PRU15: Debaran bertukar kejutan

PRU15: Debaran bertukar kejutan

DALAM perjalanan ke pusat mengundi pun penulis masih berbelah bahagi untuk membuat keputusan, calon mana hendak dipilih. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUP, dap, dup, dap. Hati rasa berdebar-debar semasa menuju ke pusat mengundi di Parlimen Ampang, kelmarin. Entah kenapa debaran untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini agak luar biasa.

Meskipun sudah lebih lima kali saya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU, kali ini suasananya terasa cukup berbeza. Terus terang saya katakan, dalam perjalanan itu, hati masih berbelah bahagi untuk membuat keputusan, calon mana yang hendak dipilih.

Kalau ikutkan calon, penyandang kawasan ini memang kuat bekerja, rajin turun padang. Selama tiga penggal menjadi wakil rakyat, rekod prestasinya boleh dikatakan cemerlang. Tapi dalam tempoh tersebut, dua kali pula dia melompat parti dan akhir sekali bernaung di bawah parti yang baru ditubuhkan. Timbul rasa sangsi, sejauh mana parti baharu ini mampu pergi jauh?

Nak pilih parti yang saya percaya mampu membentuk sebuah kerajaan baharu yang berkredibiliti, calonnya pula saya tidak kenal sebab muka baharu, rasa ragu-ragu pula dengan keupayaannya.

Namun, apa yang lebih dirisaukan sebenarnya adalah apa yang akan berlaku selepas tamat PRU15 masa depan khususnya anak-anak saya dan generasi akan datang. Senangkah hidup mereka nanti? Terjaminkah kerjaya mereka? Memanglah kita harus reda dengan keputusan PRU15, perlu akur dengan pilihan pengundi, kena terima pilihan rakyat tapi PRU15 seperti diperkatakan adalah ibu kepada segala pilihan raya. Keputusan PRU15 memperlihatkan ke mana hala tuju negara selepas ini. Akan terbentukkah kestabilan politik dan ekonomi negara yang didambakan?

Bagaimanapun, selepas kesemua pusat mengundi ditutup pukul 6 petang, debaran tadi sedikit demi sedikit bertukar menjadi kejutan. Mana tidaknya, keputusan tidak rasmi kerusi-kerusi Parlimen yang saya ikuti menerusi media sosial cukup mencemaskan. Kiraan jumlah undi sentiasa bertukar-tukar, macam berlumba-lumba pula. Sekejap Barisan Nasional (BN) mendahului, sekejap Perikatan Nasional (PN) memintas, sekejap Pakatan Harapan (PH) di depan.

VETERAN UMNO

Lebih mengejutkan, nama-nama besar atau calon-calon heavyweight ramai yang tumbang. Kekalahan ini memang tidak dijangkakan kerana mereka dianggap boleh menang mudah.

Antaranya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Khairy Jamaluddin. Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dr. Mahathir yang merupakan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi untuk penggal kedua dan hilang wang deposit. Anaknya, Mukhriz turut gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun selepas tewas kepada calon PN, Dr. Abd. Ghani Ahmad.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh tewas selepas 11 penggal di kerusi Parlimen Gua Musang. Beliau tewas kepada calon Pas, Datuk Mohd. Azizi Abu Naim yang menang majoriti tipis 163 undi.

Di Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah gagal mempertahankan kerusi dimenanginya pada 2018 yang juga merupakan kerusi tradisi keluarganya. Sebelum ini bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (1982-1995, 2009,2013) dan ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (1999-2018, 2015).

Ahmad Faizal atau Peja yang merupakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tewas kepada Anwar sekali gus gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tambun yang dimenanginya pada PRU14.

Akhirnya berdasarkan keputusan rasmi, PH menang dengan 82 kerusi diikuti PN (73) dan BN (30). Mengejutkan juga kerana sebelum ini PRU15 dikatakan bakal menjadi pertembungan sengit antara PH dan BN, tapi nampaknya lebih kepada PH-PN. Ada yang menyifatkan keputusan PRU15 mencetuskan ‘gelombang Pas’ sebenarnya (Pas dalam gabungan PN).

Agak menarik juga apabila cakap-cakap dalam media sosial yang mengaitkan kejayaan PN berikutan jenteranya agresif menggunakan platform TikTok melibatkan pempengaruh. PH pula dilihat lebih aktif di Twitter.

Apa pun, PRU15 sudah berakhir dan terimalah apa juga keputusannya. Gabungan mana sekali pun yang berjaya membentuk kerajaan baharu, terimalah dengan hati terbuka meskipun parti yang kita pilih kalah. Suka atau tidak, inilah demokrasi namanya.

Kepada calon-calon yang menang, tahniah diucapkan. Tunaikanlah amanah dan jangan kecewakan harapan rakyat yang memilih anda. Hentikan berpolitik, bekerjalah untuk rakyat dan negara. Tutup buku lama, kita buka buku baharu. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.