Isytihar semula darurat iklim

Isytihar semula darurat iklim

TRAGEDI tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor dilaporkan tidak berlesen dan telah beroperasi secara haram sejak 2020. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAHAN penutupan tempat-tempat perkelahan dan perkhemahan di seluruh negara susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor, ibarat sudah kalah baru hendak berkubu.

Apa lebih mengejutkan apabila tapak perkhemahan terbabit dikenal pasti tidak berlesen dan beroperasi secara haram sejak 2020. Apakah selama dua tahun ini langsung tidak ada mana-mana pihak berkuasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan pemilik premis mematuhi peraturan dan mengikut garis panduan ditetapkan?

Ia juga dilaporkan kejadian tanah runtuh besar ke-23 dalam tahun ini dan terburuk setakat ini. Bencana alam bukan hanya semakin kerap berlaku tetapi berulang di negara ini umpama sudah menjadi suatu kebiasaan kerana sikap tidak bertanggungjawab, kegagalan mengurus dan tiada kesedaran alam sekitar. Hal ini sangat sinonim dengan ungkapan, mereka yang melupakan sejarah akan cenderung mengulanginya.

Contoh lain yang juga jelas menunjukkan kekhilafan pihak berkuasa adalah insiden pencemaran Sungai Kim-Kim akibat pembuangan sisa kimia sejak beberapa tahun sebelum berlakunya gelombang keracunan air lebih teruk pada 2019. Sama juga bencana banjir yang menenggelami Taman Sri Muda pada hujung tahun lalu.

Semua ini menunjukkan tidak lain tidak bukan, kelemahan sistem penguatkuasaan dan pemantauan badan-badan alam sekitar dan kesedaran rakyat khususnya pihak berkuasa. Sudah menjadi trend, hanya selepas sesuatu berlaku masing-masing mengeluarkan kenyataan dan menuding jari menyalahkan pihak lain.

Jika dibiarkan berterusan, kita tidak akan boleh menyelesaikan apa-apa malah menyebabkan kerugian lebih besar lebih-lebih lagi sikap hangat-hangat tahi ayam. Umpama tradisi rakyat Malaysia, hanya buat ‘bising’ apabila sesuatu berlaku dan beransur menjadi suram selepas seketika.

Bencana alam bukan hanya menjejaskan kualiti kehidupan mereka yang tidak langsung menyumbang kepada berlakunya kejadian-kejadian buruk ini termasuk golongan miskin, kanak-kanak, belia, orang kurang upaya (OKU) dan Orang Asli malah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Proses pemulihan ekonomi selepas berlaku sesuatu bencana sangat membebankan termasuk pembinaan dan penggantian aset-aset yang musnah dan mendirikan semula sektor ekonomi.

Tidak dinafikan bencana alam juga berlaku kerana faktor semula jadi seperti banjir yang sedang melanda beberapa negeri disebabkan oleh luruan monsun, fenomena La Nina dan perubahan iklim. Namun, pelbagai kajian menunjukkan aktiviti manusia seperti pembangunan tidak terancang dan tidak mampan, pencerobohan tanah dan pencemaran menyebabkan perubahan iklim dan mengundang kepada berlaku bencana alam.

Laporan Penilaian Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) juga menjangkakan impak perubahan iklim yang lebih agresif dalam 20 tahun akan datang seperti bencana alam lebih kerap dan ekstrem, kekurangan sumber air akibat peningkatan suhu mendadak, kemusnahan berganda akibat banjir dan peningkatan kadar kepupusan spesies haiwan dan tumbuhan memberi kesan langsung kepada sosioekonomi masyarakat sekiranya tindakan efisien tidak diambil dengan kadar segera.

UNICEF

Tindakan untuk memitigasi perubahan iklim tidak boleh dilengah-lengahkan lagi untuk memastikan kelangsungan kesejahteraan rakyat, ekosistem semula jadi, bekalan makanan dan sumber air. Selain itu, usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat juga harus dipergiatkan untuk mengetahui kesan dan akibat berlaku perubahan iklim serta tindakan boleh diambil oleh mereka sebagai individu.

Proses ini sebaiknya bermula melalui pendidikan formal agar kesedaran dapat dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi. Misalnya dengan meneliti semula dan mengemaskini kandungan kurikulum kebangsaan supaya dapat menambah lebih banyak elemen perlindungan alam sekitar berfokuskan kepada naratif tempatan, tadbir urus perubahan iklim.

Seterusnya, saya amat berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula pengisytiharan darurat iklim sebagai tanda komitmen yang tinggi dalam usaha menangani isu perubahan iklim. Langkah ini akan membantu untuk merancang dan memberi keutamaan khususnya dalam melaksanakan pelan tindakan iklim dengan lebih berstruktur, menyeluruh dan efisien terutama bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG), membendung pemanasan global antropogenik dan menghijaukan sektor ekonomi.

Kajian oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia pada 2020 melaporkan terdapat risiko amat serius terhadap golongan muda khususnya dari segi kesejahteraan hidup, pendidikan dan penjanaan pendapatan. Laporan tersebut turut mengesyorkan anak-anak muda diberi ruang untuk menyumbang kepada proses membuat keputusan dan pembuatan dasar dalam isu-isu berkaitan perubahan iklim dan alam sekitar.

Oleh itu, saya menyarankan kerajaan membentuk sebuah Jawatankuasa Persidangan Belia Perubahan Iklim yang boleh berfungsi sebagai badan pemikir dan platform rasmi bagi menyatukan aktivis dan organisasi belia yang diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan untuk menyumbang kepada tadbir urus perubahan iklim dan alam sekitar.

Musim tengkujuh ini akan membawa hujan lebat, angin kencang, ombak yang bergelora dan kenaikan paras air. Maka elak sebarang aktiviti rekreasi atau berada di kawasan empangan, gunung, sungai dan pantai. Rancanglah perjalanan terlebih dahulu dengan merujuk ramalan cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Saya menyeru kerajaan perpaduan yang baru dibentuk pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dapat mengetepikan segala perbezaan fahaman politik dan ideologi dan terus bersatu dalam menangani isu perubahan iklim yang semakin kritikal ini. Keputusan yang diambil hari ini hanya mempunyai dua hasil, sama ada peluang bagi mencari jalan untuk terus hidup atau menghitung hari-hari terakhir kewujudan bumi dan khalifahnya. Bersama kita mampu melakukan perubahan. – UTUSAN

PENULIS ialah aktivis alam sekitar; Pengasas Bersama Projek Ocean Hope; dan pelajar ijazah kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×