PORTAL berita Vanakkam Malaysia (12 Januari 2023) melaporkan, jumlah kemasukan murid ke sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) semakin merosot. Pada masa kini ada 527 SJKT dan lebih daripada 135 buah mempunyai kurang daripada 30 murid.
Untuk makluman, sekolah dengan jumlah kurang daripada 150 murid dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Maka SJKT terbabit berdepan kemungkinan digabungkan atau ditutup terus.
Menurut laporan portal itu, 55 peratus kanak-kanak kaum India pada masa kini pergi ke sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC). Ternyata memang ada perubahan berlaku kerana data Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (2017) menyebut pada 2011, sejumlah 56 peratus kanak-kanak kaum India belajar di SJKT, 38 peratus di SK dan enam peratus di SJKC.
Pada 2013, kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta dan ditambah pula RM5 juta pada 2014 untuk meningkatkan taraf pendidikan di lebih 300 SJKT. Sewaktu mengumumkan peruntukan berkenaan, Timbalan Presiden MIC waktu itu, Tan Sri Dr. S. Subramaniam turut menyatakan ada 60 SJKT dengan kurang daripada 25 murid dan 15 SJKT kurang daripada 10 murid.
Situasi itu memang amat membimbangkan. Seingat saya, pada waktu itulah Kempen SJKT Pilihan Kami mula digerakkan secara besar-besaran bagi menarik minat ibu bapa kaum India menghantar anak-anak ke SJKT.
Sejak 2004, saya bersama-sama Kumpulan Sasterawan Kavyan menjalankan program bahasa dan sastera kebangsaan di SJKT seluruh negara. Maka saya memahami situasi sebenar hasil perbualan dan pergaulan dengan para pemegang taruh.
Pada 12 Januari 2016, saya menulis di sebuah portal untuk menggariskan beberapa kelemahan SJKT yang wajar diatasi demi menjamin kejayaan kempen dijalankan. Misalnya, walaupun 1,298 murid SJKT mendapat 7A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), apabila mereka melangkah ke sekolah menengah, prestasi sebahagian murid cemerlang ini merudum. Dalam tulisan itu, saya menyentuh hakikat terlalu banyak tumpuan diberi kepada bahasa Tamil sehingga ramai lepasan SJKT kurang menguasai bahasa kebangsaan. Sebenarnya, pada 2014, Subramaniam turut meminta SJKT memberi penekanan kepada isu ini.
Dokumen Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia turut mengakui hakikat bekas murid SJKT berdepan kesukaran menyesuaikan diri di sekolah menengah akibat masalah bahasa. Perkara ini turut dipersetujui beberapa individu yang diwawancara portal Vanakkam Malaysia.
Dalam tulisan saya pada 2016, beberapa isu berkaitan SJKT diketengahkan. Malangnya, Timbalan Menteri Pendidikan waktu itu, Datuk P. Kamalanathan dan penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil, Datuk Dr. N.S. Rajendran mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada satu pun kes seumpama itu berlaku di mana-mana SJKT.
KRITIKAL
Akhbar-akhbar Tamil tempatan pula tampil membidas tindakan saya serta menggesa ibu bapa membuat laporan polis dan menyaman saya. Anehnya, akhbar Tamil Nesan (17 Januari 2016) menyiarkan rencana khas menyentuh pelbagai masalah dihadapi SJKT. Beberapa isu yang masih wujud dan terus menghantui SJKT turut disentuh dalam laporan di Vanakkam Malaysia. Misalnya, pada 2017, kerajaan mengambil keputusan memindahkan 22 SJKT yang ada kurang daripada 10 murid. Pada Januari 2021, Rajendran mengakui 281 guru SJKT terpaksa dihentikan kerja kerana jumlah murid semakin berkurangan. Untuk rekod, jumlah guru di
SJKT berkurangan daripada 9,154 orang pada 2018 kepada 8,873 pada 2019.
Pada September 2022, Timbalan Menteri Pendidikan waktu itu, Datuk Dr. Mah Hang Soon mengeluarkan kenyataan bahawa 367 buah atau hampir 70 peratus daripada 527 SJKT di negara ini mempunyai kurang daripada 150 murid dan tergolong dalam kategori SKM. Akhbar Malaysia Nanban menyifatkan keadaan ini sebagai amat kritikal, lalu menggesa para pejuang SJKT mengenal pasti faktor sebenar yang menyebabkan kemerosotan jumlah murid dari setahun ke setahun.
Akhbar Makkal Osai turut melahirkan kebimbangan kerana jika SJKT dalam kategori SKM ditutup atau digabungkan, maka ramai guru besar dan guru hilang kerja. Pelbagai isu yang saya ketengahkan pada 2016 tetapi dinafikan wujud, nampaknya masih belum mampu diselesaikan. Misalnya, sejak dahulu, akhbar Tamil melaporkan situasi guru besar dan guru SJKT sendiri kurang berminat menghantar anak-anak mereka ke sekolah berkenaan.
Pada Januari 2016, dilaporkan 10 SJKT tidak menerima walau satu pendaftaran murid baharu. Kes-kes seperti ini memberi gambaran seolah-olah Kempen SJKT Pilihan Kita masih gagal menarik minat masyarakat.
Bagaimanapun, perlu diakui bahawa tidak semua SJKT berdepan masalah. Misalnya, SJKT Azad di George Town, Pulau Pinang yang ada 82 murid sudah melaksanakan inisiatif kantin tanpa tunai sejak 11 Januari lalu.
SJKT Ladang Midlands di Shah Alam, Selangor pula mampu menyediakan kemudahan asrama bagi 200 murid apabila sesi persekolahan baharu bermula pada Mac ini. Sekolah itu juga memiliki pusat konvensyen sendiri yang dirasmikan pada 15 April 2012.
Namun begitu, perlu diakui hakikat kebanyakan SJKT tetap menghadapi pelbagai masalah. Misalnya, dalam laporan Vanakkam Malaysia, seorang guru SJKT menyebut, kekurangan bahan bantuan mengajar, makmal komputer dan papan pintar sebagai antara faktor ibu bapa kurang berminat menghantar anak-anak ke SJKT.
Para pejuang SJKT boleh sama ada terus menafikan kewujudan pelbagai kepincangan dan isu yang saya ketengahkan sejak 2016 atau menerima kritikan dengan tangan terbuka lalu berikhtiar untuk mengatasinya.
Langkah ini perlu jika mereka benar-benar ikhlas dan serius dalam usaha menjayakan kempen menarik minat masyarakat menghantar anak-anak ke sekolah berkenaan pada masa hadapan. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











