Penantian 24 tahun Anwar

Penantian 24 tahun Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS sabar menunggu kira-kira 24 tahun, akhirnya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri (PM) keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2 September 1998, semalam mengangkat sumpah jawatan sebagai PM10.

Kesabaran Anwar, 75, memang cukup ‘hebat’ walaupun dilabel dengan pelbagai gelaran termasuk ‘PM tepi’ oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sabar adalah perkataan sering kita dengar kerana ia mudah diungkap tetapi susah untuk ditanamkan dalam diri.

Hantaran di Facebook isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kelmarin juga cukup menarik iaitu gambar pemandangan dengan ungkapan: “Menjelang maghrib…Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.”

Seperti yang pernah disebut Anwar kepada wartawan pada Februari 2020 iaitu beliau tetap bersabar untuk menunggu giliran diangkat sebagai PM kelapan. Beliau ketika itu hanya mampu tengok sahaja apabila Dr. Mahathir menjadi PM sekali lagi atau lebih tepat PM ketujuh.

Harapan hanya tinggal harapan sepertimana nama gabungan parti politik yang diterajuinya iaitu Pakatan Harapan (PH) apabila hanya dapat merealisasi cita-citanya itu setelah lima PM bersilih ganti selepas beliau dipecat dari kerajaan. Ada antara yang pernah menjadi PM berusia lebih muda seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 62, dan Datuk Seri Najib Tun Razak, 69.

Anwar yang dilahirkan di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkelulusan Sarjana Muda Pengajian Melayu (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM). Beliau mendapat pendidikan peringkat menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Anwar datang daripada keluarga ahli politik apabila bapa beliau, Allahyarham Datuk Ibrahim Abdul Rahman pernah menang atas tiket Perikatan/UMNO bagi kerusi Parlimen Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Tanah Melayu 1959. Ia adalah gabungan antara kerusi Parlimen Permatang Pauh dan Bukit Mertajam sekarang.

Sifat Anwar yang tidak melupakan rakan-rakan lama terutama ketika menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dari 1974 sehingga menyertai UMNO pada 1982 menyebabkan beliau sepanjang menjadi pembangkang mempunyai ramai penyokong tegar. Sebenarnya, rakan-rakan seperjuangannya dalam perbualan harian lebih gemar memanggilnya dengan panggilan saudara, brother atau sheikh.

Setelah mengejutkan banyak pihak dengan meninggalkan ABIM untuk menyertai UMNO pada 29 Mac 1982, beliau meningkat naik dengan cepat dalam kerajaan dengan menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1982), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984) serta Menteri Pendidikan (1986).

Peningkatan cepat dalam kerajaan juga berpunca daripada sokongan kuat pengundi apabila PRU6 pada 1982, beliau menang atas tiket UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan menewaskan calon Pas, Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi. Beliau mengekalkan kerusi itu selama empat penggal berturut-turut sehingga dipecat parti pada 1998 yang menyaksikannya menjadi ahli Parlimen Bebas.

Walaupun PH yang diketuai Anwar disokong ramai bukan Melayu, beliau ketika menjadi Menteri Pendidikan telah menamakan semula bahasa kebangsaan daripada bahasa Malaysia kepada bahasa Melayu selaras dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, langkah yang disokong kebanyakan tokoh bahasa.

PIDATO

Bukan Melayu mengkritik langkah itu kerana berpendapat akan menyebabkan generasi muda kaum lain terpisah daripada bahasa kebangsaan apabila merasakan ia adalah bahasa yang dimiliki oleh orang Melayu dan tidak milik rakyat Malaysia seluruhnya.

Keupayaan Anwar menarik sokongan pelbagai kaum adalah kerana gaya pidatonya sejak usia muda yang dikatakan antara pemidato terbaik bukan setakat di Malaysia tetapi mungkin di dunia. Gaya ucapannya cukup berkarisma dan memang hebat dengan pemilihan perkataan baharu yang memukau seperti istilah ‘mampan’ yang sering disebut beliau.

Anwar juga banyak kali dalam ceramahnya mendedahkan petua untuk menjadi pemidato terbaik iaitu mesti mempunyai persiapan dari segi ilmu atau maklumat yang cukup, menyampaikan pidato yang bersesuaian dengan khalayak mendengarnya, berpidato secara ikhlas, yakin dan tidak berpura-pura, mengguna gaya sendiri serta natural tanpa meniru sesiapa.

Anwar yang selepas itu dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 1991 dan kemudiannya Timbalan Perdana Menteri pada 1993 sehingga 1998 cenderung mengamalkan pendekatan berbeza daripada Dr. Mahathir.

Semasa Krisis Kewangan Asia 1997, Anwar menyokong pelan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan memulakan pakej penjimatan dengan memotong perbelanjaan kerajaan sebanyak 18 peratus, mengurangkan gaji menteri dan menunda projek-projek mega yang menjadi asas kepada strategi pembangunan negara oleh Dr. Mahathir.

Beliau yang mempunyai enam anak hasil perkahwinan dengan Wan Azizah selama 42 tahun telah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun pada 14 April 1999 dan kemudiannya dibebaskan pada 14 April 2003 selepas satu pertiga hukuman. Beliau tidak dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa dari tarikh pembebasan.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh telah diadakan pada 2008 berikutan pengunduran Wan Azizah sebagai ahli Parlimen bagi membolehkan suaminya bertanding dan menang di kerusi tersebut. Beliau selepas itu dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Anwar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh ketika PRU13 pada 2013.

Pada 2015, Anwar dilucutkan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pematang Pauh setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun setelah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara melibatkan satu kes lain.

Selepas PH menang ketika PRU14 pada 2018, gabungan parti itu mengotakan janji dalam manifestonya untuk memohon pembebasan dan pengampunan bagi Anwar apabila Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V telah menyatakan kesediaan baginda untuk memberi pengampunan segera dan ia adalah pengampunan penuh.

Pada tahun sama, beliau bertanding dan memenangi PRK Parlimen Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi. Momentum itu dikekalkan pada PRU15 apabila menawan kubu kuat PN di Parlimen Tambun dengan majoriti, 3,736 undi.

Dengan tercapai cita-citanya untuk menjadi PM, diharapkan gerakan reformasi yang membawa gelombang demonstrasi jalanan di negara ini sejak pemecatannya pada 1998 dapat kita noktahkan. Selamat berkhidmat Pak Sheikh! – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN