SUKA atau tidak, kita kena akui umat Islam di Malaysia bukan sahaja terdiri dalam kalangan orang Melayu, tetapi turut mencakupi pelbagai kaum dan etnik. Saya tidak tahu angka tepat tetapi apa yang pasti, ada ramai Cina Muslim, India Muslim dan etnik di Sabah dan Sarawak beragama Islam.
Oleh itu, kita harus memastikan kesemua mereka turut serta dalam pembangunan umat dan agama Islam di negara ini. Umat Islam rentas kaum ini harus diberi peluang dan dilantik memegang jawatan-jawatan tertentu terutama dalam agensi-agensi kerajaan.
Menerusi saluran media sosial, saya pernah melontarkan persoalan kewajaran melantik menteri agama dalam kalangan orang Cina Muslim dan India Muslim. Saya katakan tidak salah. Bahkan tidak salah juga kalau etnik Dayak atau Kadazan beragama Islam diberi peluang mengemudi jabatan agama Islam.
Ya, umat Islam Melayu adalah majoriti terbesar di negara ini. Ajaran Islam dan umatnya sentiasa disalah faham dan dilihat sebagai musuh kepada mereka yang bukan beragama Islam. Bahkan kita kena akui kekeliruan ini wujud disebabkan bukan Melayu sukar menerima penerangan dan penjelasan daripada orang Melayu tentang Islam.
MURTAD
Oleh itu, amatlah wajar sekiranya kita punyai wakil kaum Cina atau India yang boleh membantu menjelaskan tentang Islam yang hakiki menerusi jawatan-jawatan dalam kerajaan yang lebih tinggi. Selain itu, mahu atau tidak, orang Melayu harus mula bekerjasama lebih dekat dengan komuniti Islam bukan Melayu kerana ini antara jalan bagi menunjukkan agama Islam milik semua kaum.
Banyak sebenarnya yang kita boleh buat dalam menjernihkan salah faham terhadap Islam di negara ini. Contoh lain, tugasan imam di surau atau masjid boleh juga diberikan kepada mualaf. Khutbah Jumaat dalam bahasa Mandarin dan Tamil pun memang sudah lama wujud di negara ini seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka. Saya lihat ini adalah sesuatu yang baik bahkan harus diperbanyakkan lagi.
Orang Melayu harus akur, selama memegang amanah sebagai pejuang agama Islam di negara ini sejak merdeka dahulu, hakikatnya kita gagal untuk membawa lebih ramai orang berkenalan dengan agama suci ini.
Sebaliknya kita pula dengar berita-berita orang Melayu murtad di sana sini.
Saya yakin yang cadangan dan permintaan ini diterima semua pihak kerana ini adalah kepentingan umat Islam di negara ini. – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.










