SEJAK menerajui kerajaan perpaduan mulai November lalu, aktiviti makan tengah hari dan solat Jumaat bersama rakyat telah menjadi program mingguan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika tidak ke luar negara, boleh dikatakan ia menjadi aktiviti rutin dalam jadual kerja Perdana Menteri pada setiap minggu. Atur cara aktiviti ini juga dilihat sangat ringkas dan santai, iaitu meluangkan masa bersama rakyat menikmati sajian makan tengah hari, disusuli solat Jumaat bersama kariah masjid serta orang ramai.
Ironinya, Anwar pantas mencipta satu peluang baharu seperti ini agar sentiasa dapat mendampingi rakyat. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau bijak menggunakan platform terbentang luas ini untuk beramah mesra dengan rakyat sekali gus mewujudkan satu ruang yang memberi peluang kepada masyarakat mendekatkan diri dengan pemimpin nombor satu negara.
Tambahan pula, jadual kerja yang padat mungkin tidak membenarkan Anwar meluangkan lebih banyak masa seperti ini pada hari-hari lain, namun ruang masa singkat yang ada sebelum menunaikan solat Jumaat berjaya dimanfaatkan secara optimum.
Melalui pendekatan berhemah ini, Anwar dapat mengurangkan jurang antara golongan elit politik atau kepimpinan tinggi negara dengan anggota masyarakat atau kelompok marhaen.
Justeru, apabila Anwar melaksanakan program seperti ini setelah dilantik ke jawatan Perdana Menteri, ia mencetuskan satu aura menakjubkan dalam kalangan rakyat yang berpusu-pusu mahu berjumpa dan bergambar dengan beliau. Tuntasnya, rakyat melihat sikap mesra dan ambil peduli Anwar tidak berubah walaupun sudah menduduki kerusi nombor satu kerajaan.
Selain itu, aktiviti mingguan ini juga secara tidak langsung meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap kepimpinan Anwar. Pedulikan segala kaji selidik yang dibuat oleh pelbagai pihak kerana ia akan sentiasa memberikan tafsiran dan hasil dapatan berbeza serta tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang.
Namun, apa yang penting adalah pada realitinya melalui aktiviti turun padang seperti ini kita dapat saksikan bagaimana orang ramai selesa dan suka berjumpa dengan Perdana Menteri tanpa sebarang persepsi mahupun prasangka.
Sewajarnya program perjumpaan secara langsung seperti ini diterima dan diiktiraf sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap Anwar dan kerajaan perpaduan pimpinannya semakin meningkat dan mula menambat hati semua lapisan masyarakat.
Oleh itu, kerajaan tidak perlu gusar dengan sebarang hasil kaji selidik yang kesahihannya terus dipertikaikan oleh pelbagai pihak termasuk pakar.
Hakikatnya, apabila kerap berjumpa rakyat dan membuka ruang untuk menerima pandangan, anggota masyarakat melihat Anwar sebagai seorang pemimpin yang mudah didekati dan sedia mendengar masalah rakyat.
SANTAI
Justeru, kita berharap budaya kerap turun padang serta berjumpa dengan rakyat seperti ini turut dicontohi oleh semua pemimpin politik khususnya yang memegang jawatan dalam kerajaan. Hal ini penting kerana banyak manfaat dan kelebihan boleh diperolehi oleh pemimpin dan rakyat melalui program seperti ini.
Bagi pemimpin, mereka boleh menyampaikan dan menerangkan dasar-dasar baharu kerajaan secara lebih santai tetapi berkesan, boleh mendengar keluh-kesah permasalahan rakyat serta dapat terus menghulurkan pelbagai bantuan diperlukan oleh golongan sasar.
Bagi rakyat pula, inilah peluang terbaik untuk mereka beramah mesra dan menyampaikan pelbagai masalah kepada pemimpin tanpa pelbagai kerenah birokrasi mahupun protokol.
Jujurnya, kita tidak mahu para pemimpin politik hanya turun padang bila ada majlis tertentu atau ketika musim pilihan raya semata-mata. Sebaliknya, jadikan program perjumpaan dengan rakyat sebagai aktiviti mingguan wajib.
Bagi anggota Jemaah Menteri, selain turun ke kawasan masing-masing untuk mendengar masalah rakyat yang mengundi mereka, diharap turut boleh mengadakan sesi perjumpaan di kawasan lain kerana sebagai menteri atau timbalan menteri, mereka perlu mengambil peduli masalah di seluruh negara secara keseluruhannya.
Ringkasnya, lagi kerap kita berjumpa rakyat di pelbagai lokasi maka lagi banyak masalah dapat diselesaikan dengan lebih pantas dan efisien.
Dalam konteks ini, apa yang diharapkan oleh rakyat ialah datang ke tempat mereka untuk beramah mesra secara lebih santai tanpa kerenah birokrasi serta protokol yang menyusahkan. Biarlah pemimpin berjumpa rakyat dalam suasana yang lebih mesra dan relaks.
Rakyat tidak mengharapkan apa-apa daripada pemimpin selain dapat meluangkan masa bersama mereka bagi menzahirkan rasa cakna dan ambil berat. Amalan ini juga selari dengan rukun ihsan yang digariskan dalam konsep masyarakat madani yang cukup sinonim dengan makna peduli dan belas kasihan.
Tuntasnya, setiap pemimpin perlu ada rasa ihsan terhadap masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan ideologi politik. Pemimpin yang menjiwai sifat ihsan akan sentiasa meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan lain.
Malah, sifat ihsan akan mendorong kita untuk sentiasa melakukan yang terbaik demi menjaga kebajikan dan memperkasakan kesejahteraan rakyat. Kita berharap setiap pemimpin kerajaan akan mencontohi strategi Anwar sekali gus mewujudkan jadual perjumpaan dengan rakyat secara santai dan tanpa protokol.
Percayalah, tatkala rakyat sedang bergelut dengan pelbagai masalah untuk meneruskan kelangsungan hidup, tindakan para pemimpin yang sentiasa mendampingi mereka pasti akan menyuntik semangat dan menjadi tonik dalam bentuk sokongan moral yang efektif. – UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.











