#undiBangsar ‘sekolahkan’ siapa? - Utusan Malaysia

#undiBangsar ‘sekolahkan’ siapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 1999 undi daripada pengundi Bangsar dan Taman Sri Sentosa dikatakan menjadi ‘penyelamat’ Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk pertahankan kali kedua kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Ia susulan keputusan di kawasan-kawasan Melayu antaranya Bukit Kerinchi dan Pantai Dalam menyaksikan beliau kalah di situ.

Selepas itu meskipun Shahrizat mengekalkan sekali lagi kerusi Lembah Pantai pada 2004, sokongan daripada pusat-pusat daerah mengundi (PDM) di Bangsar dan Taman Sri Sentosa berdikit-dikit menyusut untuk dirinya.

Pukulan undi Bangsar dan Taman Sri Sentosa akhirnya membadai Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu apabila tewas di tangan muka baharu Nurul Izzah Anwar dari PKR yang meraih majoriti 2,895 undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Pengaruh UMNO-BN di Lembah Pantai terus sepi pada PRU13 dan PRU14. Meskipun Nurul Izzah beralih arah ke Permatang Pauh, pengaruh Pakatan Harapan (PH) sedikitpun tidak tergugat biarpun calonnya waktu itu bukan anak presiden PKR.

Fahmi Fadzil masih bernasib baik biarpun tanpa Nurul, gelombang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjangkiti sebahagian besar kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri milik BN, berjaya menaikkan dirinya di Lembah Pantai 9 Mei 2018.

Apakah BN dalam PRU15 kali ini mampu kembali menggenggam kerusi Parlimen Lembah Pantai? Ikut atas kertas sebenarnya tiada isu besar di Bangsar yang merangkumi lima PDM iaitu Bukit Travers, Jalan Maarof, Bukit Bangsar, Bangsar Baru dan Taman Lucky.

Cuma Bangsar dan Taman Sri Sentosa yang terbahagi dua iaitu Taman Sri Sentosa Utara dan Taman Sri Sentosa Selatan didiami masyarakat majmuk berpen­dapatan tinggi. Mereka cenderung dan peka kepada isu-isu nasional seperti mana pukulan 1MDB tempoh hari.

CITA RASA

Lama sebelum ini pun Bangsar kerusi stabil buat BN. Maka jika calon yang ditampilkan di Lembah Pantai kena dengan cita rasa pengundi di situ, dia boleh survive.

Pengundi di tujuh PDM itu bukannya ‘totok mana’, tetapi boleh swing kepada parti atau calon yang dapat penetrate atau menembusi mereka.

Sama ada PKR atau UMNO, waima jika ada parti lain pun nak masuk gelanggang kali ini, mereka bukannya wajib perlu ada akar umbi (grassroots) yang utuh, sebaliknya bagaimana taktik dan muslihat dalam membawa isunya.

Di Bukit Bangsar sahaja dari rekod daftar pemilih suku pertama tahun ini, pengundi Melayunya berjumlah 4,490 orang berbanding 342 Cina. Demikian juga Bukit Travers meliputi 2,060 Melayu manakala Cina, 378 dan India, 633.

‘Terbalik kot’ di Bangsar Baru pula, pengundi Cina mengatasi lain-lain kaum, dengan 4,705 Cina, 1,823 India dan 1,335 Melayu.

Jadi, pokok pangkalnya semua parti perlu letakkan calon berketerampilan untuk menang di Lembah Pantai, khususnya Bangsar. Cara berkempen semua parti seperti mana dalam PRU-PRU lepas lebih kurang sama, dari rumah ke rumah.

Cuma hendak akses masuk pagar rumah pengundi agak sukar. Apatah lagi berdepan PDM Tasik Perdana didiami anggota pasukan keselamatan yang meliputi kira-kira 9,000 pengundi.

Dengan kes 1MDB bukan lagi menjadi isu mega dalam kempen PRU15, adakah kali ini pembangkang khususnya PH sudah ketandusan modal. Isu penyelewengan dana projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai berbilion-bilion ringgit yang cuba dimainkan Rafizi Ramli pun nampaknya macam sekerat jalan ‘setelah peluru yang ditembak tidak mengenai sasaran sebenar’.

TERSEPIT

Jika benar telahan ini, apakah PH tersepit? Jika tempoh hari PH melaungkan kepada pengundi ‘kalau bagi kami (pembangkang) peluang, kami akan buat itu ini’, namun bila peluang sudah diberi memerintah 22 bulan, tak mampu pula tunaikan janji-janji yang dicanang dalam manifesto.

Dan siap kata lagi ‘manifesto Harapan bukan kitab suci yang wajib dipatuhi’ .“Dia (PH) nak cakap ‘kalau kami dapat peluang sekarang (PRU15) ini, kami akan…’. Ya, sudah tidak boleh cakap lagi.

Jadi, laluan mudah untuk BN jawab yang semua parti baik BN, PH (22 bulan) dan Perikatan Nasional (18 bulan) pun sudah perintah negara.

“Maka kita (BN) boleh fight (lawan) sebab dulu PH janji bulan bintang, tapi rupa-rupanya kosong,” kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz, 45, kepada Utusan Malaysia. Ketua bahagian itu ialah Datuk Ramlan Askolani.

Isu siapa boleh menang di Lembah Pantai serta juga di sebahagian besar kerusi Parlimen dan DUN kali ini tertakluk pada calon. Walaupun tampak pembangkang berpecah tetapi kerusi-kerusi di kawasan bandar panasnya lagi berbahang daripada dahulu.

Di Lembah Pantai harus ada calon setanding dengan PH serta muda dan berpelajaran kerana mewakili 60 peratus pengundi Melayu, 25 peratus Cina,15 peratus India dan lain-lain.

Di Lembah Pantai, status ekonomi dan pendapatan pengundinya bercampur baur, yang tinggi di Bangsar dan Pantai Hillpark. Sementara berpendapatan rendah di Pantai Dalam dan Taman Sri Sentosa.

Beza Fahmi yang dijangka pertahankan kerusi disandang dengan ‘persepsi ikon’ sandaran Nurul Izzah adalah faktor kerajinan Fahmi kerap turun padang. Dan kali ini PH dijangka menyasarkan kerusi-kerusi Melayu di PDM Pantai Dalam, Bukit Kerinchi dan Taman Bukit Angkasa.

Keutamaan UMNO pasti sekali untuk mengekalkan undi Melayu. Cuma jika PN menerusi Pas bertanding di Lembah Pantai kemungkinan berlaku pecah undi Melayu agak berat.

Pada PRU14 lalu, Pas meraih 5,277 undi di situ. Dan sekali pun PN tidak bertanding, UMNO tidak boleh terlalu yakin menang jika parti sendiri tidak ada calon yang muda serta berke­layakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×