RUU GEG: Kita masih belum bersedia

RUU GEG: Kita masih belum bersedia

RUU GEG mempunyai niat murni. Ia bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok dan gejala-gejala berkaitan dengannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANG Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 atau lebih dikenali sebagai RUU GEG mempunyai niat murni. Ia bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok dan gejala-gejala berkaitan dengannya.

Walaupun secara kasarnya, mungkin kelihatan membawa impak positif, namun adalah dihujahkan RUU GEG ini bertentangan dengan dua jaminan perlembagaan dan/atau hak asasi yang diperuntukkan untuk rakyat di negara ini, iaitu Perkara 5 (Kebebasan diri) dan Perkara 8 (Kesamarataan).

Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya mengikut undang-undang.” Berdasarkan peruntukan ini, Perkara 5 dapat dipecahkan kepada tiga bahagian:

(i) Tiada seorang pun boleh dilucutkan nyawanya;

(ii) Tiada seorang pun boleh dilucutkan kebebasan peribadinya; dan

(iii) Seseorang boleh dilucutkan nyawa dan kebebasannya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang.

Secara amnya, adalah dihujahkan hak untuk hidup (right to life) membawa erti hak untuk wujud. Definisi kehidupan (life) telah diperincikan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Tan Tek Seng lwn. Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan & Anor. (1996) 1 MLJ 261.

Gopal Sri Ram JCA (ketika itu) mengambil tafsiran liberal berkenaan maksud kehidupan.

Yang Arif Hakim di muka surat 288, perenggan H dan I memutuskan seperti berikut: “I have reached the conclusion that the expression ‘life’ appearing in art 5(1) does not refer to mere existence. It incorporates all those facets that are an integral part of life itself and those matters which go to form the quality of life. Of these are the right to seek and be engaged in lawful and gainful employment and to receive those benefits that our society has to offer to its members. It includes the right to live in a reasonably healthy and pollution-free environment.”

Tafsiran di atas menimbulkan persoalan berikut: Adakah hak untuk hidup meliputi hak untuk kesihatan (right to health)? Sekiranya ya, sejauh manakah Parlimen boleh menyekat kebebasan rakyat bagi tujuan kebaikan bersama? Profesor Shad Saleem Faruqi dalam artikelnya bertajuk No human right to smoke and vape bertarikh 8 Ogos 2022, secara amnya berpendapat, tidak wujud hak asasi manusia di bawah perlembagaan kita untuk merokok atau menggunakan alat peranti elektronik rokok (vape). Kemudaratan yang dihasilkan sama ada kepada perokok itu sendiri atau orang lain oleh tabiat merokok tidak merangkumi hak asasi manusia di bawah perlembagaan kita.

Penulis berpendapat, RUU GEG ini bercanggah dengan Perkara 5. Perlu ditekankan di sini bahawa merokok dan/atau vape adalah perbuatan peribadi yang dilakukan ke atas diri seseorang individu atas pilihan individu itu sendiri. Oleh demikian, sebarang sekatan yang dikuatkuasakan oleh Parlimen adalah bersifat paradoks dan bertentangan dengan hak seseorang individu untuk menentukan nasib sendiri (right to self-determination).

Dalam kes Sivarasa Rasiah lwn. Badan Peguam Malaysia & Anor. (2010) 2 MLJ 333, di muka surat 346 perenggan 20, Mahkamah Persekutuan memutuskan seperti berikut: “… ‘in accordance with law’ in art 5(1) refers to a law that is fair and just and not merely any enacted law however arbitrary or unjust it may be. The question whether an enacted law is arbitrary must be decided upon settled principles that govern the right in Parliament to pass discriminatory laws. So long as the law does not produce any unfair discrimination it must be upheld.”

Dalam erti kata lain, Parlimen boleh menggubal undang-undang yang melanggar hak kebebasan asasi selagi mana tidak bersifat arbitrari dan/atau boleh mewujudkan diskriminasi.

Penulis berpendapat, prinsip ini tidak diambil kira dalam penggubalan RUU GEG.

Selanjutnya, Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan adalah relevan. Perkara 8(1) memperuntukkan bahawa: “Setiap orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan dijamin perlindungan undang-undang yang sama.” Pada tahap ini, suatu analisa harus dilakukan kepada mukadimah (preamble) RUU GEG itu sendiri. Untuk membolehkan analisa ini dilakukan dengan sempurna, maka izinkan penulis untuk membentangkan mukadimah yang dimaksudkan itu.

“Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, pengawalan pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok, dan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau produk pengganti tembakau dan larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana orang yang lahir pada 2007 dan seterusnya dan bagi perkara yang berkaitan.”

Adalah jelas sekiranya RUU GEG menjadi undang-undang, individu yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 akan didiskriminasi berdasarkan tarikh lahir mereka. Kewujudan undang-undang ini akan mengklasifikasikan rakyat ke kategori berbeza, secara tidak langsung memberi kelebihan kepada golongan lebih tua berbanding muda. Persoalannya di sini, apakah asas untuk mengklasifikasikan rakyat kepada kategori berbeza? Dan apakah yang membezakan golongan ini (yang lahir pada atau selepas 2007) dengan mereka yang lahir pada tahun sebelumnya?

