KALI ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) paling banyak parti Melayu berlawan sesama sendiri.
Dari pelbagai sudut, yang cuma satu sudutnya – politik Melayu sudah tidak pentingkan perpaduan bersama. Sering disalah tanggap kononnya politik Melayu ini mewakili massa Melayu, padahal sebahagian besar 21 juta pengundi Malaysia bukanlah ahli parti-parti politik yang merata tumbuh ini.
Kata pujangga Confucius, “Tidak jadi salah untuk sesuatu terusan mempunyai sampan yang banyak asalkan kesemua sampan menuju haluan yang sama.”
Namun, ungkapan itu dalam politik tanah air hari ini realitinya lebih cenderung merujuk kompas parti berserta pelbagai organisasi yang bukan Melayu. Meski mereka berada dalam kabilah berlainan, tetapi dalam perkara-perkara asas menyentuh bahasa, kebudayaan, pendidikan dan perniagaan, mereka bersatu suara dan tindakan.
Mereka tampak berselisih dari segi pendekatan, tetapi mempunyai matlamat perjuangan sama. Kepentingan mereka tidak pernah terjejas walau kabilah politik mana yang menang atau kalah dalam pilihan raya. Kabilah politik bukan Melayu memiliki kebijaksanaan strategi. Mengambil posisi sayap kanan, sayap kiri tetapi sama-sama melambung bola ke petak penalti untuk menjaringkan gol kemenangan. Malangnya, dek permainan politikus Melayu tertentu mengakibatkan proses kejayaan orang Melayu terencat seketika.
Sungguh banyak sebenarnya pencapaian dan kejayaan diraih orang Melayu hari ini sejak negara merdeka, 64 tahun lalu. Merata, sama ada di dalam dan luar negara.
Kita orang Melayu harus diperingatkan bukan mudah untuk kita sampai ke tahap hari ini. Massa Melayu itu sendiri dalam zaman penjajah teramat direndahkan taraf atau darjat kemanusiaannya. Politik Melayu itu harus melibatkan perbuatan meneladani alam sekeliling – manusia dan alam. Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik.
Perjuangan melalui politik bukan perjuangan untuk diri sebenarnya, walaupun pada mulanya seseorang itu tidak menyedari hal itu. Elemen pengorbanan perlu ada dalam perjuangan. Apa-apa yang kita ambil dari sistem itu akhirnya akan berbalas dengan apa yang kita sumbangkan dalam bentuk khidmat. Jika pengorbanan itu melebihi ‘pengambilan’ dari sistem itu, satu hari kejayaan akan datang dengan sendirinya. Boleh dikatakan ini semacam karma politik sebenar.
Yang ketara, ajaran Islam supaya parti-parti Melayu tanah air ini berpadu dengan tali keagamaan Allah tidak berkesan. Tidak nampak langsung.
Bukan sahaja pemerhati politik, waima rakyat yang tidak menganggotai mana-mana parti politik pun tidak boleh menduga parti mana yang boleh meraih majoriti besar mengatasi pihak lain. Kalau ditanya kepada Undi18 (kategori pengundi 18-20 tahun berjumlah 1.2 juta orang) siapa yang akan diundi, mereka bertanya balik kepada kita yang lebih dewasa ini, “Nak undi siapa ya?”
Dan kemungkinan besar pada malam 19 November nanti, akan ada situasi terdesak di mana parti-parti akan bergabung tenaga untuk coalition government. Itu bacaan hari ini.
Ada kalangan orang Melayu bersuara, “kita perlu berada di tahap hebat sehingga ‘tak dapat dijual, tak dapat dibeli.’ Tapi hari ini, perjuangan kita tak difahami dalam konteks perjuangan kebangsaan…hanya enau dalam belukar.”
Adakah segala penyelesaian kemelut politik Melayu hari ini satu sahaja jawapannya – pilih hanya satu parti teras Melayu 19 November ini?
‘MACAM TIDAK ADA ORANG LAIN’
Kata-kata bijak pandai berbunyi, “Setiap manusia ada masanya.”
Diakui proses pertumbuhan semula (regeneration) berlaku agak perlahan dalam parti-parti politik tanah air hari ini yang masih dipenuhi golongan tua.
Malah, ada anak muda hari ini sukar mendaki hierarki dalam parti politik kerana ada ‘elit lama’ yang sangat sukar melepaskan jawatan mereka. Trend ini amat malang sekali dan sebenarnya bercanggah dengan perkembangan khususnya di Eropah. Di sana, penglibatan anak muda dalam arus perdana politik makin rancak.
Pada 2010, di United Kingdom umpamanya, tiga orang yang berusia awal 40-an berjaya dipilih sebagai perdana menteri, timbalan perdana menteri dan ketua pembangkang. Sweden mempunyai beberapa menteri yang dilantik pada usia 20-an sementara menteri luar Austria berusia hanya 30 tahun pada 2017 (beliau dilantik pada 2013 ketika berusia 27 tahun).
Di Perancis, Emmanuel Macron menjadi presiden termuda Perancis di usia 39 tahun, selain Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau (43 tahun).
Tak kisahlah sebuah parti politik ada yang suka presidennya kerana perawakan, hensem atau stylo. Biarkan sahaja dia bersuara. Dengar dan timbang-timbangkan pula apa yang hendak diperkatakan untuk kerajaan semak, periksa.
Kalau tidak dibuat begitu, kita takkan tahu apa respons dan suara anak muda di lapangan. Ini cukup penting untuk dijadikan eksperimen kepada parti-parti yang menang menerusi gabungan politik utama mencorakkan hala tuju negara yang cukup mencabar di peringkat domestik dan global hari ini.
Perkara paling kecil tetapi bukan remeh, kita khuatir kalau ada akan datang ini lagi mereka yang diambil menjadi anggota jawatankuasa selesaikan isu-isu rakyat, dimomokkan pula dianggotai ‘orang pencen’. ‘Kumpulan ini’ tiada apa-apa data di tangan, tipikal pemikiran penjawat awam mereka – ‘kita serah sahajalah kepada kerajaan untuk selesaikan’. Sebilangan anggota jawatankuasa tidak dapat menggarap teknologi yang ada.
Jadi, macam mana Malaysia hendak berubah jika idea-idea datang daripada ‘orang pencen’ sahaja. Kita mahukan orang yang cerdas, bukan yang ‘terketar-ketar’.
Mengamati wajah sebilangan calon yang menyerahkan borang pencalonan PRU15 mereka kelmarin, yang terdetik: “Ahhh, macam sudah tidak ada orang lain.” – UTUSAN










