Apresiasi diri dan KPI

Apresiasi diri dan KPI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kalangan mereka yang bermajikan, Disember adalah bulan yang membawa kegusaran. Ketika itu prestasi kerja mereka dalam setahun dinilai dengan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI). Malah ada yang tidur tidak lena memikirkan penilaian yang dibuat oleh ketua masing-masing.

Pencapaian dalam KPI menjambatani secara langsung dan tidak langsung akan kenaikan gaji atau pangkat. Sekiranya mendapat penilaian yang tidak memuaskan daripada skala satu hingga lima itu, berkemungkinan boleh menjejaskan masa depan dalam kerjaya. Kemungkinan juga boleh menjejaskan bonus.

Banyak dalam kalangan pekerja mengimpikan skala KPI yang lunak misalnya empat atau lima. Sekiranya mendapat skala tiga ke bawah, sudah tentu terbeban dengan stigma sebagai pekerja yang tidak berprestasi. Lebih teruk daripada itu, ada syarikat mengugut memecat pekerja yang mendapat skala dua.

Bagaimanapun, terdapat banyak juga yang tidak percaya pada diri sendiri yang sudah melakukan kerja dengan sebaik-baiknya. Sebaliknya lebih percaya kepada penilaian orang lain, misalnya ketua terhadap prestasi kerja mereka. Pada hal kalau kejujuran diletakkan di depan, merekalah yang lebih tahu tentang diri sendiri.

Tidak banyak yang memberikan apresiasi diri (self appreciation) sesudah melaksanakan tugas dengan jujur dan sebaik mungkin. Kalau sudah melakukan yang terbaik tetapi mendapat penilaian yang sebaliknya, itu adalah penilaian orang terhadap kita.

Pada masa sama, kita juga mesti mempunyai skala penilaian atau apresiasi terhadap diri sendiri. Apresiasi diri itu boleh menangkis rasa kecewa dengan penilaian orang lain yang menyimpang daripada hakikat yang kita lakukan. Apresiasi terhadap diri sendiri mesti berteraskan kejujuran.

 

 

PENEKANAN terhadap Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) semata-mata boleh membunuh semangat bekerja dengan jujur dan sebaik-baiknya. – GAMBAR HIASAN

Perlu difahami juga bahawa kejujuran adalah suatu yang sangat abstrak. Apa lagi dalam melaksanakan tugas – kejujuran hanya kita sahaja yang tahu. Orang lain termasuk ketua terdekat misalnya hanya melihat yang tersurat. Maka hanya dengan kejujuran sahaja tanda aras untuk memberikan apresiasi kepada diri sendiri.

Ketua yang baik adalah yang dapat menilai dan melihat kerja-kerja tidak tersurat oleh pekerjanya. Ketua yang baik juga tidak akan memberi tekanan kepada pekerja supaya bekerja untuk KPI, akan tetapi untuk organisasi seluruhnya. Maknanya bekerjalah dengan jujur.

Sebab itulah untuk menaikkan mana-mana individu sebagai ketua, tidak kiralah di peringkat unit, bahagian atau jabatan, kriteria akhlak lebih penting daripada pandai bekerja. Ketua adalah manusia yang menguruskan manusia. Seorang ketua yang berakhlak tinggi, penilaian terhadap orang bawahan pun tidaklah dipengaruhi oleh faktor-faktor yang tidak berkaitan.

Bagaimanapun, sikap ketua yang memberi tekanan melampau pada KPI adalah suatu yang boleh membawa keburukan – khususnya kepada pekerja. Disebabkan KPI menjadi nyawa mereka yang berpendapatan rendah, akan berlaku satu keadaan di mana KPI lebih penting berbanding kejujuran untuk kecemerlangan organisasi.

Masa yang sama hal ini boleh mewujudkan tekanan disebabkan matlamat untuk mengejar KPI. Malah boleh membunuh semangat bekerja dengan jujur dan sebaik-baiknya. Tambahan pula sangat mustahil prestasi bekerja setahun boleh diterjemahkan di atas sekeping atau dua keping kertas sahaja.

Kaedah yang tepat adalah pemerhatian ketua yang terdekat dengan pekerja. Hanya individu berkenaan yang tahu secara rinci prestasi pekerja bawah seliaannya. Hal ini kerana ketua yang terdekat selalunya tidak menyelia jumlah pekerja yang banyak. Dalam keadaan demikian, dia boleh menilai pada hari pertama tahun baharu hingga akhir tahun berkenaan.

Ketenangan menjalani kehidupan adalah satu anugerah yang tidak ternilai harganya. Bukan semua yang berjaya dalam kerjaya, mendapat kenaikan gaji dan pangkat secara berterusan mampu membuat apresiasi terhadap diri sendiri. Selagi mana kita hanya bergantung pada penilaian orang, kita hanya bekerja untuk orang lain, bukan diri sendiri.

Hidup adalah perjalanan yang panjang dan ruang menikmati ketenangan. Maka berhentilah mengejar KPI yang melampau. Tidak ada gunanya juga sekiranya mendapat KPI terbaik, dinaikkan pangkat dan gaji, akan tetapi kehilangan hidup yang tenang dan aman.

KPI bukan tidak penting, bagaimanapun itu bukanlah matlamat kehidupan sebagai pekerja yang dibayar gaji untuk menyara keluarga. Kalau kita percaya telah melakukan dengan jujur dan ada apresiasi diri, KPI adalah perkara kedua atau ketiga dalam senarai keperluan hidup.

Sikap sedemikian memberi banyak kebaikan, bukan sahaja sebagai pekerja malah menjadi manusia yang berakhlak. Apabila tidak dibelenggu dengan tuntutan KPI dan kerja-kerja yang dipandang sebagai faktor lonjakan dalam kerjaya, kita terhindar daripada perlumbaan di tempat kerja.

KPI memang secara asasnya membawa kebaikan. Akan tetapi boleh menjadi sebaliknya apabila tidak difahami atau sengaja diseleweng daripada maksud sebenarnya. KPI tetap memerlukan manusia yang jujur dan berakhlak terutama mereka yang diamanahkan sebagai ketua.

Dalam kata lain KPI tidak boleh dilakukan oleh robot. KPI mesti dilakukan oleh manusia kerana tidak semua penilaian prestasi kerja berupa angka-angka. Maka sebagai pekerja – termasuk juga ketua yang ada ketua di atasnya perlu membebaskan diri daripada diperhamba KPI secara tidak betul.Sebagai pekerja, perkara penting malah paling asas adalah menjalankan tugas dengan jujur dan sebaik-baik yang mungkin. Ini satu tanggungjawab. Tanpa dijanjikan KPI, kenaikan pangkat dan gaji sekalipun, tugas mesti dilakukan dengan terbaik. Sama ada ketua melihat atau tidak, dipuji atau tidak, semua tanggungjawab mesti dilakukan dengan penuh amanah.-UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN