KEPIMPINAN Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup popular dan menjadi daya tarikan masyarakat India di negara ini.
Anwar dilihat sebagai talian hayat dan harapan terakhir mereka setelah komuniti itu dipergunakan dan dipermainkan untuk modal politik semata-mata pada setiap pilihan raya umum (PRU) oleh parti-parti politik tertentu.
Justeru, PKR di bawah kepimpinannya semakin diyakini dan menjadi pilihan komuniti India termasuk generasi muda. Hampir 42 peratus keahlian parti tu didominasi kaum India. Malah hampir 33 ketua cabang juga terdiri daripada kaum sama.
Persoalannya, kenapa masyarakat India teruja sangat dengan Anwar?
Memang luar biasa dan hebat. Itulah realiti yang sebenarnya. Nambikei (harapan) mereka cukup tinggi terhadap seorang pemimpin bernama Anwar. Jarang sekali seseorang pemimpin politik bukan India mendapat sokongan begitu kuat dengan penuh ikhlas daripada kaum India di negara ini.
AURA
Aura Anwar menjadi daya tarikan mereka. Perjalanan dan perjuangan politiknya yang cukup perit, menderita dan menyeksakan sentiasa menjadi perhatian dan agak sukar dilupakan. Begitulah reaksi seorang kawan saya yang sudah lama menunggu Anwar naik menjadi Perdana Menteri.
Begitu jugalah rata-rata pandangan yang saya dengar, lihat dan memahaminya melalui suara hati kaum India di media sosial mahupun di peringkat akar umbi di beberapa kawasan di bandar dan luar bandar ketika kempen PRU15, baru-baru ini.
Masyarakat India melihat Anwar sebagai hero ataupun thalaivar (ketua). Mereka cukup fanatik denganya.
Apabila kita bercakap dan mengkaji peranan, penglibatan dan pengorbanan masyarakat India dalam landskap politik negara walaupun komuniti ini dilihat sebagai kaum minoriti, merekalah menjadi penyelamat untuk Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun dahulu sebelum kuasa makkal sakti melalui gerakan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) menggoncang politik negara pada 2007. Undi kaum India menjadi simpanan tetap untuk meraih kemenangan majoriti dua pertiga untuk BN.
Saya tidak berminat bercerita panjang mengenai segala episod yang berlaku selepas itu. Tapi itulah sejarah yang telah menggemparkan arena politik negara.
Mengupas mengenai PRU15, Anwar diangkat sebagai poster boy calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan (PH) buat julung kalinya selepas gabungan itu berdepan pelbagai cabaran politik yang kritikal selepas ‘Langkah Sheraton.’
Tidak dinafikan rata-rata masyarakat India hampa dan menyampah apa yang berlaku dalam PH selepas berjaya membentuk kerajaan pada PRU14. Selama 22 bulan PH memerintah negara, banyak juga isu hal ehwal komuniti India dilupakan dan tiada tindakan penyelesaian. Manifesto yang dirangka khusus untuk komuniti itu pun hanya tinggal kenangan.
Mereka (kaum India) hampir-hampir hilang kepercayaan terhadap gabungan itu, namun tetap bersatu hati menyokong PH demi faktor Anwar.
Justeru, hampir 80 peratus undi masyarakat India pada PRU15 memihak kepada PH. Mereka yakin dan percaya Anwar sahajalah yang mampu dan berupaya membawa perubahan untuk negara seterusnya menjamin harapan mereka khususnya dalam sektor ekonomi, sosial , pendidikan dan sebagainya.
KUASA POLITIK
Mereka juga mengharapkan kuasa politik kaum India ditambah nilai melalui penambahan wakil kaum itu dalam Kabinet atas dasar perkongsian kuasa secara adil dan saksama. Mereka mahu sesuatu kelainan kali ini. Mereka bukanya menuntut atau mendesak tetapi pengorbanan kaum itu perlu dihargai. Inilah masanya. Inilah detik yang sesuai untuk Anwar membalasnya.
Jangan sesekali melihat kaum India sebagai kumpulan minoriti. Mereka menjadi penggerak dan penggempur PH dan PKR untuk berkuasa hari ini.
Ketika Anwar mengumumkan barisan Kabinetnya minggu lepas, besar jugalah harapan agar wakil dari komuniti itu khususnya PKR diberikan peluang adil dalam struktur pentadbiran negara.
Ramai juga yang kecewa dan hampa setelah mendengar pengumuman Kabinet minggu lepas di mana hanya seorang wakil kaum itu dilantik, iaitu V. Sivakumar dari DAP sebagai Menteri Sumber Manusia.
RAMANAN, PRAPAKARAN
Kenapa Anwar tidak mengiktiraf dan melantik mana- mana ahli Parlimen berbangsa India dari PKR sebagai menteri penuh sedangkan parti itu memiliki empat pemimpin muda yang menang bergaya, Datuk R. Ramanan di Sungai Buloh, P. Prabakaran (Batu), S. Kesavan (Sungai Siput) dan R. Yuneswaran (Segamat)?
Ramanan menyingkirkan Khairy Jamaluddin yang cukup ghairah dengan impiannya mahu menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 10 tahun. Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan parti dilihat sebagai calon underdog bertukar menjadi giantkiller pada PRU15 untuk PKR dan PH. Ramai yang membuat pembacaan politik separuh masak kononnya Ramanan bukan tandingan Khairy Jamaluddin dan akan kalah teruk.
Namun, Ramanan berjaya menepis segala cabaran untuk meraih kemenangan.
Ramai juga merasakan Ramanan perlu berada dalam Kabinet atas beberapa faktor termasuk untuk memperkukuhkan lagi engagement politic bersama kaum India.
Begitu juga Kesavan di Sungai Siput berjaya menyingkirkan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran manakala Prapakaran menjadi ahli Parlimen paling muda mempertahankan kerusi Batu walaupun ramai menyangka Tian Chua yang bertanding sebagai calon Bebas boleh ‘kacau daun’ di sana.
Masyarakat India faham pelantikan ahli Kabinet adalah kuasa mutlak Perdana Menteri. Mereka sedia memberikan masa secukupnya untuk Anwar memimpin negara tetapi pada masa sama sebagai Presiden PKR, beliau perlu membaca suara ahli masyarakat India dari partinya sendiri. Kalau tidak sekarang, bila lagi? – UTUSAN
DATUK Anbumani Balan ialah penganalisis politik










