MUTAKHIR ini, hampir setiap minggu kita didedahkan dengan kes penganiayaan, penderaan dan pukulan terhadap isteri. Kes serangan fizikal ini merupakan salah satu daripada pelbagai bentuk keganasan terhadap wanita.
Kini, penganiayaan terhadap isteri bukan hanya berlaku di sebalik empat dinding dan melibatkan hal ehwal rumah tangga, namun amat menyedihkan apabila terdapat suami durjana yang sanggup mengkomersialkan isteri untuk menjadi hamba seks sepertimana kes yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Seremban, baru-baru ini.
Hasil siasatan mendapati tertuduh memaksa dan memperdagangkan isterinya untuk tujuan eksploitasi seks bagi menyelesaikan bayaran hutang yang ditanggungnya.
Di seluruh dunia, keganasan daripada pasangan intim dan keganasan seksual merupakan masalah kesihatan awam utama terhadap pelanggaran hak asasi wanita.
Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi kajian melibatkan dua juta wanita dari 161 negara sepanjang 2000 hingga 2018 mendapati secara global, kira-kira satu bagi setiap tiga wanita (33%) berusia antara 15 hingga 49 tahun mengalami sama ada keganasan fizikal dan/atau seksual dengan kebanyakannya dilakukan oleh suami/pasangan intim.
Di Malaysia, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat 3,173 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada 2010. Jumlah tersebut kemudiannya meningkat kepada 4,123 kes (2013), melonjak kepada 5,513 kes (2017) seterusnya 5,421 kes (2018).
Pada 2021, jumlah tersebut terus meningkat kepada 7,468 kes, sekali gus mencatatkan peningkatan 42 peratus berbanding 2020 (5,260 kes).
Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita (CEDAW) menyatakan, keganasan terhadap wanita adalah manifestasi daripada hubungan kekuasaan yang tidak setara antara lelaki dan wanita.
Justeru, keganasan ini merupakan salah satu mekanisme sosial kritikal yang menyebabkan seseorang wanita terpaksa tunduk dengan kehendak lelaki dengan cara tidak sepatutnya.
TIKET
Sesungguhnya isteri bukanlah hak milik suami, maka kerana itu jugalah Islam mengharamkan suami daripada mengambil, merampas atau menyalahgunakan harta isteri tanpa kerelaannya.
Mahar (mas kahwin) yang dihadiahkan kepada isteri ketika akad bukanlah tiket jual beli, namun ia merupakan simbolik sebuah penghormatan, penghargaan dan kasih sayang bagi memulakan sebuah ikatan suci yang menjadi gerbang perkongsian kehidupan mendatang.
Oleh kerana isteri bukanlah hak milik dan harta kepunyaan suami yang boleh diperlakukan secara semberono, maka begitulah sewajarnya pemahaman yang perlu diserapkan kepada ahli keluarga suami berkenaan.
Justeru, jika seseorang isteri sedaya mungkin berusaha untuk menjaga hati mentua, ipar-duai, begitulah juga reaksi yang perlu ditimbal oleh keluarga suami berkenaan. Usahlah menjadikan isteri sebagai pendatang yang perlu diuji ketahanan dan dibuli emosinya, sebelum diiktiraf sebagai salah seorang ahli keluarga.
Apatah lagi apabila Islam menetapkan panduan dalam menjaga kerukunan rumah tangga agar pasangan bermuasyarah secara makruf (bergaul secara baik). Dalam usaha bergaul tersebut, peranan keluarga dari kedua-dua belah adalah penting.
Ini kerana aura yang disebarkan oleh ahli keluarga mampu mempengaruhi emosi dan pergaulan suami isteri yang baru memulakan fasa baharu dalam kehidupan.
REMEDI
Seseorang isteri yang nekad untuk membebaskan diri daripada penganiayaan boleh memfailkan perceraian, taklik ataupun fasakh di mahkamah rendah syariah di daerah di mana isteri atau suami bermastautin.
Dalam masa sama, sekiranya isteri berkenaan bimbang keselamatan dirinya terancam sepanjang prosiding, dia boleh memfailkan perintah injunksi/tegahan menurut Seksyen 107 Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam.
Menerusi peruntukan ini, seseorang hakim boleh memerintahkan suami atau mana-mana orang menahan diri daripada mengganggu atau menceroboh hak atau kepentingan isteri terbabit sepertimana perintah yang pernah dikeluarkan pada 1994 menerusi kes Mohamed Habibullah bin Mahmood lwn. Faridah binti Dato Talib.
Malah Seksyen 127, akta/enakmen sama juga memperuntukkan hukuman kepada suami yang menganiaya atau menipu harta isterinya dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Dalam kes sebegini, mahkamah juga boleh memerintahkan suami berkenaan supaya membayar pampasan bagi harta yang telah ditipu tersebut.
Selain mahkamah syariah, seseorang isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga juga boleh mendapatkan perlindungan menerusi Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).
Akta ini memberi perlindungan kepada mangsa menerusi Perintah Perlindungan Interim (IPO)/Perintah Perlindungan sama ada dalam bentuk perlindungan undang-undang mahupun penempatan sementara.
Menariknya, urusan mendapatkan IPO/Perintah Perlindungan ini dibantu oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dipertanggungjawabkan.
Perlu difahami, kesalahan di bawah Akta 521 ini hendaklah dibaca bersama peruntukan Kanun Keseksaan (Akta 574). Sehubungan itu, hukuman yang dikenakan juga lebih berat.
Sebagai contoh, hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun boleh dikenakan atas kesalahan menyebabkan keguguran tanpa kerelaan serta pemenjaraan sehingga 10 tahun dan denda atau sebatan bagi kesalahan mendatangkan kecederaan bagi tujuan memeras harta.
Begitu juga seseorang wanita yang diganggu secara seksual oleh bekas pasangannya boleh mendapatkan perlindungan menerusi Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840), manakala isteri yang dipaksa menjadi pekerja seksual pula dilindungi menerusi Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Sesungguhnya pelbagai remedi disediakan oleh undang-undang bagi melindungi wanita/isteri. Justeru, wanita perlu menimbang dan membuat keputusan dengan bijak pilihan yang ada di depan mata bagi menjaga kemaslahatan diri.
Ini kerana tidak membuat pilihan juga merupakan suatu pilihan. Justeru, usah takut. Mulakan langkah pertama dengan melaporkan penganiayaan kepada polis atau hubungi Talian Kasih 15999. – UTUSAN
DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










