Masih relevankah MIC, Hindraf? - Utusan Malaysia

Masih relevankah MIC, Hindraf?

Adakah kesedaran mengundi yang dipupuk sejak lebih 70 tahun dahulu sudah menjadi budaya dalam kalangan kaum India di negara ini? – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAWATANKUASA Hubungan Antara Kaum ditubuhkan pada Januari 1949 kerana British menyedari perlunya wujud perpaduan antara tiga kaum utama di Tanah Melayu sebelum mengisytiharkan kemerdekaan.

Jawatankuasa itu yang diketuai E.E.C. Thuraisingam turut membimbing penduduk tentang perpaduan dan proses pilihan raya. Orang ramai diberikan ilmu berkaitan budaya mengundi dalam sebuah sistem demokrasi.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), menarik untuk difikirkan sama ada kesedaran mengundi yang dipupuk sejak lebih 70 tahun dahulu sudah menjadi budaya dalam kalangan kaum India di negara ini?

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun hanya membentuk sekitar tujuh peratus daripada jumlah penduduk, tentulah undi setiap individu kaum India sangat penting dan bernilai dalam menentukan hak demokrasi terus terpelihara.

Kelompok pengundi kaum India agak unik kerana secara umumnya memiliki latar belakang pendidikan, pengalaman, pekerjaan, kesedaran politik, bahasa ibunda dan masalah sosial tersendiri.

Tuntutan, harapan dan permintaan mereka sebagai penduduk dan pengundi juga sedikit berbeza berbanding kelompok bumiputera dan kaum Cina. Sejak dahulu, MIC sering meletakkan dirinya sebagai parti politik tunggal yang memperjuang dan memelihara hak kaum India, khususnya bahasa, budaya dan sekolah Tamil serta agama Hindu.

Monopoli itu hancur susulan perhimpunan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf). Hindraf pada November 2007 secara amat nyata mengubah budaya pemikiran dan kesedaran politik masyarakat India di negara ini.

Topik ini sempat dibincangkan dengan beberapa rakan susulan beberapa ahli Parlimen kaum India dari DAP tidak dicalonkan semula sementara MIC bakal bertanding merebut 10 kerusi. Sementara itu, ada bekas pemimpin Hindraf yang menyokong Pakatan Harapan (PH) kini kembali kepada Barisan Nasional (BN) demi survival politik.

Hindraf yang memulakan perjuangan pada 2006 dengan mengangkat isu kuil Hindu diroboh sering dikatakan membawa kesedaran politik generasi muda. Namun begitu, pada pemerhatian R. Umabathy dari Kluang, Johor, sikap tidak kisah masih menjadi budaya kaum India hari ini.

“Kealpaan masyarakat India terhadap politik berlaku sejak dahulu. Sepatutnya ada budaya menimba ilmu termasuk dalam hal kesedaran politik. Malangnya, komuniti kita masih menunggu untuk disuap segala maklumat. Maka, saya dapati kesedaran politik masih amat rendah dan hal ini amat membimbangkan,” katanya.

Sikap acuh tak acuh itu turut diperhatikan penulis veteran dari Bentong, Pahang, M. Mahendran. “Masing-masing sibuk dengan diri dan keluarga sendiri. Lagipun, parti-parti politik yang kononnya membela nasib kaum India tidak menunjukkan kehebatan luar biasa. Masyarakat sudah bosan dengan sikap politikus,” ujarnya.

Di sisi lain, generasi muda kaum India lebih bersikap liberal dan berani bersuara lantang dalam pelbagai isu. L. Puvendran dari Bagan Datuk, Perak mahu sistem merit menggantikan sistem kuota dalam pengambilan kakitangan sektor awam.

“Kaum India mempunyai penglibatan dan sikap ambil kisah yang ketara dalam budaya politik susulan perhimpunan Hindraf pada 2007. Pada pemerhatian saya, wujud harapan tinggi yang diletakkan kepada pembangkang oleh generasi muda menjelang PRU15,” kata Prem Sutha dari Skudai, Johor.

TAPAH

Memang perlu diakui monopoli MIC sejak 1946 sebagai parti tunggal yang kononnya mampu membela nasib kaum India sudah tamat pada 2008. Hal ini jelas apabila calon-calon MIC ditolak dalam PRU12. Survival MIC dalam PRU14 berikutan undi kaum Melayu khususnya di Parlimen Tapah.

Dalam perbincangan kami, saya bertanya sama ada MIC berpotensi untuk kembali meraih sokongan dan kepercayaan kaum India. Pada pandangan Umabathy, impian itu hanya boleh menjadi kenyataan jika wujud kepimpinan yang kuat dan berwibawa.

“Apa yang ada sekarang lebih kepada pengikut (pak turut) dan bukannya penyokong sebenar. Briged MIC Kebangsaan yang dilancarkan pada September lalu merupakan langkah baik. Tapi saya bimbang kalau pasukan itu didominasi golongan pencetus masalah sosial seperti gengsterisme sementara anak muda berpendidikan memilih parti baharu seperti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda),” tegasnya.

Puvendran masih meyakini peranan MIC sebagai pengantara yang menghubungkan kerajaan dengan masyarakat dalam usaha menyampaikan maklumat dan bantuan.

Pada masa sama, pemuda ini berpendapat, peranan pemimpin akar umbi yang sering membantu menyelesaikan masalah komuniti setempat perlu diiktiraf parti jika MIC mahu mengukuhkan kedudukan, mematahkan tohmahan dan mengambil hati masyarakat.

Walaupun ada beberapa parti politik kaum India tumbuh seperti cendawan selepas hujan, Mahendran optimis MIC masih berpeluang kembali menambat hati dan sokongan sekiranya bijak dan memahami denyut nadi masyarakat India.

“Masih ada peluang untuk MIC kembali meraih sokongan setelah hilang kepercayaan pada PRU14. Kita perlu akui pengundi India yang menolak BN dan MIC pada PRU14 tetap kecewa kerana PH dilihat tidak mengendahkan dan bersikap lepas tangan terhadap beberapa isu kaum India.

“Di pihak MIC pula, biarlah kekalahan lalu menjadi pengajaran supaya benar-benar berjuang demi masyarakat,” Prem Sutha menegaskan hasil pemerhatiannya.
“Benar. Kita perlukan pemimpin MIC yang boleh melakukan perubahan polisi demi manfaat kaum India. Bukannya pemimpin yang hanya tahu membuat konsert Deepavali atau masak payasam (manisan tradisional).

“MIC perlu adakan program yang menyumbang kepada mobiliti sosial dan ekonomi kaum India,” Umabathy menambah.

Mahendran kecewa kerana Hindraf sendiri tidak berpegang kepada perjuangan asal. Puvendran pula berharap Hindraf bergabung dengan MIC supaya ‘suara’ kaum India lebih kuat dan bertenaga. Mampukah semangat asal Hindraf kembali membara? – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN