MINGGU lalu, saya berpeluang membentangkan kajian dalam Conference on Future & Sustainable Education 2022 di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gambang, Pahang. Persidangan dua hari ini disertai lebih 60 peserta, rata-ratanya pensyarah dan profesor dari pelbagai universiti tempatan. Malah ia turut disertai beberapa ahli akademik luar negara termasuk Indonesia.
Pelbagai kajian dibentangkan, rata-ratanya bertemakan pendidikan. Terdapat pelbagai inovasi juga dikemukakan pensyarah-pensyarah untuk mencari teknik pengajaran optimum bagi seluruh pelajar.
Salah satu kajian yang menarik perhatian saya ialah mengenai kesilapan lazim dalam penulisan pantun Melayu. Kajian ini dan satu lagi kajian merupakan dua kajian yang memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, satu usaha amat saya hormati.
Pada hari penutup persidangan, saya hampir tidak percaya apabila diumumkan sebagai pembentang terbaik. Satu kemenangan tidak diimpikan memandangkan saya sedar terpaksa bersaing dengan mereka yang begitu tinggi ilmunya. Ini adalah satu kejayaan yang amat besar dan amat manis bagi saya. Lebih manis lagi, saya turut memenangi pingat emas. Saya bertuah kerana berada di sini dan mendapat peluang besar sebegini.
Usai persidangan, saya pulang ke Kuala Lumpur bersama-sama tetamu-tetamu khas dari Universitas Lambung Mangkurat, Indonesia. Saya diminta pihak universiti untuk mengiringi Dr. Rahmatullah dan Dr. Ananda melawat beberapa lokasi di kampus utama UIAM di Gombak serta bandar raya Kuala Lumpur.
Sepanjang perjalanan, kami berbincang tentang beberapa perkara termasuklah budaya dan sejarah. Teringat semula pada dua kajian yang dibentang pagi tersebut, kami turut melencong ke topik bahasa.
Pada awalnya kami bercakap tentang perbezaan bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia terutama dalam perbendaharaan kata. Sambil dalam perjalanan dari Gambang, kami membincangkan tentang perkataan-perkataan yang tertera pada papan tanda dan kenderaan sepanjang perjalanan. Banyak juga daripadanya sama ada tidak ada atau jarang digunakan dalam bahasa Indonesia.
Panjang kami berbincang tentang penggunaan bahasa di Malaysia, melarat pula sampai membuat perbandingan antara penggunaan bahasa Inggeris di sini dan di Indonesia. Kami juga berbincang tentang penggunaan bahasa ibunda. Selama ini saya sentiasa difahami bahawa tidak seperti bahasa Melayu, peraturan tatabahasa bahasa Indonesia adalah amat longgar. Ramai juga mengatakan ia antara bahasa termudah dipelajari oleh orang asing. Namun, rupanya tanggapan tersebut sama sekali tidaklah tepat.
Menurut Rahmatullah, seperti bahasa Melayu juga, bahasa Indonesia turut mempunyai peraturan tatabahasa yang ketat. Namun, masalahnya ialah peraturan itu sering diabaikan dalam penggunaan umum sehinggakan ramai tidak lagi mengambil endah atau langsung tidak tahu tentang penggunaan bahasa yang betul. Malah, ejaan juga selalu direka dengan sesuka hati.
BAHASA ROJAK
Hasilnya, ramai tidak tahu lagi perbezaan bahasa tidak formal dan bahasa rasmi kerana mereka yang tahu juga memilih untuk mengabaikan sahaja segala bentuk tatabahasa yang ada. Hal ini akhirnya menjadi kebiasaan sehinggakan orang asing juga melihat bahasa Indonesia sebagai satu bahasa yang tiada peraturan ketat.
Sebenarnya perkara ini tidak jauh berbeza dengan keadaan di Malaysia pada hari ini. Benar, situasinya lebih buruk di sana kerana keluasan dan kepelbagaian bahasa dan budaya setempat yang membawa kepada variasi sebutan dan sebagainya. Namun, masalah asasnya tetap sama.
Di Malaysia, pencampuran bahasa atau penggunaan bahasa rojak banyak merosakkan bahasa kita. Begitu juga penggunaan bahasa pasar serta bahasa permesejan (seperti singkatan melampau) yang begitu meluas sehingga mengakibatkan ramai dalam kalangan pelajar gagal menguasai perbendaharaan kata Melayu dengan baik.
Lazim sekali karangan bahasa Melayu di sekolah ditulis dengan mencampuri perkataan bahasa Inggeris. Malah, stesen televisyen milik kerajaan juga ada menggunakan istilah ‘Morocco’ ketika merujuk kepada negara Maghribi semasa liputan Piala Dunia FIFA, baru-baru ini. Banyak akhbar dan media tempatan juga membuat kesilapan tatabahasa seperti menukar ‘ialah’ dan ‘adalah’ atau ‘baru’ dan ‘baharu.’
Mengimbau semula, inilah punca masalah mengapa bahasa kita tidak dapat diperkasakan – kita tidak peduli untuk menguasainya sendiri. Sikap tidak peduli akan tatabahasa dan perbendaharaan kata ini jugalah yang membawa kepada masalah dibicarakan dalam kajian dibentang pagi itu. Seperti dijelaskan pembentangnya, sebab mengapa ramai orang membuat kesilapan dalam menulis pantun adalah mereka mengambil ringan akan adat dan tatacara penulisan pantun. Akhirnya, hilanglah budaya itu kerana dicampuradukkan dengan bentuk puisi asing akibat kejahilan.
Kata Ananda, masalah ini mungkin dilihat kecil dari sudut pandangan luar, namun inilah sebab ramai pelajar gagal mendapat markah baik dalam peperiksaan bahasa Indonesia – mereka tidak dapat membezakan laras rasmi dan laras tidak rasmi. Saya pasti hal sama juga terpakai di tempat kita. Lebih teruk lagi apabila ada yang tahu akan tatabahasa, namun hanya menggunakan tatabahasa betul bagi tujuan sekolah dan terus memilih untuk mengabaikannya serta menggunakan bahasa yang salah setelah keluar dewan peperiksaan.
Pemerkasaan bahasa bukan sekadar memegahkan nama bahasa di mata dunia semata-mata. Kita perlu bermula dengan pemerkasaan bahasa di dalam diri kita dan seterusnya orang-orang di sekeliling yang menggunakan bahasa ini. Hanya selepas itu kita dapat berharap orang luar akan menerima bahasa kita di peringkat antarabangsa.
Bahasa melambangkan jiwa bangsa, maka janganlah gambarkan jiwa bangsa kita tiada peraturan lagi cacamarba. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











