan pasukan yang memiliki alat muzik asli tersebut dari Scotland.

Jelas, apabila hal-hal sekatan budaya dapat diatasi akan memudahkan persefahaman apabila melibatkan lawatan di tempat-tempat agama yang berbeza hasil terbentuknya CQ dalam satu kerangka mendalam untuk saling menghormati sebagai suatu kenyataan. Tanpa tergugat, tersinggung yang sering kedengaran umpama yang terkesan baru-baru ini.

Lebih mengusutkan daripada mententeramkan khusus bagi para remaja yang umumnya menghadapi pelbagai cabaran hidup dan nilai.

Dengan kata lain, semua ini menghalakan kepada betapa pentingnya pendidikan yang menyeluruh serta bersepadu sebagaimana tertera dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1996. Yakni bersasarkan keseimbangan dan keharmonian, bukan ketaksuban dan keterlanjutan. Iaitu mencapai kesejahteraan diri ekoran amalan dan latihan kesederhanaan hidup semula jadi melalui ekosistem pendidikan yang juga seimbang dan harmonis pendekatannya.

Jika amatlah munasabah JZ yang paling bertepatan adalah kepelbagaian aliran sekolah yang terpencil dengan pelbagai salah tanggapan satu sama lain. Tiada titik persamaan untuk menyemai perpaduan dan membenamkan ketaksuban segala corak yang menggagalkan selama ini. Program Sekolah Amanah yang sudah berpengalaman lebih sedekad lamanya di merata negara mempamerkan bukti dalam hal ini. Ia perlu diziarahi dan ditelani segera. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN