Sekolah pondok saingan sekolah aliran perdana?

Sekolah pondok saingan sekolah aliran perdana?

IBU bapa kini lebih cenderung menghantar anak mereka belajar ke institusi pendidikan agama di luar kelolaan Kementerian Pendidikan. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dapat dinafikan terdapat kecenderungan dalam kalangan ibu bapa menghantar anak mereka belajar ke institusi pendidikan agama di luar kelolaan Kementerian Pendidikan. Kini bilangan pelajar sekolah tahfiz, sekolah pondok dan sekolah aliran agama bertambah setiap tahun.

Secara umumnya terdapat dua jenis sekolah, iaitu di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) terdiri daripada sekolah rendah agama negeri (SRAN), sekolah menengah agama negeri (SMAN), maahad tahfiz negeri, kolej tahfiz negeri, sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekolah rendah dan menengah agama rakyat (sepenuh masa) dan tadika Islam negeri.

Selain itu, terdapat sekolah ditubuhkan oleh pihak swasta iaitu sekolah rendah dan menengah agama integrasi, maahad tahfiz swasta, sekolah pondok dan tadika Islam swasta. Keseluruhan institusi di bawah kelolaan kerajaan negeri dan pihak swasta berjumlah kira-kira 4,000 buah, lebih 600,000 pelajar dan 43,000 guru.

Bagi mengawal penubuhan dan tata kelola, sekolah itu didaftarkan di bawah JAIN melalui enakmen kerajaan negeri dan turut dikawal selia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan menyediakan kemudahan bantuan dalam bentuk kewangan dan bimbingan berterusan. Ini termasuk latihan guru, buku teks, penyediaan kurikulum, peperiksaan dan kemudahan peralatan pengajaran.

Sebahagian besar sekolah itu menggunakan kurikulum kebangsaan, Kurikulum Baharu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baharu Sekolah Menengah (KBSM) yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan. Di samping itu turut menggunakan Kurikulum bersepadu Dini yang mengandungi subjek Usul al-Din, Al Syariah, Al Lughah al Arabiah al-Muasirah, Manahij al Ulum al-Islamiah dan Al- Adab wa al-Balaghah. Sekolah tahfiz pula menggunakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz yang digubal berdasarkan kurikulum Tahfiz Al-Quran bagi menghasilkan generasi menghafal dan memahami 30 juzuk al-Quran.

Sementara itu, sekolah pondok atau pesantren merupakan institusi pendidikan berfokuskan pengajian ilmu Islam. Kebiasaannya disediakan asrama untuk pelajar dan tiada had usia serta menerima pelajar tanpa mengambil kira latar belakang mereka. Pengajiannya melalui kitab Jawi (kitab kuning) atau turath dan kitab dalam bahasa Arab. Kurikulumnya mengandungi ilmu tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, akidah, mantiq, tauhid, tasawuf, fardu ain, menghafal surah pilihan al-Quran dan aspek kerohanian lain.

Apa yang menariknya, sekolah tahfiz dan sekolah pondok tidak sahaja menyediakan ilmu keagamaan dalam kurikulum mereka tetapi turut memberikan nilai tambah dengan memasukkan subjek akademik. Pelajar juga diberi pilihan sama ada untuk mengambil peperiksaan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia), SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), SKM (Sijil Kemahiran Malaysia) atau TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) seperti kemahiran elektronik, kulinari, penyelenggaraan jentera, perniagaan, baik pulih komputer dan pertanian.

DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pada pendapat saya, bagi memastikan kelestariannya maka setiap institusi pendidikan haruslah menghayati Dasar Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan pelajar cemerlang yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Pelajar hari ini perlu mendapat ilmu pengetahuan mencukupi bagi membolehkan mereka menjadi warganegara berguna pada masa hadapan.

Di samping itu, sekolah juga perlu menyediakan infrastruktur mencukupi seperti perabot, bilik darjah, perpustakaan, surau, kantin, makmal bahasa dan kemudahan tempat permainan. Melalui kemudahan ini diharapkan pelajar dapat membentuk sahsiah dan membina pembangunan diri serta berupaya mengikuti pembelajaran dengan baik dan sempurna.

Satu lagi perkara penting perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan ialah aspek keselamatan pelajar terutama mereka yang tinggal di asrama. Sudah tentu ibu bapa inginkan anak mereka belajar dengan aman dan tenteram. Aspek keselamatan pelajar merupakan tanggungjawab pihak pengurusan sama ada semasa berada dalam kawasan atau luar sekolah ketika melaksanakan aktiviti tertentu.

Ibu bapa yang membuat pilihan mengikuti aliran ini selain ingin mendalami ilmu agama mahu anak mereka menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi sama ada dalam atau luar negara. Oleh itu, pelajar perlu diberi peluang menduduki peperiksaan awam bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian di peringkat diploma dan ijazah. Difahamkan ada beberapa institusi pengajian tinggi menawarkan tempat khusus bagi pelajar lepasan sekolah tersebut, oleh itu peluang berkenaan perlu dimanfaatkan.

Di samping itu, pelajar yang menduduki peperiksaan awam juga berpeluang memohon pekerjaan sama ada dalam sektor awam atau swasta. Sementara itu, sekolah yang menyediakan pelajar dengan kemahiran TVET boleh melakukan pekerjaan sendiri atau menjadi usahawan pada suatu hari nanti.

Namun demikian terdapat beberapa isu perlu diberi perhatian, antaranya masih terdapat institusi yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa negeri. Oleh itu, tugas pemantauan dan khidmat nasihat oleh pihak berwajib tidak dapat dilakukan termasuk bantuan tidak dapat disalurkan. Sementara itu, sebahagian kecil sekolah tidak menyediakan pelajar menduduki peperiksaan awam. Sukar bagi pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau memohon pekerjaan selepas menamatkan persekolahan nanti.

Sesungguhnya institusi pendidikan aliran agama ini memerlukan sokongan dan dukungan daripada semua pihak. Justeru, orang ramai digalakkan menghulurkan bantuan terutama dalam kalangan golongan profesional. Datanglah bertemu dengan mudir atau guru besar, setidak-tidaknya berikan ceramah kerjaya atau motivasi kepada pelajar. Moga-moga usaha tersebut akan memberi manfaat dan dapat meningkatkan prestasi institusi berkenaan. – UTUSAN

Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom ialah Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×