Penulis berpendapat, pandangan kumpulan sasaran (dalam konteks ini, mereka yang lahir pada dan selepas 2007) harus juga diambil kira. Memandangkan kuasa untuk menggubal undang-undang terletak di tangan Parlimen, kuasa tersebut mestilah digunakan sewajarnya. Tindakan Parlimen memaksa individu dari generasi tertentu untuk mematuhi sekatan yang dikuatkuasakan adalah bercanggah dengan prinsip dinyatakan di atas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sesi perbahasan Parlimen pada 2 Ogos lalu berkata bahawa sekatan yang dikenakan ke atas mereka yang dilahirkan pada atau selepas 2007 dalam RUU GEG memenuhi keperluan “intelligible differentia”, sekali gus tidak bercanggah dengan perlembagaan. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Haji Harun bin Haji Idris lwn. Public Prosecutor (1977) 2 MLJ 155 di muka surat 160, perenggan C, memutuskan seperti berikut: “Article 8(1) permits reasonable classification is founded on intelligible differentia having a rational relation or nexus with the policy or object sought to be achieved by the statute or statutory provision in question”

SINGAPURA, DENMARK

Kata kunci di sini ialah “mempunyai hubungan rasional pada perhubungan dengan objek dasar yang ingin dicapai.” Ini bermaksud sesuatu RUU itu hanya akan lulus ujian klasifikasi yang dibenarkan (reasonable classification) sekiranya klasifikasi tersebut dapat membantu dalam proses mencapai matlamat disasarkan oleh akta dan/atau statut berkenaan. Dalam konteks ini, sehingga dan melainkan dapat dibuktikan segregasi dan/atau sekatan yang dikenakan oleh Parlimen ke atas mereka yang lahir pada atau selepas 2007 akan membawa kepada penamatan penggunaan produk tembakau dan rokok secara menyeluruh, sekatan tersebut adalah tidak wajar atas dasar ia bercanggah dengan prinsip “intelligible differentia” sepertimana yang diputuskan dalam kes di atas.

Penulis berhujah bahawa setakat bacaan pertama pada 27 Julai lalu, tiada sebarang bukti bahawa penguatkuasaan RUU GEG ini mempunyai sebarang keberkesanan pada jangka masa panjang. Malah, tiada sebarang bukti berkenaan keberkesanan RUU GEG ini sama ada di Malaysia atau luar negara. Ini dapat dilihat di negara-negara seperti Singapura dan Denmark yang pernah mempertimbangkan penggubalan undang-undang seakan-akan RUU GEG. Tetapi, setelah penilaian menyeluruh terhadap keberkesanan undang-undang tersebut dilakukan, negara-negara tersebut memutuskan untuk menundanya buat masa ini. Jelas, sekiranya RUU GEG ini diluluskan, ia akan dicabar melalui semakan kehakiman atas dasar melanggar prinsip perlembagaan.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan penguatkuasaan RUU GEG ini akan mengakibatkan wujudnya isu seperti penjualan rokok haram melalui pasaran gelap. Ini mungkin membawa kepada penubuhan sindiket jenayah yang juga akan memperkembangkan budaya rasuah. Seperti dinyatakan oleh bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yeo Bee Yin, beberapa aspek RUU GEG memerlukan semakan yang teliti: “…with a much higher issue of illicit cigarettes in Malaysia coupled with weaker enforcement capabilities, an earlier start date for the generation ban, and the inclusion of vapes in the ban might spell failure for the GEG.”

Oleh itu, penulis berpendapat RUU GEG harus disemak dan diteliti terlebih dahulu dengan secara menyeluruh oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen. Ini bertujuan RUU GEG tidak akan menjejaskan hak asasi rakyat serta menangani kebimbangan dan isu-isu dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen berkaitan kuasa arbitrari yang diberikan kepada pegawai penguatkuasa di bawah Seksyen 26, 30, 31 dan 34 RUU GEG. Rundingan lanjut dengan pakar perlembagaan serta wakil orang ramai adalah amat penting bagi mengelak sebarang halangan (setback) sekiranya RUU GEG menjadi undang-undang.

Kesimpulannya, penelitian mendalam harus dilakukan sebelum RUU GEG ini dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen Oktober ini. Memandangkan pelaksanaan RUU GEG hanya akan berkuat kuasa mulai 2025, tiada keperluan untuk Parlimen bertindak terburu-buru. Malah, RUU GEG harus dikaji secara menyeluruh kerana pelaksanaannya bukan sahaja akan memberi impak kepada golongan generasi muda tetapi juga kepada negara secara keseluruhannya. – UTUSAN

DATUK M. Reza Hassan ialah penganalisis undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×