‘Bukan cerita saya pandai tapi misi PRU16’

‘Bukan cerita saya pandai tapi misi PRU16’

ARMAND AZHA ABU HANIFAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MENJADI orang pertama tanpa berselindung menyatakan hasrat untuk menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada kali ini, ternyata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), DATUK ARMAND AZHA ABU HANIFAH terbuka dan tidak gentar berdepan apa jua cabaran termasuk calon yang mempunyai nama besar dalam merebut jawatan tersebut demi meraikan demokrasi parti.

Ketika ini, beliau giat melakukan persiapan untuk bertanding termasuk memasang strategi melalui kempen di media sosial tanpa menghiraukan pelbagai bentuk serangan yang diterima daripada pelbagai pihak.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, Armand Azha yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berhasrat berkempen secara terbuka dan bersih dengan menawarkan 10 dasar dalam #hebatkanpemuda.

Tuntasnya, beliau mahu mengubah gaya Pemuda agar pimpinan parti lebih terbuka walaupu ia sesuatu yang pahit untuk ditelan memandangkan ketika ini pergerakan tersebut dilihat tidak progresif dan terlampau apologetik kerana sering kali mengambil langkah selamat dengan tidak mengeluarkan kenyataan bersifat kebenaran untuk parti.

UTUSAN: Apa sebab tawar diri bertanding?
ARMAND AZHA: Saya mempunyai pengalaman dalam parti sejak 1995, bahkan sebagai seorang Ahli MKT pada hari ini. Sudah pasti saya boleh gabungkan kesinambungan untuk memacu Pemuda.

Asasnya, kita perlu menjadi Pemuda yang digeruni, yang ditakuti, yang berani tetapi dalam masa sama dihormati pihak lawan mahupun kawan.

Dan kita perlu matang dalam politik. Saya menggunakan konsep politik dinamik dan progresif di mana sentiasa terbuka dengan pandangan, kritikan, cadangan dan sebagainya untuk penambahbaikan.

Dan apabila tawarkan diri, saya boleh berbincang dengan ketua-ketua bahagian di seluruh negara sebab saya merupakan ketua bahagian. Jadi, agak mudah untuk Pemuda meletakkan apa juga dasar dan polisi yang akan diterapkan untuk diambil nilai dan diterima pimpinan-pimpinan bahagian seluruh negara. Jadi, sebab itu saya lihat ada volume dalam Pemuda dan sebab itu saya tawarkan diri berdasarkan pengalaman yang ada.

Apa faktor-X yang boleh Datuk tawarkan sekali gus menang pemilihan ini?
Saya akan mempertahankan barisan hadapan parti di lapangan atau media sosial dalam apa jua serangan daripada pihak lawan atau dalam parti untuk memastikan tiada kekeliruan dalam UMNO.

Saya berkempen menggunakan #hebatkanpemuda. Orang akan tanya maksudnya. Jadi, saya akan turun ke lapangan dan memberi penjelasan tentang apa yang disebutkan tentang #hebatkanpemuda. Ia akan lebih dinamik, progresif tanpa meninggalkan asas perjuangan, kekuatan UMNO. Kita mahu kembali kepada perjuangan moderate (sederhana) yang boleh diterima oleh rakyat. #hebatkanpemuda pasti menerapkan semangat harimau perjuangan yang perlu ada dalam jiwa nurani orang muda iaitu berani, digeruni, ikhlas dan dihormati.

Di samping itu akan laksanakan 10 Aku Janji Hebatkan Pemuda iaitu penaziran kekuatan Pemuda bahagian pada setiap tiga bulan; program bersepadu di setiap bahagian secara berkala; mewujudkan Koperasi Pemuda Malaysia di setiap bahagian; meningkatkan jalinan hubungan dengan institusi berdaftar melibatkan pendidikan formal dan tidak formal termasuk kemahiran; menyediakan roadmap (hala tuju) dari jalanan ke glokal; mewujudkan institusi pemikir muda dalam kalangan korporat muda; dana khas anak muda yang dikumpul untuk bantuan segera; mewujudkan kembali Akademik Hussein bagi anak muda yang tidak berpartisan serta ingin tahu mengenai hala tuju UMNO; melahirkan tokoh muda berwibawa kental dan memperjuangkan hak bangsa Melayu bercakap benar dan ampuh serta paling utama persediaan gerak kerja ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), iaitu retain and regain. Kita retain (mengekalkan)apa yang ada dan regain (mendapatkan semula) semua kerusi yang kita kalah.

Terdapat ura-ura Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan dan Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Mohd. Shahar Abdullah turut mengintai jawatan tersebut. Komen?
Saya seorang yang terbuka dan anggap pemilihan ini ibarat pemilihan keluarga besar UMNO. Saya sedia berdepan dengan siapa sahaja calon.

Semua mereka mempunyai pengaruh, nama besar malah memegang portfolio yang baik. Ini bermakna bakal memberi saingan hebat. Bagaimana Datuk berdepan situasi ini?
Onn Hafiz adalah sahabat saya sejak zaman Pemuda dan kami berkawan baik sehingga kini. Pemilihan ini tidak akan mengubah persahabatan kami, insya-Allah. Begitu juga Mohd. Shahar, kami pernah satu zaman semasa exco dahulu. Inilah namanya meraikan demokrasi dalam berparti.

Jika ditakdirkan kemenangan di pihak lawan, adakah Datuk masih memberi sokongan dan dorongan dari belakang?
Pastinya. Bagi saya pemilihan ini bagi menentukan masa hadapan parti dalam PRU16. Waima siapa sahaja yang diberikan mandat dan tanggungjawab, kita harus hormati keputusan dibuat akar umbi. Menang atau kalah, adat pertandingan dan saya harap mereka juga perlu hormat asal kata mandat diberi kepada saya.

Datuk dikecam selepas mengumumkan kesediaan untuk bertanding. Komen?
Ia datang dari pihak-pihak yang tidak puas hati. Ini sebahagian daripada jalan politik yang harus saya lalui. Saya tahu dari pihak atau kumpulan mana yang kecam. Bila kita kaji nama-nama tersebut, ia datang dari satu tempat dan kebanyakannya ada akaun palsu. Bagi saya, kalau anda nak bertanding, nak tawarkan diri, bertandinglah secara sihat. Tidak perlu hantar orang serang, kritik, balun. Cara ini tidak sihat untuk parti.

Bila nak bertanding, nyatakanlah dasar, apa anda akan buat daripada menyerang isu-isu yang tidak penting bagi saya.

Dalam pada itu, saya sudah bertemu lebih 80 ketua Pemuda bahagian, lebih 47 naib ketua Pemuda bahagian dan majoriti mereka selepas saya nyatakan dasar, hala tuju parti, menyatakan akan memberi sokongan kerana baru mereka nampak hala tuju parti. Berkempen kali ini bukan nak cerita saya tera, saya kuat, saya hebat tapi memfokuskan hala tuju PRU16 nanti.

Bagaimana Datuk melihat Pemuda di bawah pimpinan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki?
Tiada masalah. Asyraf Wajdi diberi mandat pada 2018 hingga 2022 dan ramai yang telah menilai cara serta corak pentadbiran beliau. Saya tidak mahu komen sebab setiap pemimpin ada cara masing-masing.

Bagi saya, beliau menunjukkan skop pimpinan beliau tetapi kalau saya diberi mandat, saya akan bawa 10 perkara dasar dan hala tuju parti. Ini yang akan saya laksanakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN