“MALANGNYA, tak banyak perkara yang orang Serbia tahu tentang Malaysia. Orang Serbia dan penduduk di Eropah secara umumnya sangat Eurosentrik. Kami jarang dapat atau dengar sebarang berita tentang negara-negara di Asia Tenggara, melainkan sekiranya terjadi bencana besar seperti banjir dan gempa bumi di rantau tersebut,” ujar Nikola Mikovic, 40, wartawan sambilan dari Serbia yang juga penganalisis politik umum.
Beliau yang memulakan kerjaya sebagai seorang wartawan sejak 2007 di agensi akhbar tertua di rantau Balkan, Politika ini turut menyatakan, jika ditanya kepada orang awam Serbia di jalanan, mungkin satu daripada 10 orang dapat menunjukkan Malaysia pada peta, atau paling tidak menyatakan nama ibu negara Malaysia.
“Malah mereka yang bekerja untuk beberapa institusi dan yang menguruskan dasar luar pun sangat sedikit tahu tentang Malaysia kerana pada hakikatnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang terlalu jauh,
“Dari segi sejarah pula, kedua-dua negara ini tidak pernah menjalin apa-apa hubungan secara khusus kecuali hanya mungkin pada 1970-an apabila Malaysia menyertai Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), sebuah pergerakan yang dibentuk ketika Perang Dingin, sebahagian besarnya atas inisiatif Presiden Yugoslavia ketika itu, Josip Broz Tito,” jelasnya.
Mikovic yang pada ketika ini aktif menumpukan penulisannya untuk beberapa penerbitan antarabangsa seperti Australian Lowy Institute, CGTN, Diplomatic Courier dan Global Comment mengakui dia bukannya begitu pakar dan arif tentang Malaysia dan Asia Tenggara secara amnya.
“Pengetahuan saya tentang rantau itu (Asia Tenggara) agak terhad. Namun, saya percaya bahawa saya lebih tahu tentang Malaysia daripada kebanyakan orang Serbia mahupun orang Eropah lainnya,” tambahnya.
Menurutnya lagi, pada ketika hubungan Malaysia dan Yugoslavia (kini Serbia) terbentuk, banyak syarikat Yugoslavia beroperasi di Malaysia serta terlibat dalam beberapa projek infrastruktur penting di sana.
Namun. perang pada 1990-an dan perpecahan Yugoslavia mengakibatkan hubungan antara Belgrade dan Kuala Lumpur menjadi dingin.
“Bukanlah sesuatu yang rahsia bahawa Malaysia telah mempersenjatai dan membiayai orang-orang Islam Bosnia semasa perang 1990-an. Malah Iran, sebuah negara yang majoriti berfahaman Syiah turut mempersenjatai dan membantu umat Islam di Bosnia dan Herzegovina, meskipun sebahagian besar daripada mereka adalah Sunni.
“Pada 1990-an, mereka (warga Bosnia) masih agak sekular, tetapi itu tidak menghalang Hizbullah yang disokong Iran untuk menghantar pejuangnya ke Balkan,” ujarnya.
EMPAYAR UTHMANIYAH
Wartawan Serbia saya kenali pada Februari 2022 di Baku, Azerbaijan ini lebih memberi tumpuan pada polisi-polisi luar negara Russia, Belarus dan Ukraine secara umumnya. Beliau mengatakan, pada ketika itu (1990-an), Iran dan Amerika Syarikat (AS) berperang di pihak yang sama, maka ia membuatkan AS menyokong umat Islam menentang Serb di Bosnia. Namun kemudiannya, Iran menukar pendiriannya.
“Dan kini Serbia merupakan rakan kongsi utama Tehran di Balkan, bukannya Bosnia dan Herzegovina,” katanya lagi.
Iran tidak pernah mengiktiraf kemerdekaan Kosovo yang diisytiharkan secara unilateral, sekali gus meningkatkan hubungan antara negara republik Islam itu dengan Serbia. Namun, Malaysia telah mengiktiraf Kosovo sejak 2008 yang memberi kesan kepada hubungan antara Belgrade dan Kuala Lumpur sehingga kini.
Akibatnya, Duta Besar Malaysia ke Serbia, Saw Ching Haw telah diusir keluar pada 2008 dan hingga ke saat ini, Kedutaan Malaysia di Belgrade hanya diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara.
Secara geografi, Serbia terletak di Eropah tetapi ia bukanlah sebuah negara Barat. Tidak seperti kuasa besar Eropah, ia (Serbia) tidak pernah mempunyai sebarang tanah jajahan kerana Serbia sendiri merupakan tanah jajahan memandangkan ia telah diperintah oleh Empayar Uthmaniyah selama berabad-abad.
Kalau kita perhatikan juga, kedudukan geografi semasa Serbia juga agak unik. Ia dikelilingi negara-negara yang bermusuhan antara satu sama lain, sama ada ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) atau paling tidak mempunyai tentera NATO di negara mereka sekali gus menjadikan Serbia lebih terancam dan mempunyai ruang lebih kecil untuk melaksanakan dasar luar negara yang berdaulat.
“Menerusi kaca mata saya, hubungan Serbia dan Malaysia berada di paras yang biasa melihatkan hanya RM398.88 juta jumlah perdagangan antara Serbia dan Malaysia.
“Saya yakin hubungan ini akan dipertingkatkan lagi setelah Serbia menandatangani perjanjian kerjasama dan persahabatan dengan ASEAN tidak lama lagi. Setelah itu perolehan perdagangan antara kedua-dua negara berkemungkinan berkembang dan memberi ruang kepada Serbia untuk menjadi rakan strategik Malaysia bagi membekalkan Eropah Tenggara dengan minyak sawit,” jelasnya.
Apabila Mikovic dimaklumkan sebahagian warga Malaysia tidak mampu menerima Serbia disebabkan sentimen agama akibat perang Bosnia, beliau mengatakan bahawa naratif sedemikian datangnya daripada media Barat bertujuan memastikan rakyat Balkan berpecah secara kekal. Sedangkan sejak 2015, lebih 1.5 juta pendatang dari Timur Tengah dan Afrika Utara yang mana kebanyakannya beragama Islam telah melalui Serbia dalam perjalanan mereka ke Eropah Barat.
“Tidak seperti negara-negara jiran, Croatia dan Hungary, di mana polis mereka memukul pendatang-pendatang tersebut dengan kejam dan insiden seperti ini tidak pernah berlaku di Serbia.
“Walaupun rakyat Serbia kebanyakannya Kristian Ortodoks, namun terdapat beberapa majlis perbandaran di selatan dan barat daya Serbia, mereka membentuk majoriti penduduk dan tidak ada ketegangan agama atau etnik di sana serta keadaannya agak aman,” katanya. – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu-isu tempatan dan antarabangsa.










