Rakyat kita saintis terbaik dunia

Rakyat kita saintis terbaik dunia

SEBANYAK enam kes kematian direkodkan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU Covid-19 mungkin sudah mula kurang diperkatakan oleh masyarakat di seluruh dunia. Namun, kepincangan, salah faham dan fitnah seputar isu tersebut tetap perlu diperjelaskan dan dibersihkan kerana ia akan terpahat dalam sejarah dunia buat selama-lamanya.

Dalam temu bual dengan Penasihat Kajian di Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus Dr. Sai Kit Lam, saya bertanyakan beberapa isu berkenaan Covid-19 yang dijadikan senjata oleh Barat untuk menyerang China membuta-tuli.

“Apabila wabak ini muncul buat kali pertama di Wuhan pada Disember 2019, China terus dikecam habis-habisan oleh Barat kerana kononnya telah melambatkan penyaluran maklumat dan perkongsian data virus.

“Melihatkan pengalaman China menghadapi pelbagai jenis wabak, saya secara peribadi tidak fikir penangguhan itu disengajakan, sebaliknya ia mengambil masa untuk menyiasat dan mengesahkan bahawa wabak itu memang disebabkan oleh sejenis agen baharu dan menggunakan ujian diagnostik yang memakan masa termasuk reaksi rantai polimerase (PCR),” katanya.

Kit Lam berpengalaman di barisan hadapan dalam penyelidikan virus berjangkit selama lebih 40 tahun. Beliau pernah mengetuai pasukan perubatan menemukan virus Nipah yang telah mengakibatkan pembendungan wabak ensefalitis yang teruk di negara ini pada 1998.

“Saya masih ingat ketika negara berhadapan virus Nipah pada 1998 dan ia dilabelkan sebagai Japanese Encephalitis (JE), menyebabkan kekeliruan dan panik dalam negara.

“Usaha untuk mengawal vektor nyamuk JE dimulakan dan vaksinasi diberikan kepada penternak babi tetapi wabak itu berterusan dan sememangnya merebak ke luar tapak utama di Ipoh, tempat kali pertama bermula,” katanya.

Ujar beliau lagi, pasukannya di Fakulti Perubatan UM mengambil masa lebih seminggu untuk mengenal pasti punca disebabkan oleh virus baharu yang tidak pernah diketahui sebelum ini dipanggil sebagai Nipah.

MAGNITUD

“Pengajaran yang dipelajari ialah jangan tergesa-gesa membuat laporan, terutama jika virus itu masih baharu,” tegasnya.

Terdapat banyak pendekatan yang boleh digunakan untuk mengawal penyebaran wabak virus, sama ada SARS, selesema burung atau SARS-CoV-2, bergantung pada epidemiologi dan laluan utama penyebarannya. Dengan virus pernafasan seperti SARS, selesema burung dan Covid-19, kaedah yang digunakan seperti disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah mengasingkan kes bagi mencegah penyebaran melalui titisan, topeng, kes kuarantin dan sentuhan, dan mengurangkan atau menghentikan perjalanan. Bergantung kepada keadaan (magnitud) wabak dan negara serta sumber yang ada serta kaedah digunakan.

Menurut Kit Lam yang sejak 1990 terlibat secara aktif dalam program WHO mengenai penyakit berjangkit (EID), pendekatan China sejak awal lagi telah dilabelkan sebagai drakonian kerana mengenakan langkah ujian dan kuarantin yang sangat ketat, tetapi kemudian berjaya kerana bilangan kes dan kematian pada fasa awal menurun dan kekal rendah sehingga hari ini. Bagaimanapun, kosnya sangat besar dan orang ramai menderita akibat sekatan itu. Beberapa negara boleh melakukan apa yang China lakukan tanpa rakyat memberontak.

“Dasar sifar Covid-19 China mendapat perhatian teliti dan kritikan yang hebat juga. Harus diakui bahawa dasar ini sangat ketat,

“Sangat sedikit negara di dunia yang boleh melaksanakan dan mengamalkan dasar ini, dan tidak mampu menanggung beban ekonomi yang besar,” tambahnya.

TAHUN BAHARU CINA

Dalam beberapa hari pertama wabak itu, China mengambil sedikit masa untuk mengesahkan bahawa punca itu disebabkan oleh Koronavirus baharu yang serupa dengan SARS. Memandangkan ini berlaku sejurus sebelum Tahun Baharu Cina, ramai yang pulang ke rumah untuk meraikan perayaan tersebut. Ini menyebabkan penyebaran virus di luar Wuhan. Sebaik sahaja disedari wabak itu menyerupai SARS dengan potensi merebak secara meluas, sekatan perjalanan dikuatkuasakan dan mereka yang menunjukkan gejala mencurigakan telah dikuarantin dengan pengesanan kontak dilaksanakan.

Kit Lam ternyata seorang yang layak bercakap tentang isu ini kerana karya-karya beliau telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dianugerahkan Kesatria Kebesaran Kebangsaan Perancis pada 2005; Anugerah Putera Mahidol untuk Kesihatan Awam daripada Raja Thailand (2001), Hadiah Jepun Nikkei Asia untuk Inovasi Teknologi (2002) dan salah satu anugerah paling berprestij di Malaysia, iaitu Anugerah Merdeka yang dimenanginya sebanyak dua kali, sekali dengan pasukan Nipah (2008) dan secara individu untuk Pencapaian Skolastik Cemerlang (2013).

Terdapat begitu banyak tudingan jari ke arah China terutama tuduhan pada hari-hari awal wabak itu dan menangguhkan maklumat tentang asal usul virus berkenaan. Tuding jari tidak membantu dalam memerangi penyakit berjangkit baru muncul yang boleh membawa kepada wabak seperti dalam kes Covid-19. Maklumat salah adalah penganiayaan sains dan ini mempunyai kecenderungan menghalang orang ramai daripada mengakses bukti saintifik yang boleh menyelamatkan nyawa mereka.

Contohnya, penggunaan antivirus tertentu yang belum terbukti serta bahaya ditimbulkan dalam penggunaan vaksin. Berapa banyak nyawa telah terkorban kerana golongan antivaksin tidak menggalakkan penggunaan vaksin Covid-19.

“Ini dapat dilihat dengan jelas di negara-negara seperti Amerika Syarikat di mana kebanyakan kemasukan ke hospital dan kematian adalah dalam kalangan mereka yang belum diberi vaksin, kebanyakannya disebabkan oleh kejahilan, antisains dan antivaksin,” ujarnya.

Pada 1982, Kit Lam dan beberapa rakannya mengasaskan Persatuan Perubatan Virologi Asia Pasifik yang kini mempunyai lebih 600 ahli dari lebih 40 negara. Penyelidikan beliau telah membawa kepada penerbitan lebih 240 kertas kerja dalam beberapa jurnal terkemuka dan baru-baru ini dinamakan sebagai salah seorang daripada dua peratus saintis terbaik dunia untuk penerbitan dalam virologi oleh Universiti Stanford. – UTUSAN

PENULIS ialah penyelidik isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×