KUALA LUMPUR: Pelakon, Zarif Ghazzi, 22, berkata filem Kudrat 1968 : High Council menceritakan tentang senioriti dan hierarki dalam senario politik yang lebih besar berbanding isu buli.
Zarif berkata, penonton akan menemui jawapan mengapa karakter dalam empat episod yang ditayangkan menerusi platform penstriman bertindak penuh kekasaran menerusi filem yang bakal ditayangkan 29 Oktober ini.
“Perjalanan Kudrat 1968 ini panjang. Episod kelima ini menutup cerita dan menjawab segala persoalan daripada episod pertama hingga keempat. Segala soalan kenapa dia bertindak sebegitu dan kenapa dia kejam, semuanya akan terjawab dalam filem ini.
“Jadi, saya akan cakap perkara ini berkali-kali, sudah tentu ada yang cakap kenapa masih ada lagi cerita yang macam ini. Apa yang boleh saya katakan, Kudrat 1968 lebih dari kisah buli.
“Ia mengenai hierarki, senioriti dan politik. Ia lebih dari itu,” katanya.
Zarif ditemui semasa tayangan perdana filem Kudrat 1968: High Council yang diadakan di TGV KLCC, di sini, semalam.
Tambah Zarif, visual yang ganas dalam naskhah ini secara langsung menunjukkan kepada masyarakat impak perbuatan buli. Bagaimanapun sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menerangkan kesan tersebut kepada anak mereka.
“Mesej mengenai buli ini boleh disampaikan dengan pelbagai cara. Jadi, untuk saya sebagai pelakon, adalah tanggungjawab untuk menyampaikan mesej mengenai buli dari segi visual supaya semua rakyat Malaysia bukan sahaja mengetahui, tetapi turut merasai betapa teruknya kesan buli itu sendiri,” katanya.
“Kadang-kadang saya tengok ada juga kes buli membabitkan kanak-kanak bawah umur. Sebab itulah setiap karya yang dihasilkan di Malaysia mempunyai klasifikasi umur seperti 16 tahun ke atas atau 18 tahun ke atas dan ada juga yang 21 tahun ke atas.
“Jadi saya percaya sikap dan perilaku kanak-kanak di luar itu mencerminkan cara mereka berkomunikasi dengan ibu bapa mereka sendiri.
“Sejujurnya, saya membesar dengan KL Gangster 1, KL Gangster 2 dan KL Gangster 3 tapi alhamdulillah, saya tidak mahu banding dengan anak-anak lain, tapi saya bersyukur cara ibu bapa membesarkan saya menjadikan saya manusia seperti sekarang,” katanya.
Kudrat 1968 menceritakan masalah sistem hierarki ketat antara golongan bangsawan dan bawahan yang mula disentuh oleh Abbas.
Selepas empat episod, Kudrat 1968: High Council ditutup menerusi filem yang bakal menemui penonton 29 Oktober.
Pelakon yang menjayakan naskhah ini ialah Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, dan Akmal Asyraf. – UTUSAN











