SEORANG suri rumah meminta wang daripada suami dengan tujuan membeli barangan dapur. Suami terkejut, rasanya baru sahaja dibeli bekalan dapur beberapa hari lalu. Maka isteri umpama pakar ekonomi menjelaskan, wang perbelanjaan dapur perlu ditingkatkan, barulah tidak perlu menambah bekalan dapur dalam waktu yang singkat seperti sebelum ini. Ini kerana jumlah yang suami peruntukkan tidak dapat membeli bekalan mencukupi seperti sebelumnya berikutan harga barangan telah meningkat. Jika dahulu boleh beli dalam kuantiti yang sememangnya mencukupi, tapi sekarang tidak lagi. Ini kerana kuantiti barangan yang diperoleh semakin berkurangan. Itulah inflasi namanya.
Suami faham apa itu inflasi. Namun, pening kepala kerana syarikat tempat dia bekerja masih dalam fasa pemulihan akibat kerugian semasa mengharungi era pandemik Covid-19 lalu. Maka tentulah tidak mungkin ada peluang jika permohonan kenaikan gaji diajukan kepada majikan.
Seperti dilaporkan di dalam akhbar baru-baru ini bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi meningkatkan harga barang dan makanan sehingga lebih 10 peratus pada tahun ini. Ini berdasarkan unjuran kadar inflasi yang dijangkakan meningkat kepada enam hingga tujuh peratus.
Sekarang kadar inflasi adalah pada empat peratus dan harga makanan serta minuman meningkat pada 7.3 peratus terutama harga makanan berasaskan ayam serta tepung. Dalam situasi ini, kita telah dapat merasakan kesan negatifnya.
Menurut pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai, kuasa membeli pengguna dijangkakan semakin berkurangan dan jika tidak ditangani, ia boleh memaksa pengguna kurang berbelanja sekali gus mengakibatkan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan.
Punca dan kesan harga barangan meningkat dan menyebabkan terjadinya situasi yang dipanggil inflasi ini banyak dan ia saling kait-mengait.
Dimulakan dengan mengatakan berpunca dari Amerika Syarikat (AS) yang sedang mengalami inflasi dan merebak ke seluruh dunia, kemudian ditambah konflik peperangan Russia-Ukraine menyebabkan beberapa sekatan perdagangan berlaku. Akibatnya, mengganggu harga komoditi dan kelancaran bekalan dunia.
Di dalam negara pula, kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS menyebabkan import menjadi mahal, BNM pula dalam usaha menangani infasi, menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) beberapa kali dan mungkin akan menaikkannya lagi pada masa depan. Mereka yang membuat pinjaman perniagaan, pinjaman rumah dan apa juga pinjaman terpaksa membayar lebih.
GLOBAL
Akibat gangguan global ini, ia memberi kesan kepada bekalan barangan terutama makanan. Jika bekalan berkurangan sedangkan permintaan rakyat tinggi, maka akibatnya akan naik lagi harga barangan makanan ini semua. Sememangnya ada tiga kumpulan barangan yang boleh mempengaruhi kadar inflasi sesebuah negara. Pertama, makanan dan minuman. Kedua, perumahan, elektrik dan bahan api. Ketiga, pengangkutan.
Ketiga-tiganya adalah barangan keperluan kehidupan harian setiap rakyat di mana-mana negara juga. Perubahan kepada harga barangan ini pastinya akan mempengaruhi kehidupan. Ada kajian dibuat oleh Picodi, sebuah laman sesawang yang mengendalikan diskaun untuk kedai dalam talian mendapati rakyat Malaysia yang berpendapatan gaji minimum berbelanja sebanyak RM405.46 untuk barang makanan asas seperti beras, gula dan sayur-sayuran. Perbelanjaan pada Januari 2022 ialah pada harga RM371.55, perbezaan kenaikannya ialah hampir 10 peratus. Ia akan terus naik lagi jika laporan BNM itu tepat.
Berbalik kepada kisah suami dan isteri tadi, ini adalah situasi normal yang dialami kebanyakan keluarga sekarang. Sebagai suami mahupun isteri, apa yang terjadi di AS, Russia atau Ukraine, OPR turun atau naik, rasanya tidak ada dalam pemikiran mereka. Malah rasanya semua rakyat yang terkesan akibat inflasi ini juga begitu.
Semua terma ekonomi seperti tentang kurang kuasa membeli, OPR, sekatan ekonomi mahupun kenaikan komoditi atau turun-naik nilai ringgit berbanding dolar AS tidak memberi makna pada mereka. Kerana mereka perlu memikirkan makanan apa yang dapat dihidangkan di atas meja hari ini untuk dinikmati sekeluarga serta bagaimana hendak menambah sumber kewangan agar dapat memberi kehidupan selesa kepada anak-anak.
Kalau kita baca laporan berita, isu kenaikan harga barang, isu sara hidup, tidak pernah putus-putus disiarkan bertahun-tahun dan setiap bulan serta setiap minggu. Kebanyakannya melaporkan berkenaan punca dan kenapa ia terjadi. Tidak salah untuk melaporkannya supaya rakyat semua faham.
Tetapi apa yang rakyat hendak pada kerajaan memerintah faham, apa yang rakyat mahu tahu ialah bagaimana harga barangan keperluan harian dapat diturunkan supaya mereka boleh mendapat bekalan makanan berkhasiat yang mencukupi dengan kadar pendapatan diperoleh sekarang. Ataupun bagaimana pendapatan mereka dapat ditingkatkan? – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu-isu semasa & politik.










