PADA 26 Ogos tahun lalu, Datuk Seri Fadillah Yusof, 60, memuat naik gambarnya memakai baju batik dalam Facebook sambil mengucapkan Selamat Hari Wanita Kebangsaan 2021 yang disambut sehari sebelum itu.
Apa yang menarik adalah komen seorang rakan Facebook beliau yang menulis: “Steady Dato Seri. Gap kitak aritok. Bakal TPM dari Sarawak tok. Amin Allahumma amin.” Komen setahun yang lalu itu seolah-olah doa apabila beliau akhirnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam Kabinet kerajaan perpaduan.
Fadillah dipilih mewakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 23 kerusi Parlimen iaitu terbesar dalam kalangan blok Borneo dan ketiga tertinggi dalam kalangan gabungan kerajaan perpaduan selepas Pakatan Harapan (PH) sebanyak 76 kerusi dan Barisan Nasional (BN), 30 kerusi.
Fadillah yang lebih muda 15 tahun daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim berpengalaman luas dalam Kabinet Persekutuan setelah mula diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.
Beliau kekal dengan jawatan sama apabila teraju negara diambil alih Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009. Selepas itu, beliau dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kerja Raya pada 2013 dalam Kabinet Najib sehinggalah Barisan Nasional (BN) kalah PRU14 pada 2018.
Kedudukannya sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020 dan kemudiannya Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (2021) mengukuhkan lagi andaian beliau sudah cukup layak untuk memegang salah satu jawatan nombor dua dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Ini disebabkan Fadillah memiliki pengalaman cukup bernilai kerana pernah berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri.
Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya selama lima penggal ini ialah TPM pertama dari Sarawak setelah 59 tahun penubuhan Malaysia melibatkan gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Fadillah yang dilahirkan di Kampung Hilir, Sibu pada 17 April 1962, baru berusia lebih setahun ketika Malaysia dibentuk pada 16 September 1963.
Bapa beliau, Yusof Merais yang meninggal dunia ketika usia 91 tahun pada 2018 pernah dipenjarakan sebanyak dua kali termasuk kali pertama kerana dikaitkan terbabit dalam konspirasi pembunuhan Gabenor Inggeris, Sir Duncan George Stewart di Sibu pada 1949.
Yusof berjuang bersama-sama pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah Inggeris, Rosli Dhobi. Ibu Fadillah, Dayang Rosnah Abang Madeli, 90, meninggal dunia tahun lalu. Fadillah ialah anak kesembilan daripada 14 adik-beradik. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Mary, Sibu. Beliau kemudian menuntut di Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang di Parit Buntar, Perak yang antara bekas pelajarnya ialah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. Beliau yang berkahwin dengan Datin Seri Ruziah Mohd. Tahir dikurniakan lima anak.
LEBUH RAYA
Fadillah memulakan kerjaya sebagai seorang peguam selepas lulus pengajian Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya (UM) pada 1986. Rakan seangkatan beliau dari fakulti sama ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden MCA yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.
Timbalan Perdana Menteri lain sebelum ini yang juga lulusan UM ialah Ismail Sabri yang juga senior mereka di fakulti sama yang menjadi graduan dua tahun lebih awal.
Dari fakulti lain yang pernah menjadi TPM ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam, Anwar, Abdullah, Muhyiddin dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum terlibat dalam politik, Fadillah aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan organisasi kebajikan. Fadillah memulakan karier politiknya dengan menyertai PBB dan dilantik sebagai Ketua Biro Maklumat di Bahagian Tupong dan akhirnya Ketua Pemuda PBB pada 2007 menggantikan Datuk Douglas Uggah Embas.
Dengan pelantikan Fadillah, ia akan membolehkannya memastikan projek Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,089 kilometer merentasi Sarawak dan Sabah yang beliau terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembinaan sejak 2015 dapat disiapkan dengan segera. Projek tersebut yang sepatutnya siap pada tahun ini tergendala setelah PH menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila Kerajaan Persekutuan menghentikan peruntukan untuk projek tersebut dengan alasan berjimat cermat.
Sebenarnya beliau seorang yang pragmatik kerana bersedia mengubah pendirian dipegang ketika kempen PRU15 apabila menyatakan jajaran politik baharu melibatkan gabungan PH dan BN akan menimbulkan pergolakan dan ketidakstabilan dalam arena politik negara.
Menurut Fadillah, setelah beliau bersama-sama beberapa pemimpin kanan GPS menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini, pihaknya akur dengan titah Seri Paduka supaya diwujudkan kerajaan perpaduan.
Beliau mula bergelar wakil rakyat setelah menjadi calon BN/PBB dan menang kerusi Parlimen Petra Jaya dengan majoriti 12,816 undi ketika PRU11 pada 2004. Kerusi itu sebelumnya disandang oleh bekas Menteri Pendidikan dari parti sama, Allahyarham Tan Sri Sulaiman Daud.
Beliau terbukti disayangi penduduk setempat apabila dapat mengekalkan kerusi sama selama lima penggal berturut-turut termasuk PRU12 (2008), PRU13 (2013). Ketika BN gagal membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU14 (2018), beliau tetap menang dengan majoriti berkurangan tetapi masih agak besar iaitu 15,017 undi.
Pada PRU15, Ketua Whip GPS di Dewan Rakyat ini kekal mempertahankan kerusi Petra Jaya dengan majoriti cukup besar iaitu 41,363 undi. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










